Walaupun telah lama menulis, saya tidak rasa saya seorang penulis yang meninggalkan sebarang impak yang besar dalam aktivisme penulisan.
Kadangkala saya terfikir, dulu saya tulis banyak tentang politik dan sosial, ramai sangatkah yang baca? Daripada yang baca itu pula, berapa ramai yang mampu atau telah saya pengaruhi untuk ubah pendirian mereka?
Berapa ramai yang membaca penulisan saya buat keputusan untuk pilih kepimpinan yang adil dan berlaku telus terhadap mereka?
Saya selalu terfikir, adakah penulisan saya dapat melakukan perubahan? Adakah penulisan saya dapat mengubah dan mengislah kebejatan yang berlaku dalam negara?
Siapa saya untuk bersuara? Adakah saya cukup berpengaruh untuk menasihati orang untuk melakukan itu atau ini?
Apabila memikirkan penulisan, saya tiadalah sehingga mampu menguja gerakan dunia seperti ‘Arab Spring’, walaupun sudah bertahun-tahun menulis, banyak kalanya saya rasa ingin berputus asa sahaja.
Malah jika diikutkan, saya menulis ini bukanlah selalunya serius sangat. Saya tidak pernah menerbitkan sebuah buku dengan kenyataan tesis berhujah konkrit.
Selalu saya rasakan, penulisan saya yang saya anggap serius mungkin hanya dianggap hiburan sahaja. Saya tidak pasti jika ada ‘nyawa’ yang hidup hasil daripada penulisan saya.
Entahlah, banyak masanya saya rasa sia-sia sahaja. Baik saya berhenti sahaja daripada menulis, tiada gunanya. Bukannya dapat ubah polisi negara pun, saya cuma syok sendiri sahaja.
Namun begitu, suatu hari saya dapat rasakan bahawa masih ada sebab untuk saya tidak terus berhenti menulis. Suatu hari, pensyarah saya menghantar mesej kepada saya melalui WhatsApp.
Beliau memberitahu saya bahawa beliau terkejut kerana mendapat tahu ada seorang bekas pelajarnya di sebuah Universiti Awam (UA) lain menjadikan rencana pengemis Rohingya saya sebagai rujukan untuk tugasan universitinya.
Jujurnya, saya juga terkejut. Saya berasa cukup terharu kerana saya tidak pernah menyangka penulisan saya mampu beri impak sebegitu rupa.
Walaupun impaknya tidaklah begitu besar, tapi saya tetap menganggap apa yang berlaku sebagai suatu penghormatan buat saya.
Jika selama ini saya menganggap penulisan saya hanyalah sekadar suatu cara untuk saya mengejar populariti dan bukan untuk meninggalkan kesan, hal ini membuktikan sebaliknya.
Hal ini mengingatkan saya bahawa jika ada sesuatu yang ingin kita luahkan dalam penulisan, jangan jadikan apa-apa faktor lain menghalang kita daripada terus melakukan sedemikian.
Tidak kiralah dalam apa-apa medium pun, sama ada dalam portal akhbar, dalam media sosial seperti Facebook, Twitter mahupun sebagai skrip untuk video YouTube dan TikTok, jangan ragu-ragu untuk terus menghasilkan kandungan yang anda percaya memberi kebaikan.
Kita mungkin menyangka penulisan kita kurang berimpak kerana idea kita kurang berkualiti. Namun begitu, jika belum dicuba, kita takkan pernah tahu sejauh mana potensi kita.
Jika suatu hari saya tidak meluangkan masa hampir dua hari untuk mencari sebanyak mungkin info relevan tentang penderitaan pelarian Rohingya di Malaysia, artikel tersebut mungkin tidak terhasil.
Namun hasil daripada usaha dan kepercayaan saya bahawa pendapat saya ada kualiti tersendiri, akhirnya hasil penulisan saya mampu memberi manfaat sehingga dapat membantu seorang rakan pelajar lain.
Mungkin manfaat besar yang kita impikan daripada penulisan kita seperti mengubah kerajaan atau mengubah sistem ekonomi kepada yang lebih adil dan saksama, belum dapat dilaksanakan hari ini.
Namun percayalah, dengan sedikit sebanyak lontaran idea hari inilah yang akan membentuk hasil kumulatif masa depan yang lebih baik.
Idea yang baik dan berimpak besar mungkin sukar dihasilkan dalam suatu penulisan tunggal untuk orang biasa-biasa seperti kita.
Namun jika kita menghasilkan lebih banyak karya pencerahan secara konsisten, dengan izin Tuhan, akhirnya kita juga mampu membina pengaruh dan menghasilkan impak daripada ‘repertoir’ penulisan kita.
Teruskanlah menulis, janganlah berputus asa!
Wan Salman Wan Sallam
Aktivis IKRAM Bandar Tun Razak