Sehingga hari ini Yahya Sinwar terus menjadi sebutan ramai di seluruh platform media sosial. Walaupun nyawa dan rohnya telah kembali kepada Sang Pencipta, semangat perjuangannya menghidupkan jiwa jutaan penduduk dunia sama ada beragama Islam atau bukan Islam.
Daripada sudut naratif, rejim Zionis mengalami kerugian besar apabila mereka mendedahkan rakaman dan gambar terakhir Yahya kerana bahan-bahan visual tersebut menjadi simbol perjuangan, keberanian dan kegagahan seorang penuntut kemerdekaan.
Sehubungan dengan itu, dilaporkan kesyahidan Yahya merupakan sesuatu yang tidak dijangka oleh pihak Zionis. Berkenaan hal ini, sebuah saluran berita berbahasa Hebrew, Saluran 12, mendedahkan rakaman yang dilakukan oleh kamera badan milik anggota-anggota tentera Zionis yang terlibat dalam pertempuran dengan Yahya.
Episod pertempuran ini bermula pada hari Rabu, 16 Oktober apabila seorang anggota tentera daripada Briged 450 mengesani pergerakan tiga orang anggota tentera bersenjata dalam wilayah Tal al-Sultan, Rafah.
Beliau berkata, “Saya mendapati tiga orang bersenjata sedang berjalan di sana, mereka mungkin berada di dalam rumah ini.”
Kemudiannya briged berkenaan mara ke kawasan sasaran dan menjumpai rumah yang disebutkan. Mereka mendapati dalam rumah itu, dua orang sedang berjalan di sebalik selimut yang dipasang di dinding bagi menutupi pandangan dan di belakang mereka berdua terdapat seorang lelaki yang memegang senjata ringan dan mukanya ditutupi dengan kain Keffiyeh.
Semua anggota dalam briged berkenaan tidak mengetahui lelaki tersebut ialah ketua Hamas dan buruan nombor satu entiti rejim Zionis. Apabila mereka sampai ke lokasi berkenaan, berlaku pertempuran panas antara kedua-dua pihak.
Kesan daripada itu, lengan Yahya akhirnya tercedera parah akibat tembakan musuh. Ekoran itu, dua orang ahli pasukan Yahya mara ke rumah sebelahnya dan beliau pula mara ke sebuah rumah lain.
Namun, pergerakan Yahya diketahui oleh seorang anggota tentera Zionis. Kata beliau menerusi radio, “Aku telah menyaksikan beliau (Yahya) dalam rumah ini.”
Yahya tidak hanya duduk diam dalam rumah tersebut, walaupun seorang diri, beliau melepaskan tembakan terhadap musuh dan melemparkan grenad kepada mereka sehingga ada yang mengalami cedera parah.
Seterusnya kereta-kereta kebal musuh pula mara ke rumah berkenaan dan menghalakan meriamnya kepada sasaran.
Selepas itu, sebuah kamera badan daripada salah seorang anggota tentera rejim Zionis mengesani Yahya sedang berada di tingkat dua bangunan berkenaan.
Ketua Briged 450 memobilisasikan sebuah dron untuk meninjau keadaan di dalam rumah sebelum melakukan serbuan.
Sekali lagi, tiada sapa menjangka rakaman tersebut akan menjadi rakaman terakhir Yahya. Dalam rakaman dron tersebut jugalah disaksikan balingan sebatang kayu daripada Yahya terhadapnya.
Anggota tentera Briged 450 mendekati bangunan berkenaan sambil melepaskan tembakan secara bertubi-tubi. Selang beberapa tempoh, sebuah kereta kebal melepaskan peluru meriam terhadap tingkat dua yang dikesani adanya Yahya.
Peluru meriam tersebut dilaporkan punca kesyahidan Yahya. Berjam-jam selepas itu, barulah pasukan rejim Zionis ada keberanian untuk menyerbu rumah sasaran.
Pada saat itu, mereka telah mendapat kepastian penuh bahawa mereka sebenarnya sedang bertempur dengan buruan nombor satu entiti Zionis yang telah pun tidak bernyawa.
Zionis menjangkakan rakaman-rakaman dan gambar-gambar visual berkenaan kesyahidan Yahya akan jadi penghinaan buat beliau dan itulah niat sebenar mereka.
Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Bukti-bukti visual ini sekali gus menyegarkan kembali semangat juang dan ia ditonton jutaan manusia seluruh dunia sebagai sumber inspirasi dan motivasi dalam usaha memerdekakan tanah air Palestin.
Semua kehidupan di dunia ini menemui kematian, tetapi kematian Yahya merupakan ketukan kepada umat yang sedang lena.
Satu kata-kata tersebar di laman sosial, “Setahun penuh penjajah memburu Yahya di dalam terowong bawah tanah. Rupanya Yahya juga sedang memburu mereka di atas tanah.”
Beliau mendapat kemuliaan dengan kesyahidan sambil berjuang di jalan Allah demi menegakkan agama-Nya.
Berkata Universiti al-Azhar al-Syarif selepas beberapa jam sahaja diumumkan kesyahidan almarhum, “Perjuangan mempertahankan tanah air, bumi, isu Palestin dan kematian dalam jalan ini merupakan satu kemuliaan yang tidak dapat menandingi mana-mana kemuliaan.”
Akhir sekali dan paling penting, persoalan utama yang sepatutnya bermain dalam fikiran kita semua ketika ini ialah apa pula yang kita boleh berikan untuk membebaskan Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa daripada genggaman Zionis dan adakah apa yang telah dilakukan sebelum ini telah cukup atau perlu ditambah lagi?
Semoga kesyahidan almarhum menjadi titik muhasabah untuk kita supaya berusaha lebih lagi bagi memerdekakan Palestin demi mencapai reda Allah SWT.
Megat Aiman Hakim Megat Shariffudin
Penyelidik Aqsa Syarif
Sumber: FB Aqsa Syarif