BANDAR SERI PUTRA – Buat julung kalinya Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Islam Malaysia (ILMAN) menjadi penganjur bersama Persidangan Antarabangsa Sains Sosial & Kemanusiaan kali ke-8 (PASAK 8) 2023.
Dianjurkan Pusat Pengajian Teras Universiti Islam Selangor (PPT-UIS) dan KUISCELL, persidangan kali ini bertemakan ‘Implementasi Nilai Dalam Mendepani Arus Digitalisasi,’ yang disertai seramai 223 pembentang dalam dan luar negara secara bersemuka mahupun dalam talian.
Antara subtema yang diketengahkan ialah Pengajian Islam, Pendidikan, Sains dan Teknologi Maklumat, Ilmu Bahasa dan Komunikasi, Psikologi dan Kaunseling, Sejarah dan Politik, Ekonomi dan Pengurusan, Sosiologi dan Antropologi, Nilai-nilai sejagat, Pelancongan, Hospitaliti dan Kulinari serta Seni dan Kebudayaan.
Para pembentang terdiri daripada kakitangan akademik, para penyelidik dan profesional IPT di Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Filipina dan negara-negara lain yang mensasarkan pembentang dalaman sebanyak 30 peratus dan pembentang luar sebanyak 70 peratus.
Empat pembentang daripada ILMAN yang terlibat dalam persidangan ini ialah Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib (Pengajian Islam), Ustazah Atriza Umar (Politik), Ustaz Wan Abdul Rahman Wan Ibrisam Fikry dan Ustaz Muaz Muhammad Arif (Pendidikan).
Penganjuran PASAK 8 antaranya bertujuan membincangkan penyelidikan akademik berkaitan bidang sains sosial.
Pembentangan turut difokuskan kepada isu-isu kemanusiaan yang berlaku di dunia Islam baru-baru ini, termasuk hak untuk hidup secara aman dan mendapat akses kepada keperluan asas dalam kehidupan.
Seterusnya, ia juga bertujuan menyerlahkan aspek perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia dan dunia antarabangsa yang pelbagai, seterusnya menyediakan platform dan peluang kepada ahli akademik dari pelbagai bidang untuk membincangkan isu-isu dalam sains sosial dan kemanusiaan.
Dalam pada itu turut diadakan Sesi Sidang Pleno bersempena PASAK 8 yang disampaikan oleh tujuh ahli panel daripada institusi-Institusi dalam dan luar negara, dikendalikan oleh moderator Dr Zurina Abdullah (PPT-UIS).
Salah seorang ahli panel dalam sidang pleno ialah Dr Syazalie Hirman yang juga Pengerusi ILMAN.
Persidangan yang diadakan pada 10 dan 11 Mei lalu telah dirasmikan oleh Rektor Universiti Islam Selangor, Prof. Madya Dato’ Dr Hj Mohd Farid Ravi Abdullah dan ucaptama telah disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Dr Zulkiple Abd Ghani.
Selain itu, turut menjadi penganjur bersama ialah Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (UNISSA), Fakultas Ushuluddin Adab dan Dakwah (IAIN) Indonesia, Jabatan Pendidikan Bahasa Arab, Pascasarjana (UIN) Antasari Banjarmasin Indonesia, Davao Oriental State University (DORSU) Philippines, Yala Rajabhat University of Thailand (YRU) dan Princess of Naradhiwas University (PNU).
Hasil daripada penganjuran PASAK selama tujuh tahun bermula 2016 sehingga 2022, pihak PASAK telah berjaya menghasilkan prosiding, e-prosiding dan buku dalam setiap persidangan.
Info lanjut PASAK boleh dilayari di pautan http://conference.kuis.edu.my/pasak/.