Perkahwinan yang Bergolak: Bertahan atau Berpisah?

Perkahwinan adalah satu ikatan yang kebiasaannya dibina atas dasar cinta, kepercayaan dan komitmen. Namun, tidak semua perjalanan perkahwinan berjalan lancar. Ada kalanya perkahwinan dihadapkan dengan cabaran yang menggoncang asas yang telah dibina.

Ketika konflik semakin memuncak, ramai pasangan mula bertanya adakah wajar untuk terus bertahan dalam perhubungan yang penuh ketegangan atau sudah tiba masanya untuk berpisah dan mencari kebahagiaan di tempat lain?

Artikel ini akan membincangkan tanda-tanda perkahwinan yang bergolak, faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan dan bagaimana membuat keputusan yang sukar antara memperbaiki hubungan atau melepaskan ia demi masa depan yang lebih harmoni.

Perkahwinan yang dibentuk atas niat untuk mencari reda Allah SWT merupakan satu ruang ibadah yang sangat indah. Ikatan yang dipenuhi dengan hak-hak dan tanggungjawab yang disulami dengan kasih sayang juga cinta hakikatnya memenuhi tuntutan fitrah manusia. Firman Allah SWT

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ  ٢١

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Ar-Rum: 21)

Ayat ini menekankan pentingnya mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (belas kasihan) dalam ikatan perkahwinan, serta menunjukkan betapa perkahwinan adalah satu nikmat dan tanda kekuasaan Allah SWT bagi manusia.

Amalan sunnah ini sangat dianjurkan dalam Islam kerana ia merupakan satu-satunya cara bagi melahirkan generasi akan datang yang menjadi aset penting umat Islam.

Selain daripada  melahirkan cinta dan kasih sayang yang mendalam antara suami dan isteri, perkahwinan mampu memelihara maruah diri dengan menjaga kehormatan dan menghindarkan diri daripada perkara-perkara maksiat. Perkahwinan bukan sekadar penyatuan dua individu, tetapi juga satu jalan menuju kebahagiaan dunia dan akhirat.

Perlu juga akur bahawa perkahwinan seperti bahtera di lautan, terkadang tenang terkadang diterjang badai. Setiap pasangan perlu sentiasa sedar bagi mengenalpasti perubahan-perubahan kecil yang terjadi dalam hubungan mereka sebelum ia menjadi lebih rumit dan sukar diuraikan.

Cabaran-Cabaran Dalam Perkahwinan

Sesebuah perkahwinan, walaupun yang dibina atas dasar cinta dan kasih sayang tidak dapat lari daripada ujian apalagi cabaran hidup yang boleh menguji kekuatan hubungan suami isteri.

Bak kata pepatah, “sedangkan lidah boleh tergigit, inikan pula suami isteri,”  jelas bahawa dalam hubungan suami isteri, perbezaan pendapat dan perselisihan adalah perkara biasa.

Walaupun terdapat kasih sayang, kadangkala pasti akan ada pergeseran kecil yang menguji kesabaran dan kematangan dalam menyelesaikan masalah bersama. Firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk: 2)

Dalam perkahwinan bukan semuanya manis dan indah tetapi hakikat kehidupan penuh dengan ranjau serta duri. Pergaulan suami isteri tidak boleh terlepas daripada salah faham dan mengingatkan agar suami isteri bergaul dengan cara yang baik serta penuh hormat, serta bersabar dalam menghadapi sebarang kesulitan atau perbezaan yang timbul.

Tanda-tanda perkahwinan yang sedang bergolak adalah berbeza-beza bagi setiap pasangan. Namun terdapat beberapa petunjuk umum yang sering menunjukkan masalah dalam hubungan suami isteri antaranya ialah seperti pertengkaran berterusan, kehilangan keintiman, merasa tidak dihargai atau diabaikan, kurang keterlibatan emosi, kurangnya sokongan antara satu sama lain serta kurang komunikasi.

Kurangnya komunikasi dalam perkahwinan boleh menjadi salah satu punca utama hubungan suami isteri bergolak. Apabila pasangan tidak lagi berbicara secara terbuka dan jujur antara satu sama lain, boleh menyebabkan salah faham, perasaan tidak dihargai dan rasa terasing.

Keadaan ini menyebabkan pertengkaran yang berterusan dan boleh mengakibatkan pasangan menghindari komunikasi untuk mengelakkan konflik. Situasi ini sering kali menghalang pasangan daripada berkongsi perasaan, harapan dan keprihatinan yang akhirnya membawa kepada kehilangan keintiman, ketegangan dan konflik yang tidak diselesaikan.

Kesannya, suami isteri mula berasa jauh, tidak lagi memahami keperluan dan keinginan masing-masing dan ini boleh mengakibatkan hubungan menjadi renggang serta rapuh. Tanda-tanda ini tidak bermakna perkahwinan akan berakhir tetapi ia adalah petunjuk bahawa perhatian dan usaha perlu diberikan untuk memperbaiki hubungan.

Bertahan Dalam Sebuah Perkahwinan

Banyak sebab untuk terus bertahan dalam sebuah perkahwinan antaranya keyakinan bahawa perkahwinan adalah ikatan yang diberkati dan harus dipelihara dengan penuh keikhlasan dan kesabaran.

Sebagaimana niat suci sebuah perkahwinan untuk mencari reda Allah SWT, maka memperbaiki hubungan juga adalah penerusan usaha untuk mencari reda Allah SWT. Perkahwinan perlu terus dipertahankan jika masih terdapat kasih sayang dan antara pasangan serta kesanggupan untuk berusaha memperbaiki hubungan.

