Halalan Toyyiban: Maksud dan Kewajipan Mencarinya

Bagi manusia yang berfikiran waras, tiada sesiapa pun yang mahu merosakkan tubuh badannya termasuk akal fikiran dengan mengambil makanan atau minuman dari sumber yang tidak bagus.

Ini juga termasuk dalam soal menggunakan barangan atau perkhidmatan yang boleh memberikan kecelakaan dan kemudaratan pada diri sendiri.

Kesedaran umat manusia dalam hak kepenggunaan secara tidak langsung akan mendidik minda dan jiwa kita untuk lebih cerewet atau dengan maksud lain menjadi lebih teliti dalam soal memilih yang baik dan menolak yang buruk.

Lebih-lebih lagi dalam memilih pemakanan yang sihat, keutamaan bagi kita memilih yang halal pada sudut syariat dan yang baik untuk kesihatan. Oleh kerana itu, Islam datang untuk menjaga kepentingan diri manusia melalui pensyariatan memilih yang halal lagi baik.

Ungkapan “Halalan Toyyiban” adalah kombinasi dua perkataan yang berbeza iaitu halal dan toyyiban. Gabungan perkataan tersebut membawa maksud sesuatu yang halal dan bersifat baik. Perkataan halalan toyyiban ini merupakan seruan dan perintah Allah kepada para manusia dalam memenuhi keperluan kehidupan.

Perkataan “halal” ialah berasal daripada satu kata nama dalam bahasa Arab. Dalam kamus al-Mu’jam al-Wasith, halal membawa maksud dibenarkan. Dari sudut istilah syarak pula, halal adalah suatu kebenaran oleh syariat Islam.

Dalam pada itu, al-Jurjani dalam kitab al-Ta’rifat menyatakan bahawa pengertian halal bermaksud keharusan menggunakan benda-benda atau apa-apa yang diperlukan untuk memenuhi keperluan jasmani seperti makanan, minuman dan ubat-ubatan. Manakala ungkapan “toyyiban” berasal daripada bahasa Arab yang padanya membawa makna kebaikan, bagus dan elok.

Islam sememangnya mengajar umatnya untuk memilih yang halal dan baik. Seruan mencari yang halal lagi baik ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dengan pelbagai keadaan ayat.

Dalam sebahagian keadaan, Allah SWT menyebutkan istilah halal pada sudut kewangan, ada keadaan lain pula Allah SWT menyebutnya dalam keadaan hal kekeluargaan juga sebahagian keadaan Allah menekankan soal halal dalam memilih makanan, rezeki dan selainnya.

Walaupun begitu, penggunaan istilah halal lagi baik dalam soal mencari makanan, minuman dan mencari rezeki lebih meluas dan banyak digunakan. Oleh itu, Islam sememangnya mementingkan perkara yang halal lagi baik dalam semua sudut dan sisi kehidupan.

Sebagai contoh, Allah SWT menekankan para hamba-Nya untuk memperolehi kewangan daripada sumber yang halal dengan melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh syariat.

Ini dapat dilihat menerusi Surah al-Baqarah ayat 278 – 279, firman Allah SWT yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki-baki riba itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian), kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”

Ayat ini menjelaskan kepada kita mengenai ketegasan Allah SWT dengan memerintahkan para hamba-Nya meninggalkan segala aktiviti yang haram seperti riba. Kerana riba itu haram, namun Allah telah menghalalkan jual beli yang padanya tidak ada riba.

Selain itu, Allah SWT juga menekankan soal halal hubungan suami isteri dalam institusi kekeluargaan. Hubungan cinta yang melibatkan dua jiwa akan menjadi halal atas akad pernikahan. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 12 yang bermaksud:

Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.

Melalui kefahaman ayat ini, kehendak dan dorongan oleh nafsu para manusia untuk memenuhi keperluan fitrah seksualnya telah dihalalkan oleh Allah SWT bagi mereka yang telah berkahwin.

Namun begitu, adalah haram pula bagi mereka yang berhubungan tanpa diikat dengan sebarang akad pernikahan yang sah di sisi syarak.

Selain itu, seruan perintah Allah untuk mencari yang halalan toyyiban ini pula lebih meluas dalam soal memilih makanan dan minuman serta mencari rezeki.

Dalam banyak keadaan dengan kepelbagaian ayat, Allah SWT sangat menitikberatkan para hamba-Nya untuk memakan daripada sumber yang halal dan bersifat baik.

Hal ini bertepatan dengan firman-Nya di dalam al-Quran, menerusi Surah al-Baqarah ayat 168, Allah Azzawajalla berfirman yang bermaksud:

Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

Melalui firman-Nya ini, jelas menunjukkan bagaimana Islam melalui syariat Allah memerintahkan umat manusia untuk mencari rezeki, makan dan minum dengan berasaskan kepada konsep halalan toyyiban. Konsep halalan toyyiban ini merujuk kepada maksud yang halal lagi bersih, suci dan diyakini.

Ini bermakna, memilih sesuatu makanan dan minuman itu bukan sahaja perlu melihat kepada kebersihan yang bersifat luaran seperti gerai yang bersih, namun perlu juga menilai dan melihat kebersihan dari sudut kandungan, bahan termasuklah melibatkan proses penghasilan dan keselamatan penggunaannya.

Syariat mencari yang halal lagi baik ini juga secara tidak langsung memenuhi tuntutan kehendak dan tujuan syariat (maqasid syariah) iaitu di bawah kategori menjaga akal dan nyawa.

Berlandaskan kepada tujuan tersebut juga, baginda Nabi SAW turut memberikan penegasan terhadap hal ini. Ketegasan Nabi SAW dalam perkara ini dapat dilihat berdasarkan sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya yang halal itu telah jelas dan yang haram pun telah jelas pula. Sedangkan di antaranya ada perkara syubhat (samar-samar) yang kebanyakan manusia tidak mengetahui (hukum)-Nya. Barang siapa yang menghindari perkara syubhat (samar-samar), maka ia telah membersihkan agama dan kehormatannya. Barang siapa yang jatuh ke dalam perkara yang samar-samar, maka ia telah jatuh ke dalam perkara yang haram.”

Berdasarkan hadis ini, jelas kepada kita bahawa sesuatu yang halal dan haram itu sudah diberikan panduan oleh Islam. Dan antara kedua-duanya itu disebutkan sebagai “syubhah” atau samar-samar. Meninggalkan perkara yang samar-samar itu lebih baik dan elok berbanding daripada melakukannya.

Demikianlah ketegasan Allah dan Rasul-Nya yang sangat menitikberatkan soal pemilihan makanan dan minuman serta memperolehi rezeki daripada sumber yang halal lagi bersifat baik, bersih dan elok.

Dengan kata lain, Islam sangat melarang umatnya daripada memakan harta dengan cara yang batil, Islam juga turut menegah umatnya daripada memakan makanan daripada sumber yang tidak halal, tidak bersih, jijik lagi kotor pula serta Islam menegah umatnya memperolehi sumber kewangan melakukan aktiviti perniagaan dengan cara yang haram seperti riba.

Inilah Islam yang sentiasa menekankan konsep kehidupan yang sejahtera dengan memilih yang halal pada setiap urusan kehidupan. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Muhammad Faidhi Azis

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia