SERI KEMBANGAN – Rasuah Busters bakal menganjurkan pelbagai aktiviti menarik sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2023 pada 13-14 Disember ini bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.
Sambutan yang buat julung kali diadakan menyediakan pelbagai pameran dan aktiviti khas selama dua hari bagi menyampaikan mesej antirasuah serta membentuk kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama pelajar dan peniaga tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, beliau harap penglibatan orang awam secara khusus untuk mengangkat satu kepimpinan yang boleh dibangunkan melalui kesedaran menolak rasuah, kepimpinan dalam kalangan pelajar dan pengusaha-pengusaha perniagaan.
“Kita terangkan pada orang ramai mesej antirasuah boleh menjadi sesuatu yang menarik dengan adanya pameran seperti doodle dan kita juga maklumkan pada orang ramai bagaimana gerakan antirasuah boleh dimulakan di pelbagai peringkat ekosistem,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Terdapat beberapa aktiviti khas yang disediakan dalam program berkenaan termasuk pameran daripada rakan-rakan sinergi Rasuah Busters dan aktiviti daripada pelbagai agensi, SME Integrity Talk, Wacana Khas HARA 2023, Apresiasi Puisi Antirasuah, Kompas Rasuah Busters, Bicara Bina Negara (Pertubuhan IKRAM Malaysia), serta persembahan daripada kanak-kanak tadika.
Selain Nurhayati, turut menjadi ahli panel Wacana Khas “Rasuah Robek Budaya Bangsa” pada 13 Disember jam 8.30 malam nanti ialah Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin dan Felo Kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Eddin Khoo bersama hos Ismail Adnan.
“Kita juga ada bawa perkongsian daripada Jabatan Penjara, contohnya melakukan perkongsian daripada penjenayah yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah kolar putih ini.”
“Penglibatan Jabatan Penjara boleh menampakkan realiti akibat perbuatan jenayah yang dilakukan itu. Jadi ini peluang untuk kita mendidik orang ramai supaya mereka dapat membayangkan dan nampak sendiri perkara tersebut,” ujarnya.
Menurutnya, penganjuran HARA Rasuah Busters 2023 turut membawa tiga elemen penting meliputi hak asasi, ekonomi dan sosial sebagai komponen yang akan tergugat akibat perbuatan rasuah.
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke Kompleks Kumpulan Karangkraf pada 13-14 Disember ini bagi memeriahkan sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) pada tahun ini bagi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai bahaya rasuah.