SERI KEMBANGAN – Warga Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) hari ini bersedih apabila menerima berita perginya almarhum Dato’ Ir Dr Azhari Md Salleh, Timbalan Presiden Penaja IKRAM menemui Ilahi.
Dato’ Azhari, 68, dimaklumkan telah meninggal dunia pagi tadi oleh ahli keluarga beliau setelah bertarung dengan Covid-19 selama beberapa hari di Hospital Selayang.
“Sekitar jam 6.00 pagi tadi, Khamis, 15 Julai 2021, suami dan abah tercinta, Dato’ Dr Azhari Md Salleh telah kembali ke rahmatullah dengan tenang di Hospital Selayang setelah bertarung dengan Covid-19,” kata anak almarhum, Nur Sabirah mewakili keluarganya dalam statusnya.
Tambahnya, kira-kira jam 3.00 pagi Selasa, keluarganya menerima panggilan daripada pihak hospital memaklumkan bahawa level oksigen almarhum turun secara mendadak kepada 60 peratus dan pernafasannya menjadi laju.
“Oleh demikian, doktor minta kebenaran untuk tidurkan abah, masukkan inkubator. Doktor menerangkan bahawa selepas ini abah berisiko untuk tidak seperti sediakala. Kami sekeluarga juga telah membuat video call dengan abah sebelum beliau ditidurkan,” ujarnya.
Menurut sahabat almarhum yang juga Pengerusi Yayasan Ikram Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom, almarhum Dato’ Azhari merupakan seorang pemimpin masyarakat, pengerusi surau dan masjid, mantan profesor dan ahli akademik serta Amir Majlis Syura Muslimun (MSM) UK & Eire.
“Pemergian Almarhum bertemu al-Khaliq dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat. Takziah kepada keluarga serta sahabat handai yang mengasihi almarhum.”
Dalam pada itu, IKRAM turut mengucapkan takziah kepada isteri almarhum, Datin Zainab Zin dan seluruh keluarganya serta warga IKRAM Gombak khususnya, moga dikurniakan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini.
Dilahirkan pada 1952 di Sungai Petani, Kedah, almarhum memperoleh diploma dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 1973. Dalam bidang yang sama, beliau seterusnya memperoleh ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah di United Kingdom.
“Sumbangan almarhum amat besar dalam bidang pendidikan, dakwah dan kemasyarakatan, serta aktif sebagai pemimpin masyarakat, pengerusi surau dan masjid sekitar kediamannya di Gombak.”
Seawal 1978, almarhum mula mencurahkan baktinya sebagai tenaga akademik, pensyarah seterusnya profesor di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga dilantik sebagai Dekan Kolej Sains dan Teknologi di UTM Kuala Lumpur pada 2007 dan juga Ahli Senat UTM.
Almarhum juga pernah menerima Anugerah Bintang Kebesaran Kedah, Darjah Dato’ Setia DiRaja Kedah pada 2009 oleh Sultan Kedah, yang membawa gelaran Dato’.
Menurut IKRAM, almarhum merupakan mantan Ahli Dewan Perwakilan Nasional IKRAM, Ahli Lembaga Timbang Tara IKRAM, mantan Pengerusi Tetap IKRAM Gombak dan menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Hidayah Centre Foundation (HCF), sebuah pertubuhan dakwah yang menyantuni mualaf di Malaysia, sejak 2012.
Selain itu, almarhum pernah menjadi Pengerusi Surau Madrasah At-Taqwa, Nazir dan Ahli Lembaga Penasihat Masjid Al-Sharif di Kampung Simpang Tiga, Gombak serta Ahli Jawatankuasa MPKK Kampung Simpang Tiga.
Jenazah almarhum dijangka dikebumikan di pada jam 3.00 petang hari ini di tanah perkuburan Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur dengan mengikut SOP yang ditetapkan.
Semoga Allah memberi rahmat dan ampunan kepada almarhum Dato’ Ir Dr Azhari, serta menempatkannya sebagai amilin, syuhada dan solihin di sisi-Nya, insya-Allah.