Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengucapkan Selamat Menyambut Hari OKU Antarabangsa 2024 dengan tema, “Memperkasa Kepimpinan OKU Demi Inklusiviti Mampan”.
Hari peringatan ini, pada 3 Disember setiap tahun, telah diisytiharkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1992 melalui Resolusi 47/3.
Tema ini mencerminkan komitmen semua pihak untuk memperkasakan golongan orang kurang upaya (OKU) dalam pembangunan sesebuah negara.
Kepemimpinan OKU bukan hanya satu keperluan, tetapi juga satu langkah penting ke arah masyarakat yang lebih inklusif, dengan setiap individu tanpa mengira latar belakang atau kemampuan, mempunyai peluang yang sama untuk menyumbang kepada kemajuan negara.
Pertubuhan IKRAM Malaysia percaya bahawa untuk membina sebuah masa depan yang mampan, kita perlu melibatkan semua lapisan masyarakat, termasuk OKU.
Kita perlu memberi tumpuan kepada pemberdayaan dan kepemimpinan OKU dalam sektor-sektor penting seperti pendidikan, pekerjaan dan sukan. Setiap individu OKU mempunyai potensi tersendiri, dan mereka harus diberi ruang untuk berkembang dan menyumbang melalui kemahiran serta pengalaman yang dimiliki.
Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Pertubuhan IKRAM Malaysia akan mengadakan Sambutan Bulan OKU Kebangsaan 2024 dalam bulan Disember ini, dengan pelancarannya pada 7 Disember 2024 di Hotel Alamis City Kuala Lumpur.
Antara program yang dirancang bagi majlis pelancaran tersebut ialah sesi bual bicara yang melibatkan tokoh-tokoh OKU, iaitu Prof. Dr. Ruzita Mohd Amin daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Puan Hamidah Hassan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan En. Mohd Faiz Shuhaimi, Presiden Majlis Belia OKU Malaysia, serta Puan Salwa Mohd Soleh, seorang pempengaruh media sosial sebagai moderator.
Program ini, yang dianjurkan bersama dengan Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM), akan turut memperkenalkan Projek DREAMS bagi membantu penjaga kepada anak-anak OKU untuk menelusuri perjalanan ke arah penjagaan yang lebih optimum, dan Sesi Dialog & Silang Idea Pertubuhan OKU.
Selain daripada itu, pelbagai program juga akan dianjurkan sepanjang bulan Disember 2024, termasuk pertandingan menulis, pertandingan video, dialog dengan pemegang taruh, serta aktiviti-aktiviti di peringkat IKRAM negeri dan kawasan seluruh negara, untuk memupuk kesedaran masyarakat terhadap isu dan aspirasi OKU.
Dalam mengetengahkan kepentingan dan keperluan OKU, IKRAM juga akan menekankan kepentingan sokongan psikososial yang memberi hak yang sama kepada OKU dalam pelbagai aspek kehidupan.
Kami mengajak semua pihak untuk bekerjasama dalam membangunkan ekosistem yang lebih adil dan memberi ruang kepada OKU untuk mengasah bakat sebagai pemimpin dalam pelbagai bidang.
Mari kita sama-sama pastikan tiada siapa yang tertinggal dalam arus pembangunan negara dan setiap individu berhak untuk merealisasikan potensi diri mereka yang sebenar.
Ainullotfi bin Abdul Latif
Ketua Kluster Masyarakat Progresif
merangkap
Pengerusi Kebajikan dan Khidmat Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Dr Nurul Firdausi binti Hasnol Basri
Pengarah
Sambutan Bulan OKU Kebangsaan 2024
Pertubuhan IKRAM Malaysia