Di Malaysia mutakhir ini, isu takfiri iaitu merujuk kepada tindakan sebahagian individu atau kumpulan yang menghukum kafir terhadap Muslim lain dan penyempitan amalan semakin membimbangkan.
Ia berlaku hanya kerana perbezaan pandangan dan pendekatan serta amalan dalam cabang agama.
Fenomena ini jika terus berlarutan, berpotensi memecah-belahkan perpaduan umat Islam di Malaysia yang selama ini mengamalkan prinsip kesederhanaan dan keterbukaan.
Tindakan melabel sesama Muslim sebagai sesat atau kafir hanya kerana perbezaan amalan menunjukkan sikap yang bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri yang menyeru kepada toleransi dan persaudaraan seperti firman Allah dalam Surah al-Hujurat, ayat 10:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”
Ayat ini menegaskan bahawa umat Islam adalah bersaudara tanpa mengira bangsa, keturunan atau latar belakang. Islam menganggap hubungan persaudaraan sebagai asas yang kukuh untuk membina perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.
Oleh yang demikian, jika berlaku perselisihan antara sesama Muslim, kita dituntut untuk mendamaikan mereka dengan cara yang adil.
Ayat ini juga mengingatkan kita untuk bertakwa kepada Allah dalam setiap tindakan kerana dengan bertakwa, umat Islam akan memperoleh rahmat dan keredaan-Nya.
Sikap ini sangat penting dalam konteks dunia moden yang menyaksikan perselisihan sering timbul disebabkan perbezaan pandangan, ideologi atau politik.
Selain itu, isu penyempitan amalan juga dapat dilihat apabila ada pihak yang berpendapat hanya pendekatan mereka sahaja yang benar sehingga menolak kepelbagaian pendapat yang diterima oleh mazhab-mazhab lain yang diiktiraf.
Contohnya, terdapat segelintir individu yang menganggap hanya satu pandangan mazhab sebagai sah, sedangkan Islam secara tradisi mengiktiraf keluasan ijtihad para ulama.
Sikap ini bukan sahaja menyempitkan keluasan syariat, tetapi juga menafikan keindahan Islam sebagai agama yang memberi ruang kepada kepelbagaian.
Sifat ekstremisme dan takfiri seumpama ini hanya akan membawa kepada perpecahan dan konflik. Ia sangat bertentangan dengan misi Islam sebagai agama yang membawa rahmat ke seluruh alam (rahmatan lil ‘alamin).
Rasulullah SAW sendiri menekankan dalam Sahih Bukhari, Kitab al-Ilm (Kitab Ilmu), Hadis No. 69 iaitu: “Mudahkanlah urusan dan jangan kamu menyusahkan, berilah khabar gembira dan jangan membuat orang lari.”
Hadis ini disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat, khususnya kepada pendakwah dan pemimpin umat Islam, sebagai panduan agar mereka:
1. Mempermudah urusan dan tidak memberatkan orang lain, terutama dalam soal dakwah dan amalan agama.
2. Memberikan berita gembira yang menggalakkan orang ramai untuk mendekati Islam, bukannya menjauhkan mereka dengan ketegasan yang melampau.
3. Bersikap lembut dan penuh hikmah dalam menyampaikan ajaran Islam agar dakwah dapat diterima dengan hati yang terbuka.
Bahaya takfiri terhadap umat Islam
Memperbesar dan mengapi-apikan isu takfiri boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam serta melemahkan perpaduan dan solidariti.
Amalan mengkafirkan sesama Muslim lambat-laun akan merebak dan membawa kepada permusuhan dan keganasan termasuk pembunuhan dan peperangan. Apakah sikap sebegini yang ingin kita jelmakan dalam amalan beragama mutakhir ini?
Keadaan ini jelas sekali bertentangan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 12:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada antara kamu yang menggunjing (mengumpat) sebahagian yang lain. Adakah seseorang antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”
Islam adalah agama yang indah serta menekankan kesederhanaan (wasatiyyah). Sikap melampaui batas sangat ditegah dalam beragama.
Lebih menyedihkan apabila pertikaian ini berlaku dalam kalangan ahli agama itu sendiri yang selama ini menjadi rujukan umat Islam di negara ini. Perkara ini hanya menambahkan kekeliruan, bukan mencambahkan ilmu dan manfaat.
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) melalui kenyataan medianya bertajuk ‘RUU Mufti WP: HIKAM Gesa Perbincangan yang Konstruktif dan Damai’ menyatakan bahawa perbincangan mengenai isu-isu berkaitan aliran akidah tidak sepatutnya dilakukan di ruang awam, kerana ia berpotensi menimbulkan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Perkara ini sepatutnya tidak boleh dipandang enteng dan tidak sewajarnya berlarutan terlalu lama. Wujudkanlah ruang perbincangan secara tertutup serta konstruktif untuk kepentingan maslahah yang lebih besar.
Islam mengajarkan kepada umatnya sikap toleransi dan berkasih sayang dalam menghadapi perbezaan pendapat.
Bersikap berlapang dada bukan sahaja menggambarkan kematangan dalam beragama, tetapi juga menunjukkan komitmen kita kepada prinsip Islam yang mementingkan persaudaraan dan keharmonian.
Marilah sama-sama kita renungi firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl, ayat 125:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia-lah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.”
Ayat ini mengingatkan kita bahawa dalam menyampaikan ajaran Islam, kita perlu menggunakan hikmah, kebaikan dan pendekatan yang berlemah lembut.
Dengan cara ini, kita dapat mengajak orang lain kepada kebenaran tanpa menimbulkan ketegangan atau konflik.
Perbezaan pendapat seharusnya ditangani dengan hikmah dan dialog yang membina, bukannya dengan sikap keras yang membawa kepada permusuhan.
Roselinee Mohammad Radzi
Jawatankuasa Pendidikan Masyarakat
Wanita IKRAM Selangor