Perarakan: Muslim Perlu Tonjolkan Imej Islam Sebenar

Perarakan: Muslim Perlu Tonjolkan Imej Islam Sebenar | IKRAM

Pada hakikatnya, Islam sebagai agama yang membawa rahmat kepada sekalian alam (rahmatan lil alamin) dan penganutnya sebagai ummatan wasatan (umat pertengahan, adil dan pilihan).

Sebaik-baik umat adalah merealisasikan sikap dan tingkah laku Islam yang berperikemanusiaan, inklusif, bertolak ansur (toleransi) dan menyebarkan kebaikan.

Dalam konteks Malaysia yang mana masyarakatnya yang heterogen (pelbagai) berkaitan adat, bahasa, budaya bahkan agama, maka Islam adalah rahmatan dan wasatan yang didukung oleh umatnya sebagai majoriti penduduk di negara ini, sewajarnya mereka tampil sebagai entiti yang menjadi pelindung terhadap kepelbagaian dan kemajmukan.

Islam Rahmah dan Wasatiyyah ini sangat menarik, malah wajar untuk dibincangkan dan disebarkan kepada khalayak, khususnya umat Islam. 

Dari sudut geologi, sejarah dan budaya, Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat kompleks dengan kepelbagaian ras, etnik, bahasa dan juga agama. 

Menurut Amin Abdullah (2002:5), proses kemasukan dan perkembangan Islam di Nusantara berlaku secara besar-besaran secara aman, dan ini merupakan satu pencapaian sejarah yang sangat menakjubkan.

Islam Agama Penuh Rahmah

Keunikan ini turut mempengaruhi penghayatan dan pengalaman kolektif umat Islam terhadap pluraliti agama dan budaya tempatan (local wisdom). Ini adalah bukti keunikan umat Islam yang tidak dimiliki oleh umat Islam di negara Timur Tengah.

Lama-kelamaan khususnya pada penghujung abad ke-20 hingga abad ke-21, keunikan yang menjadi ciri dan watak umat Islam yang mengutamakan toleransi, sikap terbuka terhadap kepelbagaian dan pluralisme mula bertukar.

Beberapa fakta tentang konflik dan keganasan yang dilakukan oleh individu dan kumpulan atas nama agama, walaupun dengan alasan untuk mempertahankan agama, telah menjejaskan kepelbagaian serta toleransi itu sendiri.

Sesungguhnya, ini menimbulkan persoalan yang besar, adakah mereka benar-benar mempertahankan agama? Adakah Tuhan menurunkan agama kepada manusia agar berlakunya konflik?

Jawapannya sudah tentu tidak, kerana Islam dan juga semua agama pada dasarnya membawa mesej keamanan untuk manusia sejagat.

Konflik atau keganasan atas nama agama dan mempertahankan agama adalah bukti jelas bahawa agama telah disalahgunakan malah diselewengkan oleh penganutnya.

Oleh itu, konflik atau keganasan sebenarnya adalah tindakan antiagama walaupun dalam satu konteks dikatakan sebagai ‘pembela agama.’ Kerana secara jelasnya, agama mempunyai ciri-ciri asas dan menonjol iaitu berkaitan kerohanian.

Bukan Imej Islam Sebenar

Menyentuh isu perarakan yang berlegar dalam media minggu lalu, Penasihat Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN), Dr Hamidah Mat berkata, Islam telah menggariskan panduan-panduan dalam kehidupan termasuklah cara berpakaian, cara bergaul serta akhlak-akhlak mulia demi mewujudkan sebuah identiti seorang Muslim.

“Maka, Muslim yang beridentiti ialah Muslim yang mengamalkan cara hidup penuh sederhana dan mulia sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW.”

Pada masa yang sama, Islam meraikan adat dan budaya manusia yang tidak menyalahi prinsip syarak dan batasan kemanusiaan sejagat.

“Prinsip-prinsip yang dinyatakan tersebut secara tidak langsung memberikan mesej kepada umat Islam, bahawa sebarang perbuatan yang menyalahi norma masyarakat setempat adalah bukan sebahagian daripada anjuran Islam,” ujar Dr Hamidah.

Beliau yang juga Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM) menegaskan, apatah lagi dalam cara berpakaian dengan tindakan membawa senjata tanpa objektif yang wajar, ia adalah tindakan yang menyimpang jauh daripada nilai dan budaya yang dipromosikan oleh Islam.

“Hal ini boleh menimbulkan ketidaksenangan dalam kalangan umat Islam dan selainnya. Malah yang mendapat imej yang buruk ialah agama yang ‘ditunggang’ itu.”

Menyentuh isu yang diketengahkan itu, Pengerusi ILMAN, Ustaz Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib berkata, mesej yang diketengahkan oleh ‘mereka’ nampak tidak matang.

“Tentunya apa yang mereka buat itu jadi bahan jenaka, dan tidak menampakkan imej Islam yang sebenar.”

Beliau berkata demikian kerana Islam mempamerkan sesuatu yang baik, tidak seperti program yang diadakan pihak tersebut.

“Apalagi, jika zaman dahulu keadaan sedemikian dilakukan ketika berperang dan memang dalam situasi melawan musuh, berbeza dengan yang mereka lakukan itu.”

Tegas Syazalie lagi, apa yang dilakukan mereka itu seolah-olah menampakkan Islam mundur ke belakang.

“Situasi itu juga menimbulkan persepsi yang tidak baik kepada Islam dan seharusnya ia tidak berulang dan berlaku lagi.”

Ketika ditanya isu tersebut kepada Pensyarah Akidah dan Pemikiran Islam, Prof. Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi, beliau berkata, situasi tersebut kurang sesuai di Malaysia.

