Salahkah Suami Tidak Beri Nafkah kepada Isteri Bekerja?

Dalam kehidupan berumah tangga, tanggungjawab suami dan isteri diatur dengan teliti oleh syariat Islam. Salah satu tanggungjawab yang diberatkan kepada suami ialah memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak.

Namun, dalam situasi isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, sering timbul persoalan: adakah suami masih wajib menyediakan nafkah kepada isteri? Adakah suami bersalah sekiranya tidak memperuntukkan nafkah?

Definisi nafkah dalam Islam

Nafkah secara umumnya merujuk kepada segala keperluan asas yang mesti ditanggung oleh suami untuk isterinya termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal dan perubatan. Tanggungjawab ini dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 233 yang bermaksud:

“Dan kewajipan ayah ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang baik.”

Hal ini menunjukkan bahawa nafkah adalah tanggungjawab utama seorang suami dan bukan bergantung kepada sama ada isteri bekerja atau tidak. Dalam Islam, bekerja adalah hak isteri tetapi tidak mengubah kewajipan suami untuk menyediakan nafkah.

Kewajipan nafkah tidak gugur walaupun isteri bekerja

Ulama kontemporari seperti Syeikh Yusuf al-Qaradawi dan Syeikh Wahbah Zuhaili menegaskan bahawa pekerjaan isteri tidak menggugurkan kewajipan suami untuk memberi nafkah. Ia demikian kerana kewajipan nafkah dalam Islam terletak atas bahu suami berdasarkan ayat al-Quran dalam surah an-Nisa’ ayat 34, yang bermaksud:

⁠”Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.”

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa lelaki diberikan tanggungjawab untuk menanggung nafkah isteri, tidak kira sama ada isteri bekerja atau tidak.

Pendapatan isteri adalah hak isteri

Ulama seperti Syeikh Ibn Uthaymeen menegaskan bahawa pendapatan yang diperoleh oleh isteri daripada kerjanya adalah hak milik isteri sepenuhnya.

Suami tidak mempunyai hak untuk menuntut atau mengambilnya tanpa izin isteri. Jika isteri memilih untuk membantu suami daripada pendapatannya, ia dianggap sebagai satu sumbangan atau sedekah dan bukan tanggungjawab.

Pandangan ini juga disokong oleh ulama seperti Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (mantan Mufti Wilayah Persekutuan), yang menyatakan bahawa hak pendapatan isteri adalah mutlak dan isteri tidak wajib menggunakan wangnya untuk perbelanjaan rumah tangga melainkan secara sukarela.

Isteri bekerja: Adakah nafkah masih wajib?

Walaupun isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, kewajipan suami untuk menyediakan nafkah tidak gugur. Hal ini kerana nafkah merupakan hak isteri yang diberikan oleh syariat sebagai salah satu tanggungjawab perkahwinan.

Walaupun isteri memilih untuk bekerja dan mempunyai sumber pendapatan, wang yang diperoleh itu adalah haknya sendiri dan dia tidak diwajibkan untuk menanggung keperluan rumah tangga.

Menurut para ulama, bekerja adalah hak isteri tetapi kewajipan nafkah tetap ditanggung oleh suami. Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin menegaskan bahawa nafkah adalah wajib ke atas suami selagi isteri berada dalam tanggungannya, walaupun isteri memiliki kekayaan atau pendapatan sendiri.

Apakah termasuk dalam nafkah?

Nafkah bukan sekadar dalam bentuk wang. Ia merangkumi segala keperluan asas seperti:

•⁠  ⁠Makanan dan minuman: Suami harus memastikan isteri dan keluarga menerima makanan yang mencukupi dan berkualiti.

•⁠  ⁠Pakaian: Suami wajib menyediakan pakaian yang sesuai dengan keadaan cuaca dan situasi serta menjaga maruah isteri.

•⁠  ⁠Tempat tinggal: Suami bertanggungjawab memastikan isteri dan keluarga tinggal dalam rumah yang selesa dan selamat.

•⁠  ⁠Perubatan: Sekiranya isteri atau anak-anak sakit, adalah menjadi tanggungjawab suami untuk menanggung kos perubatan.

Adakah suami bersalah jika tidak memberikan nafkah?

Walaupun isteri bekerja, namun sekiranya suami tidak memperuntukkan nafkah buat isterinya itu, suami dianggap bersalah dari sudut syariah. Dalam Islam, kewajipan ini tidak boleh diabaikan walaupun isteri mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk dirinya sendiri. Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

“Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa jika dia mensia-siakan orang yang sepatutnya dia tanggung.” (Riwayat Abu Dawud)

Tanggungjawab nafkah ini adalah kewajipan suami sebagai pemimpin rumah tangga. Kegagalan untuk menunaikan nafkah boleh menyebabkan dosa besar, dan dalam keadaan tertentu, isteri boleh menuntut hak nafkahnya melalui jalan undang-undang.

Peranan isteri yang bekerja dalam rumah tangga

Walaupun isteri bekerja, Islam tidak mewajibkan isteri untuk menggunakan pendapatannya untuk keluarga.

Namun, dalam situasi tertentu, isteri boleh memilih untuk membantu suami dalam menanggung perbelanjaan rumah tangga atas dasar kerjasama dan kasih sayang. Tindakan ini adalah ihsan dan kebaikan daripada isteri, tetapi bukan kewajipan.

Jika isteri bersedia berkongsi beban kewangan, suami tetap tidak boleh melepaskan tanggungjawab utamanya dalam menyediakan nafkah asas. Isteri yang membantu suami haruslah dihargai, tetapi suami tidak boleh mengabaikan tanggungjawab asalnya.

Penutup

Kesimpulannya, suami tetap wajib menyediakan nafkah untuk isteri walaupun isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri. Nafkah adalah hak isteri yang tidak boleh diabaikan oleh suami dan kegagalan untuk menunaikan tanggungjawab ini adalah suatu kesalahan dari sudut agama.

Dalam masa yang sama, isteri yang bekerja dan membantu suami dalam menanggung beban kewangan rumahtangga harus dihargai, tetapi ia tidak bermakna kewajipan suami terhadap nafkah gugur.

Perkahwinan yang bahagia terletak pada sikap saling memahami tanggungjawab dan hak masing-masing.

Sebaik-baiknya, pasangan suami isteri hendaklah berbincang dengan baik mengenai peranan dan sumbangan masing-masing dalam rumah tangga agar keharmonian dan kesejahteraan dapat dikekalkan.

Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria dan Zulsyahmi Husaini Kamarulzaman

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia