Statistik terkini menunjukkan seramai 293,639 rakyat Malaysia telah kehilangan pekerjaan semenjak tahun 2020 sehingga September 2024. Pelbagai faktor didapati menjadi punca kepada pemberhentian tersebut seperti automasi, penggunaan teknologi baharu dan kesan pandemik yang telah mengubah landskap pekerjaan di negara kita.
Namun begitu, di sebalik cabaran ini, terdapat peluang kepada mereka yang menghadapi situasi ini untuk bangkit semula. Islam mengajar umatnya bahawa setiap cabaran dan ujian yang ditempuhi mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Allah SWT tidak akan menguji hamba-Nya melebihi kemampuan, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
Apabila menerima berita pemberhentian kerja, adalah normal untuk berasa terkejut, bimbang dan risau. Namun, kita disarankan menghadapinya dengan tenang dan rasional sambil memperteguh spiritual.
Dalam masa 48 jam pertama, sambil memperbanyak istighfar dan doa, mereka yang mengalami situasi ini perlu mengumpul semua dokumen penting seperti surat pemberhentian rasmi dan slip-slip gaji dalam tempoh enam bulan. Daftarkan diri dengan PERKESO untuk Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) secepat mungkin untuk mendapatkan bantuan yang disediakan.
Stabilkan keadaan dan emosi
Minggu pertama merupakan masa yang kritikal untuk menstabilkan keadaan dan emosi. Mulakan dengan menyemak semula resume anda. Resume yang kemas dan profesional amat penting dengan mengemas kini pencapaian, disesuaikan dengan industri yang disasarkan, serta pastikan kata kunci yang relevan dimasukkan.
Pada masa yang sama, perbanyak amalan solat sunat hajat dan tahajud untuk meluahkan emosi kebimbangan dan harapan. Gabungan usaha lahiriah dan batiniah ini penting untuk memberi kekuatan menghadapi cabaran pada saat getir begini.
Seterusnya, lakukan audit kewangan peribadi secara teliti dengan menyemak semua simpanan dan komitmen bulanan. Islam mengajar kita untuk bijak mengurus harta, maka kenal pasti mana-mana perbelanjaan yang boleh dikurangkan.
Berbincanglah secara terbuka dengan keluarga tentang langkah penjimatan yang perlu diambil. Ubah cara berfikir dengan menyatakan bahawa saat ini merupakan masa yang sesuai untuk mengeratkan silaturahim dengan keluarga dan sahabat yang boleh memberi sokongan moral dan spiritual.
Dalam tempoh mencabar ini, aspek kesihatan fizikal dan mental tidak boleh diabaikan. Nabi Muhammad SAW mengajar kita untuk menjaga kesihatan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab individu Muslim.
Kekalkan rutin harian yang sihat dengan tidur awal, bersenam dan pengambilan makan secara teratur. Jadikan waktu solat lima kali sehari itu sebagai tiang sendi kekuatan rohani, menambah bacaan zikir, wirid dan bacaan al-Quran untuk lebih menenangkan jiwa.
Setelah keadaan lebih stabil, fokuslah kepada perancangan masa hadapan. Ketika ini, anda perlu menilai secara jujur apakah kemahiran yang dimiliki. Mengkaji, mencari dan meneliti pasaran kerja semasa – industri mana yang sedang berkembang? Apakah kemahiran yang diperlukan?
Tetapkan matlamat realistik untuk 3 – 6 bulan akan datang dengan memulakan pencarian kerja secara aktif dan sistematik. Guna dan manfaatkan platform dalam talian untuk pencarian kerja seperti LinkedIn dan MyFutureJobs.
Tingkatkan kemahiran diri
Pada masa yang dianggap lapang namun mencabar ini, anda perlu menggunakan masa yang ada untuk meningkatkan kemahiran diri. Tidak perlu malu menuntut ilmu yang baharu sesuai dengan persekitaran digital pada masa kini.
Menuntut ilmu merupakan asas kepada pembentukan dan peningkatan kemahiran baharu. Nabi Muhammad SAW bersabda (maksudnya): “Menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslim.”
Dengan pencarian maklumat di hujung jari, gunakanlah platform pembelajaran dalam talian yang menawarkan pelbagai kursus secara percuma. Fokuslah kepada kemahiran yang diperlukan industri semasa, sambil memastikan ia halal dan memberi manfaat kepada ummah.
Selain itu, anda perlu rajin menghadiri webinar dan program latihan yang disediakan oleh jabatan, NGO, institusi, kementerian dan sebagainya yang mampu meningkatkan nilai anda dalam pasaran kerja.
Kehilangan kerja bukan bermakna anda akan kehilangan semuanya kerana bantuan dan sokongan tersedia di mana-mana. Sebagai contoh, PERKESO menawarkan pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran. Selain itu, institut latihan kemahiran seperti GIATMARA dan ILKM menawarkan kursus teknikal dengan yuran minimum.
Jika mencari pengisian secara fizikal, boleh dapatkan perkhidmatan kaunseling kerjaya yang boleh membantu, memandu dan mengenal pasti haluan kerjaya baharu.
Walaupun berasa keseorangan kerana tiada rakan kerja di sekeliling, anda perlu juga meluaskan rangkaian profesional kerana rangkaian merupakan antara aset penting ketika mencari kerja. Anda boleh hubungi bekas rakan sekerja dan kenalan lama dalam industri.
Manfaatkan hubungan sosial ini dengan cara yang baik dengan mencari peluang menyertai kumpulan profesional Muslim dalam platform media sosial. Ini bukan sahaja membuka peluang kerjaya, malah menguatkan ukhuwah sesama Muslim.
Teruskan usaha bersama doa
Dalam mencari kerja baharu, jangan lupa untuk sentiasa memohon petunjuk daripada Allah SWT. Selepas setiap solat, perbanyak doa memohon kelapangan rezeki. Pilih pekerjaan yang halal dan memberi manfaat kepada ummah. Rangkaikan diri dengan komuniti profesional Muslim yang boleh membuka peluang kerjaya baharu.
Allah SWT berfirman dalam surah at-Talaq ayat 2 – 3 (maksudnya): “Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”
Yakinlah bahawa setiap kesulitan pasti ada kelapangan. Inilah kesabaran Nabi Yaakub a.s. ketika kehilangan Nabi Yusuf a.s. dengan berdoa dan berkata, “Sesungguhnya aku hanya mengadukan kesusahan dan kesedihanku kepada Allah.” Inilah teladan kesabaran dan tawakal yang perlu dicontohi.
Justeru, kehilangan kerja dan menghadapi situasi yang mencabar ini sebenarnya boleh menjadi titik permulaan untuk sesuatu yang lebih baik. Ramai yang telah berjaya, terus bangkit dan berada dalam kerjaya yang lebih memuaskan. Apa yang penting adalah untuk kekal positif, proaktif dan sentiasa bersedia untuk mencari atau membuka peluang baharu.
Yakinlah dengan firman Allah SWT dalam al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu.” Maka, kekalkan keyakinan bahawa setiap kesulitan pasti ada kelapangan.
Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia