GEORGETOWN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kepada Prof. Madya Dr Lilis Surienty Abd Talib, yang juga Ahli Dewan Perwakilan Nasional IKRAM, pada Sabtu.
Beliau menerima watikah itu bersama 14 ahli MAINPP lain dan 17 Hakim Syarie dalam satu majlis pengurniaan watikah pelantikan di sebuah hotel di sini bersempena lawatan selama tiga hari baginda ke negeri ini.
Baginda bertitah, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Hakim Syarie perlu menggalas tugas serta peranan mereka dengan penuh tanggungjawab, dan pelantikan mereka ke jawatan itu adalah satu amanah untuk menguruskan pentadbiran agama Islam di negeri itu.
Dalam titah Baginda, Al-Sultan Abdullah berharap pelantikan itu dapat sedikit sebanyak memberi semangat kepada yang berkenaan, untuk menerus dan menegakkan syariat Islam dengan sempurna.
“Beta bangga dapat menganugerahkan watikah pelantikan kepada Ahli-ahli MAINPP dan Hakim-hakim Syarie. Di sini beta ingin ingatkan bahawa lantikan ini adalah besar maknanya dengan penuh tanggungjawab dan amanah dari Allah untuk kita uruskan pentadbiran agama Islam.”
“Beta kagum dengan pentadbiran urusan agama Islam di Pulau Pinang yang diuruskan dengan baik di bawah naungan Majlis Agama Islam Pulau Pinang di bawah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang,” titah baginda.
Hadir sama menyaksikan majlis pengurniaan itu adalah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Mengetuai penerima Ahli MAINPP ialah Timbalan Ketua Menteri 1, Dato’ Ir Hj Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman selaku Yang Dipertua MAINPP, diikuti Timbalannya, Dato’ Dr Roslan Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar.
Turut menerima watikah pelantikan Ahli MAINPP ialah Mufti Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, Penasihat Undang-Undang Pulau Pinang, Pn Roslinda Mohd Shafie dan pendakwah terkenal, Dato’ Dr Danial Zainal Abidin.
Dalam pada itu, baginda berkongsi rasa terharu ketika lawatan ke Kampung Banggol, Kepala Batas dekat sini semalam yang pernah dikunjungi Almarhum Paduka Ayahanda baginda kira-kira 40 tahun lalu, sekali gus memperingati hari kemangkatan Almarhum yang jatuh pada 17 Ramadan pada 2019 bersamaan Hari Nuzul al-Quran.