Jika pasangan masih menghargai komitmen yang telah dibina dan bersedia untuk bekerjasama dalam mengatasi masalah, maka perkahwinan tersebut layak untuk dipertahankan.

Selain itu, jika anak-anak bergantung kepada kestabilan rumah tangga untuk perkembangan mereka, ini juga merupakan alasan kuat untuk terus bertahan. Perkahwinan adalah ikatan yang diberkati dan harus dipelihara dengan penuh kesabaran, terutama jika masih ada harapan dan doa untuk perubahan positif dalam hubungan.

Teruskan bertahan jika keinginan untuk mencari sakinah (ketenangan jiwa), rahmah dan mawaddah (cinta dan kasih sayang) masih ada dalam hati pasangan.

Berjuanglah untuk mempertahankan perkahwinan dengan mengambil langkah-langkah yang konstruktif seperti mencari pihak ketiga yang boleh membantu menyelesaikan konflik.

Pihak ketiga biasanya terdiri daripada individu yang dihormati oleh kedua-dua pihak seperti ahli keluarga, sahabat atau  kaunselor perkahwinan yang dapat memberikan pandangan yang objektif dan nasihat yang bijak.

Islam menganjurkan perlantikan pihak ketiga atau disebut sebagai hakam, untuk pasangan menghadapi kesulitan yang sukar diselesaikan sendiri. Firman Allah SWT:

وَإِنۡ خِفۡتُمۡ شِقَاقَ بَيۡنِهِمَا فَٱبۡعَثُواْ حَكَمٗا مِّنۡ أَهۡلِهِۦ وَحَكَمٗا مِّنۡ أَهۡلِهَآ إِن يُرِيدَآ إِصۡلَٰحٗا يُوَفِّقِ ٱللَّهُ بَيۡنَهُمَآۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرٗا  ٣٥

Dan jika kamu khawatirkan ada persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang hakam dari keluarga laki-laki dan seorang hakam dari keluarga perempuan. Jika kedua orang hakam itu bermaksud mengadakan perbaikan, niscaya Allah memberi taufik kepada suami-isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (An-Nisa’, 4:35)

Ayat ini menunjukkan bahawa apabila berlaku perselisihan yang serius dalam perkahwinan, melibatkan pihak ketiga dari kalangan keluarga atau individu yang dipercayai adalah langkah yang dianjurkan untuk membantu menyelesaikan masalah dan memperbaiki hubungan.

Melibatkan pihak ketiga dapat membantu pasangan untuk berkomunikasi dengan lebih baik, memahami perspektif satu sama lain dan mencari penyelesaian yang sesuai tanpa perlu mengambil langkah drastik seperti perceraian.

Usaha ini bukan sahaja bertujuan untuk memperbaiki hubungan tetapi juga untuk memelihara maruah, keharmonian dan kebahagiaan dalam rumah tangga. Ini menunjukkan betapa pentingnya usaha untuk mempertahankan perkahwinan dan mencari penyelesaian yang adil lagi harmoni.

Namun, jika pihak ketiga mendapati bahawa perkahwinan sudah tidak dapat diselamatkan dan semua usaha untuk mendamaikan kedua belah pihak telah gagal, maka perceraian boleh dipertimbangkan sebagai langkah terakhir.

Perceraian Adalah Jalan Terbaik

Perceraian adalah jalan terbaik dalam perkahwinan jika semua usaha untuk memperbaiki hubungan telah dilakukan tetapi gagal mencapai hasil yang diinginkan. Jika perkahwinan sudah menjadi sumber penderitaan yang berterusan, baik dari segi fizikal, emosi atau mental dan tiada lagi ruang untuk memperbaiki keadaan, maka perceraian merupakan langkah yang paling wajar.

Dalam situasi di mana salah satu pihak mengalami pengabaian, kekerasan atau penganiayaan yang berterusan dan perundingan atau penglibatan orang tengah tidak berhasil, perceraian mungkin menjadi jalan untuk melindungi maruah, keselamatan dan kesejahteraan individu yang terlibat.

Allah SWT mensyariatkan perceraian dalam Islam sebagai satu jalan keluar terakhir dalam situasi perkahwinan yang sudah tidak dapat diselamatkan. Firman Allah SWT:

وَإِن يَتَفَرَّقَا يُغۡنِ ٱللَّهُ كُلّٗا مِّن سَعَتِهِۦۚ وَكَانَ ٱللَّهُ وَٰسِعًا حَكِيمٗا  ١٣٠

Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masing dari limpah kurnia-Nya. Dan adalah Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Bijaksana. (An-Nisa’:130)

Ayat ini menegaskan bahawa meskipun perceraian dibenarkan, ia seharusnya dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan ihsan serta meyakini bahawa Allah SWT akan memberikan rezeki dan kebaikan kepada kedua-dua pihak selepas perceraian. Perceraian juga merupakan sesuatu yang tidak disukai oleh Allah SWT di antara hal-hal yang dihalalkan. Rasulullah SAW pernah bersabda:

Perkara halal yang paling dibenci Allah adalah talak (perceraian). (HR. Abu Dawud, Ibnu Majah, dan Al-Hakim).

Oleh karena itu, perceraian sebaiknya dijadikan pilihan terakhir setelah segala upaya untuk mempertahankan pernikahan dilakukan. Islam mendorong penyelesaian masalah dengan cara damai dan mencari solusi bersama sebelum memutuskan untuk bercerai.

Hasliza Talib
Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Universiti Islam Selangor

 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia