Bukan mahu mengingkari takdir tetapi dalam Islam, telah ada garis panduan bagaimana hendak memilih lelaki yang bakal menjadi pemimpin dan pembimbing dalam rumah tangga kita kelak. Ini supaya pada kemudian hari, tidaklah sang wanita merasa menyesal dan tidak pula diperlakukan dengan buruk apatah lagi sampai dibunuh secara kejam.
Oleh kerana itu, Islam sangat menekankan aspek agama dan akhlak dalam pemilihan bakal suami mahupun isteri. Bukan setakat faham agama tetapi juga kaya dengan akhlak yang terpuji. Betapa ramai hari ini lelaki yang mengaku faham agama tetapi akhlaknya jauh panggang dari api.
Jangan pula wanita mudah terpedaya dengan kata-kata rayuan lelaki sebelum dia benar-benar menjadi suami anda. Tingkah laku yang ditunjukkan sebelum bernikah kebanyakannya adalah tipuan semata dan bersifat sementara.
Namun setelah hidup serumah bertahun lamanya, itulah hakikat dirinya yang sebenar. Setelah kalian menjadi suami isteri, itulah kehidupan cinta yang sesungguhnya.
Sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan, periksa terlebih dahulu siapa bakal suami anda sama ada melalui keluarganya atau sahabat baiknya. Semua ini hendaklah dilakukan secara sembunyi tanpa diketahui oleh bakal suami tersebut.
Setelah itu, berdoalah kepada Allah agar anda disatukan dengan orang yang tepat, yang akan membimbing anda dunia akhirat.
Perkahwinan ibarat sebuah kapal. Dan kapal sudah tentu memerlukan kapten untuk mengemudikan kapal dengan baik mengharungi badai ombak, angin kencang, hujan lebat agar selamat sampai ke tujuan. Dan pastilah kapten yang dipilih itu merupakan seorang yang terbaik, handal dan bertanggungjawab, agar kelak kapal tersebut tidak karam di tengah lautan ombak.
Begitu pula dalam memilih suami. Lelaki adalah kapten dan perkahwinan adalah kapalnya. Apabila perkahwinan berlandaskan niat yang baik hanya mengharap reda Allah, insya-Allah dia telah menjadi kapal yang kuat yang akan siap mengharungi samudera kehidupan berumahtangga.
Namun sebuah kapal tidak akan mampu berlayar dengan baik apabila kapten tidak pandai dalam mengemudikannya atau akan tersesat apabila tidak tahu arah yang tepat.
Di sinilah setiap perempuan harus memilih dengan baik kapten kapal yang akan membawanya kelak. Lelaki yang baik lagi soleh akan selalu membawa perempuan berdekatan dengan-Nya.
Apabila sewaktu-waktu sang suami dalam keadaan marah, diharamkan tangannya untuk memukul, dan ia memilih diam atau memberi nasihat dengan baik. Apabila sewaktu-waktu dia mendapati kekurangan isteri, tidak akan disebarkannya hal itu kepada rakan-rakan ataupun keluarganya.
Dia melihat itu sebagai anugerah atau kelebihan yang harus dia syukuri kerana hakikatnya berpasangan itu untuk saling melengkapi, bukan untuk saling mencaci.
Pilihlah lelaki yang bukan sekadar kacak tetapi juga beriman. Pilihlah lelaki yang tidak hanya berkecukupan tetapi juga boleh membawa pada kebahagiaan. Ini kerana betapa banyak perempuan kecewa kerana memilih lelaki tidak berdasarkan kesolehannya.
Ya, wanita memang selalu mengutamakan perasaan hampir dalam setiap perkara yang ia lakukan. Ini sebenarnya merupakan salah satu kelemahan wanita.
Ini kerana betapa ramai wanita mengikutkan perasaan tetap mahu berkahwin dengan seseorang lelaki walhal dia mengetahui lelaki tersebut adalah seorang panas baran atas alasan sayang. Dan tidak jarang pula ada yang tetap mempertahankan rumah tangga walaupun sudah kerap kali dipukul, didera dengan teruk atas alasan cinta ataupun anak-anak.
Duhai wanita, jangan membuat keputusan yang salah diatas alasan perasaan sedangkan diri kamu yang merana.
Sememangnya Islam amat tidak menggalakkan penceraian tapi ia bukan sesuatu yang diharamkan. Apabila sudah berlaku kekerasan dalam rumah tangga, maka jalan penceraian adalah solusinya.
Usah dipertahankan penderitaan itu, tapi lepaskanlah sembari berjuang mendapat hak anak dan mulailah kehidupan yang baru. Setelah itu, jadikan semua pengalaman masa lalu sebagai pengajaran.
Jika ada keinginan hendak bernikah lagi, maka bacalah dengan teliti garis panduan yang telah Islam ajarkan. Utamakan agama dan juga akhlaknya walaupun ia kurang dari segi parasnya dan bekerja biasa-biasa saja, ini tidaklah mengapa kerana sesungguhnya Allah lah Maha Pemberi Rezeki asalkan kita yakin.
Sedangkan untuk paras, semua itu hanya bersifat sementara. Esok lusa kita pun kaum wanita akan mengalami fasa menua. Paras itu tidak menjamin kehidupan yang lebih baik. Agama dan akhlak yang baik, itulah yang akan membawa kita kaum wanita ke syurga Allah, biidznillah.
Sungguh beruntung para perempuan yang memiliki suami soleh, menjadi penyejuk mata dan hatinya, menjadi jalan mudah untuk para isteri memasuki Taman Keabadian.
Terdapat dalam sebuah hadis yang mengatakan, “Apabila seorang wanita (isteri) itu sudah melakukan empat perkara ini; solat fardu lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, menjaga kehormatan diri dan mentaati perintah suami, maka dia bebas masuk ke syurga melalui mana-mana pintu yang dipilihnya.” (HR Ahmad , Ibnu Hibban dan Thabrani)
Nampak seperti mudah namun hakikatnya sangat sukar untuk dilakukan memandangkan wanita harus berjuang melawan perasaan dan emosinya. Namun jika ia memiliki suami yang soleh, maka semua itu terasa mudah dengan bantuan dan didikan daripada suaminya, insya-Allah.
Meirose