Pengurusan Harta Anak Yatim: Antara Amanah dan Kebijaksanaan

Pengurusan Harta Anak Yatim: Antara Amanah dan Kebijaksanaan

Pengurusan harta anak yatim merupakan satu amanah besar dalam Islam yang memerlukan ketelusan, kecekapan dan integriti. Dalam era moden ini, kita masih berhadapan dengan pelbagai cabaran yang membabitkan pengurusan harta anak yatim.

Islam menuntut penjagaan yang amanah dan penuh beretika, sejajar dengan konsep Ma’ruf yang membawa kebaikan dan manfaat kepada anak-anak yatim. Kepentingan penjagaan anak yatim dapat dilihat apabila sebanyak 23 kali syarak membahaskannya sama ada melalui ayat al-Quran atau hadis Nabi SAW.

Tanggungjawab penjagaan dan pengurusan anak yatim dan harta mereka ditekankan oleh syariah sehinggakan Nabi SAW menggolongkan penjaga/pemegang amanah ini dalam satu kelompok yang tinggi bersama dengan Nabi SAW di akhirat kelak. Sabda Nabi SAW bermaksud:

“Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi SAW mengisyaratkan dengan dua jari baginda SAW) di syurga.” (Riwayat Muslim).

Menurut Imam an-Nawawi, miliknya dalam hadis tersebut merujuk kepada ahli keluarga terdekat manakala milik orang lain bermaksud orang asing atau orang yang tidak mempunyai pertalian keluarga.

Hadis tersebut jelas menunjukkan satu saranan besar agama untuk mereka yang diberikan amanah agar berusaha memenuhi amanah dengan sebaiknya. Termasuk dalam konteks amanah tersebut adalah tentang kebijaksanaan dalam pengurusan harta anak yatim. 

Isu khianat dan ketidakcekapan dalam pengurusan harta anak yatim 

Amanah dan kebijaksanaan merupakan elemen penting dalam pengurusan harta anak yatim. Isu ketidakcekapan dan khianat seperti penyalahgunaan harta anak yatim sehingga menjejaskan kepentingan dan kemaslahatan anak yatim masih banyak berlaku dalam kalangan masyarakat Islam di negara kita.

Kes penyelewengan ini bukan sahaja mencemarkan amanah yang dipikul oleh penjaga, malah membawa kepada ketidakadilan sosial dan melanggar prinsip yang dituntut dalam Islam.

Disebabkan hal tersebut, syariah dengan tegas memberikan ancaman terhadap kumpulan masyarakat yang dengan sengaja mengambil harta anak yatim secara zalim sepertimana firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 10 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.”

Menurut Sheikh at-Tantawi, perkataan zalim yang digunakan oleh Allah SWT dalam ayat tersebut menggambarkan kejelikan yang teruk terhadap pemakan harta anak yatim kerana mereka merupakan golongan yang lemah yang tidak mempunyai kudrat untuk membela diri mereka. 

Perbuatan khianat dan mengambil harta anak yatim turut termasuk dalam salah satu dosa besar yang disebutkan oleh Nabi SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

“Jauhilah kamu daripada tujuh dosa besar ini (perkara yang  membinasakan). Para sahabat bertanya: Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah SWT melainkan dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari peperangan dan menuduh wanita yang beriman dengan berzina”

Selain khianat, ketidakcekapan pengurusan harta anak yatim boleh menyebabkan harta mereka susut atau tidak ditunaikan tanggungjawab seperti zakat ke atas harta mereka. Nabi SAW bersabda dalam riwayat Malik yang bermaksud:

“Niagakanlah harta anak yatim, sehingga ia tidak dimakan zakat.”

Setiap harta yang mencapai haul dan nisab perlu dikeluarkan zakat. Namun, jika harta yang dimiliki oleh anak yatim tidak diuruskan dengan sebaiknya sama ada melalui pelaburan, perniagaan atau apa-apa kaedah yang akan memperkembang harta tersebut kemungkinan harta tersebut susut dan mengekang masa depan mereka. 

Konsep Ma’ruf dalam pengurusan harta anak yatim 

Konsep Ma’ruf bermaksud kebaikan, keadilan dan perkara yang diterima sebagai amalan yang betul dalam masyarakat Islam.

Dalam konteks pengurusan harta anak yatim, Ma’ruf merujuk kepada pengurusan harta dengan cara yang membawa manfaat dan mencegah kerugian atau penyelewengan. Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kalian mendekati harta anak yatim melainkan dengan cara yang terbaik sehinggalah anak tersebut sampai kepada tempoh balighnya.” (Surah al-An’am: 152)

Konsep Ma’ruf dalam ayat membawa mesej yang luas tentang siapakah yang perlu melaksanakan perkara-perkara bersifat ma’ruf dan apakah bentuk-bentuk ma’ruf yang perlu diusahakan. Jika seorang penjaga merupakan seorang wali yang kaya, mereka perlu menahan diri daripada menggunakan harta anak yatim.

Namun, jika wali seorang yang miskin, mereka dibenarkan untuk menggunakan harta sekadar yang ma’ruf.

Selain itu, bentuk-bentuk ma’ruf yang diketahui umum perlu dilaksanakan seperti tidak bermewah-mewah dan berlebih-lebihan menikmati harta mereka kecuali untuk perkara yang memenuhi kehidupan anak yatim tersebut. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 6 (maksudnya):

“Dan janganlah kamu memakan harta anak yatim lebih daripada batas kepatutan dan (janganlah kamu) tergesa-gesa (membelanjakannya) sebelum mereka dewasa. Barangsiapa (antara pemelihara itu) mampu, maka hendaklah ia menahan diri (daripada memakan harta anak yatim itu) dan barangsiapa yang miskin, maka bolehlah ia makan harta itu dengan sewajarnya.”