“Ia lari dari norma, kebiasaaan dan adat rakyat Malaysia. Apa tujuan mereka buat kelainan begini, dengan mengenakan pakaian dan peralatan yang dibawa?” soalnya tegas sambil mengatakan mereka seperti ingin timbulkan suasana pelik dan boleh mencetuskan fitnah pada agama dan masyarakat Islam.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak terbabit lebih fokus kepada isu survival orang Islam, antaranya berkaitan ekonomi, pendidikan Masyarakat Islam daripada perarakan yang tidak memberi impak yang baik kepada masyarakat.

Sewajarnya, dalam negara demokrasi, perbezaan tidak dihadapi dengan perang, tetapi dengan hak kebebasan bersuara. Perbezaan perlu ditangani dengan wacana, debat, demonstrasi dan secara rasional semasa.

Dalam pada itu, situasi itu turut ditegur oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Mohd Na’im Mokhtar dengan mengingatkan umat Islam bahawa Islam tidak menentang mana-mana perayaan dengan niat yang baik.

“Tetapi tindakan mereka yang tonjol dengan penampilan yang mencabar nilai peradaban diri sendiri dan orang lain, dilarang sama sekali kerana bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah.”

Beliau menyifatkan tindakan berarak menggunakan simbol keagamaan Islam adalah sebagai tidak wajar hinggakan perarakan tersebut telah menimbulkan pelbagai persepsi dan kegelisahan masyarakat.

“Semua pihak adalah bertanggungjawab untuk menyeru kepada keamanan dan keharmonian dalam masyarakat. Apa-apa tindakan yang boleh mengundang kegelisahan awam perlulah dielakkan sama sekali.”

Islam Rahmatan Lil Alamin

Islam sebagai agama Rahmatan Lil Alamin dan wasatiyyah (sederhana) sebenarnya sangat kaya dengan implikasi kerohanian Ilahi atas sikap kemanusiaan, inklusif, bertolak ansur dan menyebarkan keamanan di semua peringkat yang dikenali sebagai hablum minannas.

Sebagaimana Allah berfirman dalam al-Quran Surah Al-Anbiyaa’ ayat 107:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

“Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.“

Perkataan rahmah ditafsirkan dengan pelbagai oleh ulama tafsir antaranya Tafsir Ibnul Qayyim al-Jauziyah bahawa alam semesta mendapat manfaat dengan diutuskan Muhammad SAW, dan mereka yang mengikuti baginda boleh mencapai kejayaan dunia akhirat.

Oleh itu, mereka yang bukan Islam juga mendapat manfaat dengan terpelihara darah, harta, keluarga dan kehormatan, dan mendapat keadilan.

Maka, Islam adalah rahmat untuk semua dan untuk orang Islam akan mendapat manfaat ketika di dunia dan juga di akhirat.

Selain itu, dalam Fathul Qadir, Muhammad bin Ali asy-Syaukani mentafsirkan bahawa sebab utama Allah SWT mengutus Nabi Muhammad SAW adalah sebagai pembawa rahmat yang luas, kerana Allah mengutuskan baginda dengan membawa sesuatu yang menjadi sebab kebahagiaan dunia-akhirat

Maka, amat jelas bahawa Allah SWT mengutuskan Muhammad SAW adalah rahmat bagi seluruh manusia (mukmin dan kafir). Bagi orang Islam, Allah memberinya petunjuk dengan sebab diutuskan Muhammad SAW dan memasukkan mereka ke syurga kerana iman dan amal soleh.

Sedangkan rahmat bagi yang bukan Islam adalah berbentuk tidak disegerakan bencana menimpa mereka seperti yang terjadi kepada umat terdahulu yang mengingkari agama Islam. Oleh yang demikian, Islam adalah agama benar yang membawa rahmat bagi seluruh umat manusia, baik yang mukmin mahupun yang kafir.

Disertai Tanggungjawab

Sesungguhnya kemakmuran sesebuah masyarakat dan negara sangat rapat dengan nilai-nilai peradaban yang dipegang oleh penganutnya. Salah satu sifat terpuji yang amat perlu diterapkan dalam masyarakat kita ialah mempamerkan imej Islam yang sebenar. 

Realitinya, nilai rahmah mengajarkan kepada kita maksud dan tujuan kehidupan. Manusia diciptakan bukan semata-mata untuk memenuhi kewajipan peribadi, akan tetapi berperanan untuk menjadi sumber menyebarkan rahmah kepada manusia lainnya.

Sebagaimana dalam kitab Hiwar ‘An Bu’d Huquq al-Insan fi al-Islam, Syeikh Ben Bayyah menyatakan:

“Tidak ada kebebasan dalam maki hamun orang lain. Tidak ada kebebasan dalam menyebarkan kemudaratan kepada masyarakat. Hal ini kerana kebebasan disertai dengan sikap bertanggungjawab.”

Terdahulu, media pada Ahad melaporkan, penganjur program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT 2023) mengadakan perarakan bersama replika pedang, lembing dan perisai berkenaan.

Hakikatnya, adalah lebih baik penganjur menonjolkan nilai-nilai Islam yang bersifat damai, mengajak kepada perpaduan dan kesejahteraan.

Maka, kita sebagai seorang Islam seharusnya menampakkan imej keislaman yang sebenar yang tidak menimbulkan persepsi negatif mahupun mencetuskan fitnah. 

Justeru, perkara-perkara yang akan mencemarkan nama baik Islam itu sendiri perlulah dijauhi apalagi dibiarkan berleluasa dalam kalangan masyarakat.

Pihak kerajaan khususnya perlulah mengambil tindakan yang tegas dan sewajarnya kepada mereka yang menimbulkan stigma dan imej negatif terhadap agama Islam agar ia tidak terus menular seterusnya memberikan impak buruk yang berpanjangan.

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia