Menurut kajian oleh Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF), Malaysia mempunyai jumlah penghidap diabetes kelima tertinggi di dunia. Punca utama diabetes adalah gaya hidup tidak sihat, terutama pengambilan gula berlebihan tanpa kawalan.
Malaysia juga merupakan antara negara paling tinggi obesiti di rantau Asia Tenggara, dan gula adalah salah satu musuh utama penyakit tidak berjangkit.
Langkah kerajaan mengisytiharkan perang terhadap gula, seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan pada Ogos lalu, adalah sangat tepat. Susulan daripada itu, dalam ucapan pembentangan belanjawan 2025, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kenaikan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari tahun depan.
Langkah ini boleh diperkemas dengan kempen kesihatan awam yang meluas yang menyerlahkan hubungan antara pengambilan gula dengan pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung.
Kempen-kempen ini harus menggunakan mesej yang jelas dan ringkas, menggunakan visual dan statistik untuk menggambarkan keseriusan isu tersebut.
Namun, memandangkan isu ini sudah berada di tahap kritikal, tindakan yang lebih tegas dan drastik perlu diambil. Salah satu pendekatan yang boleh digunakan ialah kaedah kawalan produk rokok dan tembakau.
Langkah-langkah yang serupa seperti terkandung dalam Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2024 (Akta 852) mungkin boleh digubal untuk mengawal penjualan dan penggunaan produk yang mengandungi gula.
Langkah pertama yang boleh diambil ialah mengharamkan iklan dan promosi produk yang mengandungi gula tinggi di semua medium media termasuk televisyen, radio dan Internet. Ia bertujuan mengurangkan daya tarik, terutama kepada remaja dan kanak-kanak. Larangan ini juga meliputi pengiklanan di lokasi-lokasi jualan.
Seperti produk rokok di Malaysia, produk tinggi gula juga perlu diwajibkan untuk mempamerkan amaran kesihatan yang jelas berserta gambar yang mengerikan pada paketnya. Ia bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna mengenai risiko kesihatan yang berkaitan dengan pengambilan gula berlebihan dan mendorong mereka untuk mengurangkan penggunaannya.
Kerajaan juga boleh menetapkan umur minimum untuk pembelian produk bergula tinggi, misalnya 12 tahun. Penjual diwajibkan untuk mematuhi peraturan ini dan boleh dikenakan tindakan jika gagal berbuat demikian.
Kini, produk seperti coklat, gula-gula dan minuman bergula tinggi mudah diperoleh. Di kebanyakan premis perniagaan, ia diletakkan di kaunter pembayaran bagi merangsang pengguna. Penjualan produk tinggi gula perlu dikawal dengan tidak meletakkannya berhampiran kaunter pembayaran atau di tempat yang mudah dicapai oleh kanak-kanak.
Kesimpulannya, menangani isu penggunaan gula berlebihan memerlukan pendekatan yang lebih drastik dengan mengambil pendekatan kawalan jualan rokok.
Dengan melaksanakan strategi-strategi ini, kita dapat memperkasakan individu untuk membuat pilihan yang lebih sihat dan mengurangkan beban penyakit berkaitan gula ke atas masyarakat.
Dr Omar Yaakob
Ahli Jawatankuasa Pusat
Pertubuhan IKRAM Malaysia