Saban hari, masyarakat terus diledakkan dengan berita kejadian-kejadian menyayat hati yang dimuat naik di laman sosial berkaitan sikap ibu bapa yang kelihatan begitu ekstrem mendidik anak.
Anak yang terlalu nakal dihukum secara keterlaluan seperti dipukul sehingga lebam. Bukan sekadar itu, bayi yang masih dahagakan perhatian dan kasih sayang juga dibiarkan merengek selama berjam-jam.
Apabila tiada lagi kesabaran sebagai pertahanan, ada ibu bapa yang sanggup mencederakan anak. Allahul musta’an.
Terkasar bahasa dan tindakan mahupun terlepas kata-kata yang menyakitkan ketika mendidik, lazimnya ia sering sahaja berlaku dan dinormalisasikan sebagai suatu keadaan yang sama sekali tidak mengundang kesalahan.
Namun, tanpa kita mengetahuinya ia sebenarnya boleh meninggalkan kesan yang parah kepada anak-anak yang diasuh mengikut laluan kekerasan. Ini bukanlah kaedah yang tepat, tetapi lebih menyerupai perbuatan jenayah yang mesti ditangani serta merta.
Berapa ramai dalam kalangan ibu bapa yang menyayangi anak-anak dengan sepenuh jiwa dan berlemah lembut kepada anak-anak yang kian membesar?
Anak merupakan hadiah terbesar daripada Allah Taala yang dikurniakan kepada pasangan suami isteri. Anak adalah cahaya mata yang menceriakan suasana kediaman, mendamaikan fikiran yang sedang berkecamuk dengan masalah, mententeramkan hati menjadi tenang dan bahagia.
Berlemah lembut ketika membesarkan anak-anak ialah tuntunan dalam sunnah Nabi SAW. Malahan mengikut dalam sebuah hadis yang sahih, Nabi SAW menunjukkan pedoman yang cukup terbaik ketika melayani cucu-cucu baginda yang sangat aktif.
Abdullah bin Buraidah daripada ayahnya dia berkata, Rasulullah ﷺ tengah berkhutbah di tengah-tengah kami, tiba-tiba Hasan dan Husain radiallahuanhuma memakai dua baju yang berwarna merah. Kedua-duanya lalu terjatuh, Rasulullah ﷺ turun dari mimbar dan menggendong mereka lalu kembali ke mimbar dengan bersabda,
“Maha benar Allah atas firman-Nya: ‘Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah sebagai cubaan.” (Al-Anfaal (8): 28).
Aku melihat kedua-dua anak ini terjatuh, maka aku tidak sabar hingga aku mempersingkatkan khutbahku.” [HR Abu Dawud, No. 1109, Sahih]
Hadis ini menerangkan mengenai sikap cucu baginda, Hasan dan Husain yang sedang terjatuh kerana bermain-main. Lalu, Rasulullah SAW berhenti sejenak untuk menggendong kedua-dua cucu baginda dan meneruskan kembali untuk berkhutbah.
Ini menunjukkan betapa Rasulullah SAW menyantuni cucu-cucu baginda dengan penuh kelembutan tanpa memarahi kedua-duanya.
Rasulullah SAW tidak menengking ataupun melontarkan suara yang memekikkan, sebaliknya baginda maklum terhadap sikap kanak-kanak yang masih belum arif memahami peraturan. Hadis ini membuktikan bahawa kita sebagai ibu bapa wajib berlemah lembut ketika mendidik anak-anak.
Memberi pelajaran kepada mereka ini ada proses yang perlu dilakukan secara bertahapan, tidak terburu-buru tetapi dibentengi oleh panduan dan juga hikmah.
Antaranya, seperti memukul dengan pukulan yang tidak keterlaluan ketika anak mulai lalai dalam menunaikan solat misalnya.
Menghukum juga dilakukan secara ala kadar, tanpa diikuti perasaan amarah yang boleh mengakibatkan berlakunya sesuatu hal yang buruk sehingga boleh melukakan anggota badan.
Berlemah lembut ketika mengajar anak-anak memahami ilmu pengetahuan dapat membantu ibu bapa menguruskan emosi dengan rasional, sekali gus anak-anak dapat mencontohi sikap yang diterapkan oleh kedua-dua ibu bapa yang baik dalam membajai anak sedari kecil.
Justeru, peranan kita sebagai ibu bapa perlu sejajar mengikut sunnah dalam mencorakkan anak-anak. Mereka perlu bijak memujuk anak-anak mematuhi arahan dan perintah agar tidak leka mengerjakan sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dikerjakan oleh seorang Muslim.
Berdasarkan dalam satu petikan hadis juga menyatakan bahawa sikap lemah lembut merupakan sebahagian akhlak yang disukai Allah SWT dan wajarlah bagi setiap umat Islam tidak lupa menanamkan sikap mulia ini dalam kehidupan di dunia.
Daripada ‘Aisyah radilallahuanha isteri Rasulullah ﷺ berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya Allah mencintai lemah lembut dalam seluruh urusan.” [HR Bukhari, No. 6024]
Dunia kanak-kanak amat berkait rapat dengan hiburan dan permainan. Kecuaian adalah hal yang memang sinonim terjadi dalam kalangan kanak-kanak.
Kedegilan yang disamaertikan dengan peribahasa ‘dientak tak masuk, diumpil tak bergerak,’ boleh menyebabkan seorang individu mulai hilang kawalan, tetapi kita perlu sangat bertanggungjawab memandu anak-anak mengenali adab serta menangani permasalahan ini secara sihat.
Bayangkan sekiranya mereka mengalami trauma dan kemurungan akibat tindakan yang tidak berperikemanusiaan. Ini bukan sekadar membimbangkan kita, tetapi turut membahayakan nyawa anak-anak kerana senantiasa berada dalam ketakutan akibat diseksa setiap masa.
Sebagai kesimpulan, layaklah kita meletakkan diri sendiri sebagai role model buat anak-anak seperti mempamerkan hal-hal yang baik untuk anak-anak belajar, kerana mereka mudah mempelajarinya daripada tingkah laku yang ditonjolkan oleh orang tuanya.
Kata Syeikh Khalid Abdurrahman Al-Ikk:
“Anak-anak akan tumbuh dan terbentuk sesuai apa yang mereka pernah lihat dan alami. Jika mereka tumbuh dalam lingkungan yang diliputi oleh kasih sayang, kelembutan dan cinta, mereka akan tumbuh besar dengan membawa akhlak yang tenang, mulia dan luhur, yang memancarkan cinta dan kasih sayang kepada orang-orang di sekeliling mereka.
Namun, jika mereka tumbuh dalam lingkungan yang berkarakter keras dan kasar, mereka akan tumbuh dengan membawa karakter yang keras, suka membenci dan menjauhi orang yang bergaul bersamanya.”
[Pedoman Pendidikan Anak Menurut al-Quran dan Sunnah, hal. 347-348, Syeikh Khalid Abdurrahman Al-Ikk]
Syuhara Suriati adalah seorang penulis antologi, anekdot, artikel, puisi, majalah dan resensi buku.