Majlis pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan (SBK) 2024 semalam menarik kehadiran rakyat pelbagai kaum dan etnik. Pertemuan seperti ini membangkitkan perasaan bangga menjadi rakyat Malaysia kerana dilahirkan dalam masyarakat majmuk yang diwarnai dengan pelbagai keindahan sehingga dikagumi oleh masyarakat antarabangsa.
Demikian ungkapan semangat oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN), Zulkifli Hashim ketika menyampaikan ucapan perasmiannya dalam majlis di Seri Kembangan.
“Jiwa Merdeka perlu dibentuk dalam kalangan pemimpin dan rakyat agar menghargai dan memanfaatkan kebebasan bertatanegara, namun jiwa bebas dan merdeka tidak bermakna serta kosong tanpa adanya pegangan dan penghayatan nilai yang tinggi, ” ujar beliau.
SBK pada kali ini merupakan penganjuran kali keempat oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan tahun ketiga kerjasama antara IKRAM dengan Kementerian. Ia dianjurkan secara tahunan oleh IKRAM untuk meraikan kepelbagaian, perpaduan, dan identiti kebangsaan Malaysia.
Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Program ini dilancarkan untuk mengiktiraf identiti pelbagai bangsa di Malaysia serta meningkatkan penghayatan masyarakat terhadap nilai Rukun Negara khususnya Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Jelasnya, program sebegini diharapkan dapat menyemarakkan nilai patriotisme dan kesetiaan kepada negara.
Majlis pelancaran semalam merupakan simbolik kepada permulaan Sambutan Bulan Kebangsaan yang akan berlangsung selama sebulan untuk menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang bagi menjayakan agenda perpaduan nasional.
Seorang pengunjung, Ratanamala dari Bukit Serdang berasa gembira dengan penganjuran majlis tersebut dan teruja dengan persembahan penyanyi, Zubir Khan yang terkenal dengan lagu-lagu berbahasa Tamil.
Manakala kehadiran salah seorang peserta cilik dalam Pertandingan Busana Tradisional Anak-anak Malaysia, Aisya Humaira dari Seri Kembangan menzahirkan perasaan seronok dapat menyertai acara-acara yang dianjurkan.
Majlis SBK telah dihiburkan dengan persembahan badut, persembahan tarian tradisional, silat dan diwarnai dengan aktiviti mewarnakan muka, seni pasir dan merwarna.
Sehubungan ini, pelbagai aktiviti menarik telah dirancang sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 yang telah pun bermula seawal 15 Ogos yang lalu dan akan berlangsung sehingga 16 September di peringkat pusat, negeri dan kawasan.
IKRAM di peringkat pusat telah menyusun empat program besar termasuk majlis pelancaran semalam yang akan disusuli oleh Dialog Memasyarakatkan Perlembagaan Malaysia pada 4 September di Jabatan Muzium Malaysia, Karnival Kita Anak Malaysia pada 7 September di Hutan Bandar Mutiara Rini, Johor dan akhir sekali Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Harmoni yang dijadualkan pada 29 September.
Pelancaran SBK 2024 turut dihadiri oleh wakil Pengarah Jabatan Perpaduan KL; Masniza binti Mohamad, Pengarah SBK; Dr Sabariah Baharun, Pengurus AEON Taman Equine; Azliz Mohamed Ali,
Kehadiran kepimpinan IKRAM terdiri daripada Naib Presiden Prof. Dr. Hanim Saleh, Yang DiPertua IKRAM Kawasan Serdang, Abdullah Zainul Abidin, Jawatankuasa Pusat (JKP) Agenda Nasional (Masyarakat Progresif), Ainullotfi Abdul LAtif dan JKP Kebajikan Ahli, Dr Maznah Ahmad.
Meminjam kata-kata Presiden IKRAM, semoga sambutan Bulan Kebangsaan 2024 ini dapat memberikan impak yang besar dalam memupuk semangat perpaduan, cinta akan negara, serta mengukuhkan lagi hubungan di antara komuniti pelbagai kaum di negara kita.