Penjaga harta anak yatim perlu memastikan harta mereka berkembang melalui pelaburan yang sah, mengelakkan pemborosan dan tidak menggunakan harta tersebut untuk keperluan peribadi tanpa sebab yang dibenarkan. 

Tanggungjawab pengurus atau pemegang amanah anak yatim 

Tanggungjawab pengurus atau pemegang amanah harta anak yatim adalah satu tugas yang berat. Para ulama seperti Ibn Taimiyyah memperincikan ciri-ciri seorang pemegang amanah iaitu mestilah seorang yang amanah dan dipercayai, bukannya dalam kalangan orang fasik, memiliki masalah moral dan diketahui pecah amanah.

Jika penjaga tidak memenuhi kriteria ini, mereka harus diganti dengan yang lebih layak. Saidina Umar al-Khattab dalam salah satu ucapan beliau setelah menggantikan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah berkata:

“Kedudukanku sebagai khalifah berkaitan harta Allah (harta awam) seumpama pengurus harta anak yatim, jika aku senang, aku tidak akan sekali-kali menggunakannya, tetapi jika aku kesempitan, aku akan ambil secara berpatutan (bil ma’ruf). Namun, jika keadaan kewanganku kembali pulih, aku akan membayarnya semula.”

Jelas ditunjukkan teladan yang sepatutnya dalam pengurusan harta anak yatim dan keutamaannya diletakkan sebaris dengan keutamaan pengurusan harta negara. Maka, dalam konteks tersebut perhatian terhadap kategori dan tanggungjawab pengurus adalah seperti berikut:

  1. Wali – Merupakan penjaga utama seperti datuk, bapa saudara atau ibu yang diberi tanggungjawab menjaga anak yatim.
  2. Mutawalli – Organisasi atau individu yang dilantik untuk menguruskan harta dengan integriti dan penuh amanah.

 

Tanggungjawab umum dan khusus pengurus:

  • Memelihara Harta: Menguruskan aset agar tidak rosak atau susut akibat kecuaian.
  • Mengembangkan Harta: Melaburkan harta dalam pelaburan patuh syariah seperti mudarabah dan instrumen kewangan lain yang sah.
  • Akaun Berasingan: Mewujudkan akaun khas untuk mengelakkan percampuran dengan harta peribadi.
  • Ketelusan dan Audit: Menyediakan rekod perakaunan yang jelas dan diaudit secara berkala oleh pihak berkuasa.

 

Strategi pengurusan harta anak yatim 

Konsep Ma’ruf dan elemen kebijaksanaan merupakan dua kunci penting dalam menggarap strategi pengurusan harta anak yatim yang lestari. Yang berikut dikongsikan pendekatan yang boleh diambil dalam menyusun strategi pengurusan harta anak yatim:

  • Pelaburan Patuh Syariah: Harta anak yatim boleh dikembangkan melalui pelaburan dalam instrumen kewangan yang mematuhi syarak seperti mudarabah, musyarakah dan lain-lain yang sah. Ia bertujuan memastikan harta tidak susut akibat inflasi dan zakat. Antara bentuk pelaburan harta tersebut adalah dengan meletakkannya dalam deposit tetap atau dalam Tabung Haji yang berisiko rendah dan mempunyai ciri-ciri dana lestari. 
  • Pendidikan dan Kesedaran: Memberikan latihan kepada penjaga tentang tanggungjawab mereka dan pengurusan harta yang bijaksana.
  • Pengawasan oleh Institusi: Pihak berkuasa perlu menjalankan pengawasan yang ketat terhadap akaun dan pengurusan harta anak yatim untuk mengelakkan penyelewengan.
  • Amanah dan Etika: Penjaga perlu menguruskan harta berdasarkan prinsip Ma’ruf, memastikan setiap langkah membawa manfaat kepada anak yatim tanpa menjejaskan hak mereka.

 

Justeru, pengurusan harta anak yatim adalah amanah besar yang menuntut penjaga untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, kecekapan dan ketelusan.

Dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa, isu khianat dan ketidakcekapan dalam pengurusan harta anak yatim harus ditangani dengan serius.

Konsep Ma’ruf dalam Islam menggariskan keperluan untuk menguruskan harta anak yatim secara adil dan bermanfaat, memastikan harta mereka berkembang dan terpelihara daripada sebarang bentuk penyelewengan atau kerugian.

Penjaga harta anak yatim, sama ada wali atau mutawalli, mesti memenuhi tanggungjawab mereka mengikut prinsip yang digariskan dalam al-Quran, hadis dan pandangan ulama. 

Mereka perlu memastikan harta anak yatim diurus dengan berhemah, menghindari pemborosan dan mengutamakan kebajikan anak-anak yatim yang mereka jaga.

Strategi pengurusan yang berkesan melibatkan pelaburan patuh syariah, pendidikan dan kesedaran kepada para penjaga serta pengawasan dan audit oleh institusi berwibawa. 

Hanya dengan melaksanakan prinsip-prinsip ini, kita dapat memastikan hak dan kebajikan anak yatim terpelihara, dan amanah yang diberikan Allah SWT dapat disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

Melalui pendekatan yang berlandaskan Ma’ruf, kita bukan sahaja melindungi harta anak yatim tetapi juga menegakkan keadilan sosial dan menyumbang kepada masyarakat yang lebih adil dan beretika.

 

Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan/ Koordinator Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam (MIBF) 
Arshad Ayub Graduate Business School
UiTM Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia