Melihat kepada segelintir content creator kini, adakalanya berlebihan dalam mengetengahkan kandungan yang dibuat oleh mereka. Apalagi mereka menyentuh soal menyerupai sesuatu yang dilarang dalam agama dan melampau.
Seorang lelaki menyerupai wanita semata hendak menghiburkan pengikut atau netizen. Ingatkah kita tentang hadis Nabi Salallahu Alaihi Wasallam:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka.”
Hadis ini diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat; Abdullah bin ‘Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas bin Malik. Antara ahli hadis yang mengumpul hadis ini; Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar dan lain-lain. Hadis ini dinilai oleh Ibn Taimiyyah (w. 728H) sebagai sahih, al-Iraqi (w. 806H) juga menilai sebagai sahih, Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) menyatakan ia ‘hasan’ dan demikian juga al-Albani.
Sedar dan pedulikah kita, betapa tenatnya situasi masyarakat kini seakan tidak peduli akan larangan ini?
Jangan berbuat sesukanya
Matlamat tidak menghalalkan cara. Itulah ungkapan yang boleh diberikan kepada mereka yang mahu melakukan sesuatu perkara untuk tujuan baik tetapi menggunakan cara yang salah dengan melanggar hukum-hakam agama.
Kebelakangan ini menyaksikan satu fenomena yang semakin berleluasa: lelaki Islam berpakaian wanita atau wanita Islam yang berpakaian menyerupai lelaki. Perkara ini semakin menjadi kebiasaan, khususnya dalam konteks mempromosikan barangan atau untuk tujuan hiburan dan lawak jenaka.
Namun, apa yang membimbangkan ialah sikap sesetengah pihak yang menganggap perkara ini tidak bercanggah dengan ajaran agama. Mereka berhujah bahawa mereka tidak benar-benar menjadi jantina yang berlawanan, sekadar berpakaian sahaja untuk tujuan tertentu.
Pandangan sedemikian adalah cetusan pemikiran yang cetek dan kurang memahami falsafah di sebalik larangan ini dalam Islam. Perbuatan menyerupai jantina yang berlawanan, walaupun sekadar pakaian, membawa implikasi yang lebih ‘bahaya’ daripada sekadar penampilan luaran.
Ia boleh mengakibatkan kekeliruan identiti, mencabar norma sosial yang telah ditetapkan oleh agama dan berpotensi membuka pintu kepada perkara-perkara yang lebih serius.
Kembali kepada fitrah
Islam menekankan kepentingan menjaga fitrah dan identiti gender sebagaimana yang telah diciptakan oleh Allah SWT. Setiap jantina memiliki peranan dan tanggungjawab tersendiri dalam masyarakat.
Mengaburkan sempadan ini, walaupun untuk tujuan yang dianggap ‘baik’ atau ‘tidak serius’, boleh membawa kepada implikasi jangka panjang yang negatif terhadap individu dan masyarakat.
Justeru, adalah penting bagi umat Islam untuk memahami bahawa matlamat murni tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar prinsip-prinsip asas agama. Terdapat banyak cara lain yang lebih kreatif dan berlandaskan syariat untuk mencapai matlamat yang sama, tanpa perlu berkompromi dengan nilai-nilai Islam.
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari ini membawa makna yang mendalam dan relevan sepanjang zaman inilah yang perlu disematkan:
“Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” [HR Bukhari 5435]
Bayangkan sebuah lukisan indah yang dicoret dengan warna yang salah. Begitulah Allah SWT telah mencipta lelaki dan wanita dengan keunikannya yang tersendiri. Hadis ini menekankan pentingnya menghargai dan memelihara fitrah semula jadi yang telah dianugerahkan kepada kita.
Begitu juga seperti orkestra yang memerlukan pelbagai alat muzik untuk menghasilkan simfoni yang harmoni, masyarakat juga memerlukan peranan yang jelas antara lelaki dan wanita. Betapa kepentingan menjaga keseimbangan ini amatlah perlu.
Dalam dunia yang semakin kabur dengan definisi gender, hadis ini berdiri sebagai mercu tanda yang jelas. Ia melindungi masyarakat daripada kekeliruan identiti yang boleh membawa kepada masalah psikologi dan sosial yang lebih besar hingga membarah, merosakkan umat.
Setiap ciptaan Allah Subhanahu Wa Taala adalah sempurna. Lelaki dicipta dengan kelebihan lelaki dan wanita dengan kelebihan wanita. Menyerupai jantina lain seolah-olah mengatakan bahawa ciptaan Allah tidak sempurna dan perlu diubah.
Apa yang pasti, kita sebagai hamba-Nya, wajib menerima diri sendiri sebagaimana adanya, ia juga adalah kunci kepada kesihatan mental. Hadis ini secara tidak langsung menggalakkan kita untuk selesa dengan diri sendiri, tanpa perlu menjadi orang lain.
Menyingkap hikmah di sebaliknya
Seperti ibu bapa yang melarang anak mereka daripada bermain dengan api, larangan dalam hadis ini juga datang daripada kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya. Ia bertujuan melindungi kita daripada kemudaratan yang mungkin tidak disedari.
Selain itu, dalam dunia moden di mana sempadan gender semakin kabur, hadis ini sangat relevan. Ia menjadi panduan dalam menghadapi cabaran seperti ideologi ‘gender fluid’ dan transeksualisme.
Walaupun hadis ini menggunakan perkataan ‘melaknat’, tujuannya adalah untuk mendidik dan membimbing, bukan semata-mata untuk menghukum. Ia menunjukkan betapa seriusnya isu ini dalam pandangan Islam.
Islam mengajar kita untuk menghargai kepelbagaian. Lelaki dan wanita walaupun berbeza, adalah setara di sisi Allah. Hadis ini menggalakkan kita untuk meraikan perbezaan ini dalam perpaduan ummah.
Hadis ini mengajak kita untuk bermuhasabah. Adakah cara kita berpakaian, bertingkah laku atau menjalani kehidupan mencerminkan identiti yang telah Allah anugerahkan kepada kita?
Justeru, apa yang pasti, hadis ini bukan sekadar larangan mudah, tetapi ia merupakan panduan komprehensif untuk memelihara fitrah, menjaga keharmonian masyarakat dan menghormati kebijaksanaan Ilahi dalam penciptaan manusia.
Dalam dunia yang semakin mencabar nilai-nilai tradisional, hadis ini berdiri teguh sebagai tiang seri yang memandu umat Islam untuk hidup selaras dengan kehendak Allah SWT.
Lantas, bagaimana kita sebagai umat Islam menyikapi segalanya ini?
Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM