Anak: Antara penyeri, ujian dan musuh

Setiap pasangan yang berkahwin sering kali mengimpikan kehadiran cahaya mata. Anak sering dikaitkan dengan penyeri keluarga dan pengerat kasih sayang antara dua jiwa yang mengikat tali perkahwinan.

Apakah sekadar itu posisi anak dalam Islam? Adakah sekadar menjadi penghias dan penyeri rumah tangga? 

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal kebajikan yang terus-menerus adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.”

Firman Allah SWT dalam Surah al-Kahfi ayat 46 ini benar-benar menyentak rasa. Tidak mungkin kita ingin biarkan anak-anak kita sekadar menjadi perhiasan dunia dan menjadi alat untuk membanggakan kita di dunia semata.   

Sering kali anak juga disebutkan sebagai anugerah kepada pasangan suami isteri. Rasa kasih serta sayang yang tertumpah kepada cahaya mata yang dikurniakan merupakan fitrah oleh Allah SWT secara semula jadi.

Pelajari ilmu keibubapaan

Bagaimana pula dengan cara mendidik anak-anak? Adakah ia juga semula jadi? 

Ilmu mendidik anak-anak tidak pernah hadir secara semula jadi. Ia bukanlah barang gratis atau percuma yang diperolehi seusai dikurniakan cahaya mata.

Naluri menyayangi, mengasihi serta melindungi hadir secara semula jadi, namun ilmu keibubapaan merupakan suatu seni yang perlu dipelajari dan diterokai oleh kedua-dua ibu bapa sepanjang mereka bergelar orang tua.

Secara fitrahnya, ibu bapa cenderung untuk mempraktikkan ilmu keibubapaan mengikut apa yang dialami mereka bersama kedua-dua orang tua mereka dahulu. Namun, anak-anak dilahirkan pada zaman mereka sendiri. 

Mereka lahir sebagai individu baharu yang unik walaupun datang dari rahim ibu yang sama. Keberadaan mereka di dunia ini adalah membawa identiti mereka sendiri, bukan menjadi bayangan kedua-dua ibu bapa mereka.  

Mengenali posisi yang mampu dibawa oleh seorang anak kepada kedua-dua ibu bapa sangat penting dalam menentukan arah tuju pendidikan yang bakal diberikan oleh mereka.

Sudah tentu menjadi impian bagi kedua-dua orang tua agar mereka bahagia bersama zuriat mereka bukan sekadar di dunia semata, malah menjadi saham pula kepada mereka di akhirat sana. 

Ujian dan musuh

Sebagai seorang hamba, kita tidak pernah terlepas daripada diuji oleh Allah SWT seperti dalam firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan dan kekurangan harta benda dan jiwa dan buah-buahan (kerana Kami hendak melihat sama ada kamu sabar atau tidak atas ujian itu). Dan sampaikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Begitulah juga apabila Allah kurniakan kita dengan anak-anak. Kita mengharapkan agar mereka menjadi pembuka pintu kebahagiaan kepada kita, namun mereka juga sebenarnya dihantar sebagai ujian kepada kedua-dua orang tua mereka.

Ini ada disebutkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya dalam Surah at-Taghabun ayat 15 yang bermaksud:

Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian (bagimu), dan di sisi Allah pahala yang besar.”

Menyedari kehadiran anak-anak dalam hidup kedua-dua ibu bapa sebagai ujian sudah cukup menggusarkan hati, apatah lagi jika kita tahu bahawa anak-anak juga mungkin menjadi musuh kepada mereka.

Tidak dapat dibayangkan, anak yang dikandung lebih sembilan bulan, dilahirkan dengan mempertaruhkan nyawa, disusukan sehingga sakit-sakit badan, dijaga sepanjang malam sehingga hilang nikmat tidur, akhirnya membesar sebagai musuh kita. Alangkah malangnya nasib kita jika ia terjadi. 

Dalam Surah at-Taghabun ayat 64, Allah telah memberikan kita ingatan yang cukup tajam untuk kita sentiasa bersiap siaga:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka.”

Dalam ayat Surah al-Mumtahanah ayat 3 Allah sebutkan pula: 

“Kaum kerabat dan anak-anakmu (yang tidak menurut kamu beriman) sekali-sekali tiada bermanfaat bagimu pada hari kiamat. Dia akan memisahkan antara kamu. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Pendidikan tauhid dan doa

Jika kita mengambil serius akan ingatan Allah ini, kita tidak akan bermain-main dengan pendidikan kepada anak-anak kita hari ini. Kita tidak akan melengah-lengahkan untuk memasukkan pendidikan tauhid dalam jiwa mereka sekali gus mendekatkan mereka dengan pencipta. 

Walau setinggi dan sehebat mana pun ilmu pendidikan keibubapaan yang kita tuntut, namun dengan mengembalikan jiwa anak-anak kita kepada Yang Maha Pencipta agar dipelihara itu lebih kita perlukan.

Doa yang tulus, ikhlas dan mendalam untuk kesejahteraan serta kemenjadian mereka lebih kita perlukan daripada dunia dan seisinya. 

Hari ini mungkin kita berasa lelah untuk terus-terusan mendoakan mereka, namun sebenarnya kita sedang menanam benih agar apabila kita tiada kelak, doa mereka pula yang kita perlukan.

Inilah ekosistem kehidupan yang secara timbal balik berlaku kepada kita, sama ada kita suka mahupun tidak.

Orang sering berkata, doa dan restu ibu bapa penting untuk anak-anak berjaya di dunia dan akhirat, namun tidak kurang pentingnya juga menyediakan anak-anak yang soleh serta musleh (membaikkan yang lain) yang sering mendoakan kedua-dua ibu bapa mereka. 

Jangan kita lupa akan hadis Nabi SAW: 

“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (HR Muslim [1631], an-Nasa’i [3651], Tirmidzi [1376] dan Abu Daud [2880])

Marilah kita sebagai ibu bapa melazimi untuk melantunkan doa buat anak-anak kita dalam apa jua keadaan dengan mengambil ibrah daripada kisah para Nabi Allah yang sering mendoakan zuriat mereka.

Jika Nabi Allah yang agung juga mendoakan zuriat dan keturunan mereka, apakah kita sebagai manusia biasa yang tidak pernah lari daripada dosa tidak terasa ada keperluan untuk mendoakan mereka?

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Furqan: 74)

Roselinee Mohammad Radzi
Kolumnis Portal IKRAM


Rujukan :
Empat posisi anak dalam al-Quran

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia