Pernahkah anda berbual dengan rakan tentang sesuatu produk, lalu beberapa minit atau jam kemudian, iklan produk tersebut muncul di skrin telefon anda sama ada melalui platform media sosial atau e-dagang?
Fenomena ini membuat ramai tertanya-tanya, adakah Google atau aplikasi lain benar-benar mempunyai keupayaan untuk mendengar perbualan kita melalui mikrofon seterusnya menggunakan data peribadi audio tersebut untuk mengiklankan produk yang mungkin menarik minat pengguna?
Bagaimana Google mengumpul data pengguna?
Google menggunakan pelbagai data untuk memahami kecenderungan dan tingkah laku pengguna. Antara data yang dikumpul termasuklah sejarah carian, laman web yang dilawati, aplikasi yang digunakan dan lokasi pengguna. Data-data ini dikumpulkan melalui kaedah seperti cookies dan sejarah pelayaran (browsing).
Hal ini membolehkan Google mengumpul maklumat tentang minat dan kesukaan pengguna sepanjang melayari internet. Dengan data-data ini, Google mencipta profil pengguna untuk menyasarkan iklan yang lebih relevan kepada minat mereka.
Sebagai contoh, jika seseorang sering menggunakan enjin carian untuk mencari maklumat berkaitan hobi percutian, Google mungkin akan memaparkan iklan promosi hotel atau produk pelancongan di laman yang mereka layari.
Hal seperti ini dikenali sebagai behavioral targeting, yang mana iklan dipaparkan berdasarkan tingkah laku pelayaran (browsing) pengguna tersebut.
Adakah Google mendengar perbualan pengguna secara langsung?
Mengikut Google, aplikasi seperti Google Assistant hanya mendengar pengguna apabila diaktifkan dengan frasa khas seperti “Hey Google” atau “OK Google.” Mikrofon pada peranti akan mula berfungsi selepas frasa ini diaktifkan, bertujuan untuk melaksanakan perintah suara pengguna.
Google menyatakan bahawa audio hanya dirakam semasa pengguna menggunakan perkhidmatan tersebut, dan tiada perbualan biasa yang dirakam tanpa kebenaran.
Selain itu, Google dan Apple telah mengimplimentasikan penunjuk visual pada peranti Android dan iOS untuk memaklumkan pengguna jika mikrofon sedang digunakan. Jika mikrofon diaktifkan, indikator khas seperti titik oren atau hijau akan muncul pada skrin, memberi amaran kepada pengguna bahawa audio sedang dirakam.
Namun begitu, terdapat kebimbangan terhadap aplikasi pihak ketiga yang mungkin menggunakan kebenaran mikrofon untuk tujuan lain. Sesetengah aplikasi menggunakan mikrofon bukan untuk mendengar perbualan tetapi untuk mengesan aktiviti bunyi di sekeliling pengguna.
Contohnya, aplikasi yang menyertakan background noise detection mungkin memerlukan mikrofon untuk menyesuaikan bunyi aplikasi mengikut persekitaran. Jadi, walaupun mereka tidak mendengar perbualan pengguna, kehadiran mikrofon yang sentiasa aktif masih menimbulkan kebimbangan privasi.
Mengapa iklan terlihat “kebetulan” tepat sasaran?
Fenomena iklan yang kebetulan tepat sasaran mungkin berpunca daripada pelbagai faktor. Menurut kajian psikologi, hal ini boleh dikaitkan dengan confirmation bias, iaitu kecenderungan untuk memerhatikan sesuatu yang relevan dengan perkara yang baru sahaja difikirkan atau dibualkan.
Contohnya, jika pengguna baru sahaja berbual tentang percutian, pengguna mungkin lebih mudah “terpandang” iklan pelancongan selepas itu.
Selain itu, teknologi pengesanan lokasi membolehkan Google dan pengiklan lain menawarkan iklan berdasarkan lokasi semasa pengguna.
Sebagai contoh, jika pengguna berada di pusat membeli-belah, pengguna mungkin akan melihat iklan promosi kedai di kawasan sekitar. Ini dapat meningkatkan peluang pengguna tertarik kepada iklan tersebut dan seterusnya membuat pembelian.
Pendekatan Google dalam penyusunan iklan berdasarkan aktiviti pengguna
Google menggunakan pelbagai data untuk meningkatkan kecekapan iklan, termasuk data yang dikumpul daripada aplikasi lain yang digunakan pengguna.
Google Ads dan sistem pengiklanan lain beroperasi dengan menyasarkan iklan berdasarkan profil yang dibentuk daripada pelbagai sumber seperti lokasi, sejarah carian dan interaksi dalam aplikasi.
Dengan ini, Google dapat mengenali minat pengguna dan menawarkan iklan yang relevan untuk meningkatkan peluang respons positif terhadap iklan tersebut.
Sebagai tambahan, Google juga menggunakan kaedah seperti interest-based targeting dan demographic targeting untuk menyasarkan iklan kepada kumpulan pengguna tertentu. Contohnya, jika data menunjukkan minat pengguna dalam fesyen, mereka lebih cenderung menerima iklan jenama pakaian atau produk yang sedang popular.
Langkah-langkah yang boleh diambil untuk melindungi privasi pengguna
Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi pengguna yang ingin melindungi privasi dan data peribadi dalam talian mereka daripada iklan yang disasarkan. Antaranya termasuklah:
- Semak Kebenaran Aplikasi: Pastikan aplikasi hanya mempunyai akses kepada mikrofon apabila diperlukan. Semak kebenaran aplikasi di tetapan peranti pengguna dan padam aplikasi yang tidak digunakan atau mencurigakan.
- Gunakan Mod Penyemakan Imbas Peribadi (Mod Incognito): Mod Incognito atau mod peribadi pada penyemak imbas menghalang penyimpanan cookies dan sejarah carian, yang boleh membantu mengurangkan pengumpulan data.
- Matikan Sejarah Lokasi dan Aktiviti Web: Google menawarkan tetapan untuk mengurus sejarah lokasi dan aktiviti web. Dengan mematikan sejarah ini, pengguna boleh mengurangkan pengumpulan data oleh Google.
- Gunakan Aplikasi Blok Iklan: Aplikasi seperti uBlock Origin atau AdBlock dapat membantu menyekat iklan daripada muncul di pelayar web pengguna. Ia adalah langkah tambahan untuk mengurangkan iklan yang tidak diingini.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, tiada bukti kukuh bahawa Google mendengar perbualan pengguna untuk menampilkan iklan yang disasarkan.
Walau bagaimanapun, Google menggunakan data yang diperoleh melalui pelbagai sumber termasuk carian, sejarah pelayaran, lokasi dan aplikasi untuk membentuk profil pengguna yang digunakan untuk menyesuaikan iklan. Ini menghasilkan ilusi bahawa iklan muncul secara kebetulan tepat dengan minat atau perbualan pengguna.
Namun, pengguna harus mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi privasi mereka dan menyedari jenis data yang dikongsi atau dikumpul oleh aplikasi.
Dengan memahami cara teknologi ini berfungsi, pengguna dapat membuat keputusan yang lebih bijak untuk melindungi privasi digital mereka.
Ts. Mohd Fitri Edros
Ketua Bahagian Infrastruktur ICT
Pusat Pengurusan & Pembangunan Digital
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)