Tetapi lebih mengejutkan dan menakutkan ialah niat sinis yang tersembunyi di sebalik kegiatan ini, iaitu percubaan untuk menormalisasikan dosa.
Normalisasi dosa adalah salah satu daripada pelbagai agenda musuh Islam untuk menjatuhkan umat Islam. Melalui normalisasi dosa, maksiat akan berleluasa dan menguntungkan mereka. Salah satu penyumbang normalisasi dosa ialah pengaruh media-media Barat.
Perasankah anda, pada zaman dahulu budaya bertemu janji atau berzina tidak ketara dalam kalangan orang Melayu? Kalau wujud pun, ia dilakukan senyap-senyap kerana pelakunya masih ada rasa malu.
Tetapi zaman sekarang lain ceritanya. Orang Melayu sekarang sudah bertepuk tampar dengan berlainan jantina tanpa segan silu, berzina dilakukan tanpa rasa bersalah. Kerana apa? Kerana pengaruh cerita Barat yang mempromosikan budaya tersebut.
Pergaulan bebas dinampakkan bukan sebagai perbuatan yang terkutuk, tetapi digalakkan dan dipuji. Daripada itu, budaya berpakaian menjolok mata dan pergaulan bebas dijadikan sebagai benda biasa dalam masyarakat.
Menariknya, masyarakat Barat pada zaman dahulu tidak berpakaian menjolok mata seperti zaman sekarang. Mereka hanya berpakaian seperti itu selepas gaya berpakaian tidak cukup kain dipromosikan melalui iklan-iklan di Barat.
Ini menunjukkan betapa kuatnya pengaruh media massa dalam mencorakkan budaya masyarakat setempat, sehingga mampu mengubah persepsi dan mentaliti mereka. Mengubah tanggapan mereka terhadap sesuatu yang sebelum ini dianggap jijik dan ganjil, tetapi kini tidak lagi.
Satu lagi sebab bagaimana dosa boleh dinormalisasikan ialah asas agama yang lemah. Syukur pada Allah kerana orang Melayu Malaysia lahir-lahir berdaftar Islam. Melayu ada peluang untuk membesar dalam suasana Islam sejak dari kecil lagi.
Malangnya ada keluarga Melayu yang mensia-siakan peluang ini. Mereka Islam hanya pada kad pengenalan sahaja, tetapi suasana hidup Islam tiada. Mereka sekadar menganggap Islam itu ritual dalam masjid, bukan gaya hidup, malah tidak merasai maksiat sebagai benda yang menjijikkan dan kotor.
Sebab itu apabila budaya maksiat disebarkan melalui media Barat seperti LGBT, zina dan sebagainya, golongan Melayu tersebut mudah terjebak dengannya dan tidak menganggap budaya tersebut sebagai menjijikkan atau keji.
Akhir sekali, pengaruh rakan sebaya. Tiada guna mendidik agama kepada anak-anak daripada kecil jikalau tidak memantau pergaulan mereka di sekolah. Ini kerana sikap anak-anak kuat dipengaruhi dengan siapa mereka bergaul.
Jikalau mereka bergaul dengan rakan-rakan yang terlibat dengan aktiviti kotor dan jijik, anak-anak akan terikut-ikut dengan aktiviti tersebut.
Ini kerana menurut pandangan mereka, merasakan tiada salah buat perbuatan maksiat tersebut kerana kawan-kawan juga melakukan perkara yang sama. Kalau mereka tidak buat, mereka akan dipinggirkan oleh kawan-kawan mereka.
Kesimpulannya, pengaruh media Barat, asas agama yang lemah dan pengaruh rakan sebaya antara sebab yang akan membawa kepada normalisasi dosa. Apabila dosa dianggap sebagai benda biasa dan bukan benda keji, maksiat akan berleluasa dan masyarakat akan hancur.
Untuk mengelakkannya, ibu bapa harus memantau perkembangan anak-anak dari kecil lagi, bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pantau media apa yang anak-anak layan dan dengan siapa mereka berkawan, serta tanamkan asas agama yang kukuh supaya tidak terjebak dengan maksiat.
Abdul Rahman Hakim Tajul Ariffin (Pelajar Universiti)