SERI KEMBANGAN – Pertubuhan IKRAM Malaysia telah melancarkan portal yang berwajah baharu dan lebih menarik.
Menurut Presiden IKRAM, Haji Badlishah Sham Baharin, portal ini mengambil suntikan semangat kempen Bangunkan Jiwamu bagi mendidik masyarakat dan menggalakkan lagi penyertaaan mereka untuk bersama dengan IKRAM.
Wajah baharu portal IKRAM mempunyai antara muka yang lebih interaktif melalui penampilan yang lebih segar.
Pengarah kempen pelancaran, Ahmad Ubaidah Azmi menjelaskan bahawa ini merupakan sebahagian usaha ke arah penjenamaan baru IKRAM untuk tampil lebih relevan dan terkini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jika sebelum ini portal IKRAM lebih menumpukan kepada konten artikel dan video, kini melalui penampilan baru, pengunjung akan dapat mengakses maklumat yang lebih banyak berkenaan IKRAM.
“Inisiatif ini telah dimulakan sejak bulan September tahun lepas sebagai salah satu langkah untuk memperkenalkan IKRAM dengan lebih mendalam dan menarik lebih ramai pengunjung ke portal IKRAM melalui penjenamaan baru,” tambahnya.
Bersempena kempen pelancaran portal tersebut, bermula esok, IKRAM menganjurkan cabutan bertuah bagi pengunjung yang menjawab soalan-soalan kuiz yang disediakan.
“Hadiah menarik yang disediakan berupa Galaxy Tab A9+, Edifier Headphone dan wang tebus kredit e-dompet (e-wallet) kepada para pemenang yang bertuah,” ujar beliau.
Orang ramai yang berminat untuk mengetahui cara dan syarat penyertaan kuiz boleh melayari portal IKRAM di pautan ikram.org.my bermula esok (Selasa), tepat jam 1 tengah hari. Kuiz ini akan dibuka selama seminggu iaitu sehingga Isnin, 15 Januari 2024.