Al-Quran adalah kitab kebenaran yang diturunkan sebagai panduan kepada seluruh manusia. Pada zaman Arab jahiliah, orang yang pandai bersyair dan berpuisi dianggap orang yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat Arab.
Oleh yang demikian, tentulah bahasa yang digunakan oleh penyair adalah menarik dan suka didengari. Namun begitu, walaupun mereka hebat dalam mereka cipta syair yang hebat, mereka masih tidak dapat menandingi keunggulan bahasa al-Quran dari segi bahasanya.
Al-Quran mencabar orang yang tidak percaya akan kesahihannya agar menciptakan walau sepotong ayat yang mampu menandingi bahasa al-Quran. Apabila turunnya al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW, baginda membacakannya kepada masyarakat Arab, pelbagai tanggapan telah dibuat oleh orang yang mendengar.
Kesombongan menjadi sebab utama penolakan mereka terhadap al-Quran sungguhpun mereka merasakan bahawa apa yang dibaca oleh Nabi SAW adalah suatu kalam yang terlalu indah.
Hal tuduhan ini menyebabkan Allah SWT mencabar manusia yang tidak mempercayai al-Quran ini merupakan wahyu daripada-Nya agar mencipta kitab sepertinya. Malah, cabaran tersebut sentiasa diperingankan daripada mencipta sebuah kitab, kepada mencipta sepuluh surah dan seterusnya kepada satu surah.
Cabaran pertama Allah SWT bagi membuktikan bahawa al-Quran merupakan wahyu daripada-Nya yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah dengan meminta manusia agar mencipta sesuatu seperti al-Quran atau yang mampu menandingi al-Quran jikalau mereka mampu. Firman Allah SWT bermaksud:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Israa’ : 88)
“Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: Dia (Muhammad) yang mereka-reka al-Quran itu! Katakanlah (Wahai Muhammad): (Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya yang lain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.” (Surah Hud : 13)
“(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: Dialah (Muhammad) yang mengada-adakan al-Quran menurut rekaannya. Katakanlah (Wahai Muhammad): Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain daripada Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!” (Surah Yunus : 38)
Al-Quran mengandungi 30 juzuk dan 114 surah, sehingga kini belum ada yang mampu menyahut cabaran Allah SWT untuk menandingi walau satu surah dalam al-Quran hatta surah yang terpendek iaitu Surah al-Kautsar.
Orang Arab pada zaman tersebut menggunakan 16 cabang puisi atau syair antaranya ialah al-Rajs, al-Wafir, al-Muktatab dan al-Hajaz. Namun, mereka masih gagal mencipta ayat yang mampu menyamai sekurang-kurangnya sependek surah berkenaan.
Selain itu, Allah SWT juga telah mencabar golongan yang menentang kitab al-Quran untuk mencari kelemahan isi kandungannya. Hasil daripada cabaran ini menurut Dr Zakir Naik, banyak pengkaji yang telah cuba mencari kelemahan al-Quran, namun tidak dapat dijumpai sebarang kesalahan dalam kitab tersebut. Tambah beliau lagi, al-Quran juga tiada kelemahan yang boleh dicari jika dicari satu persatu.
Dr Gary Miller pula pernah menegaskan bahawa tidak ada seorang penulis pun di dunia ini yang memiliki keberanian untuk menulis sebuah buku dan kemudian mendakwa bahawa bukunya itu tidak ada sebarang kesalahan mahupun kesilapan kecuali al-Quran. Bahkan al-Quran mencabar seandainya anda mencari-cari kesalahan itu, anda pasti tidak akan menemukannya.
Dr Gary Miller sangat mengagumi perihal tersebut setelah beliau melakukan kajian selama setahun dengan menyelak satu persatu helaian al-Quran untuk mencari kesilapan serta kesalahan dalam al-Quran.
Beliau akhirnya telah memeluk Islam pada tahun 1977 dengan nama baru beliau Abdul Ahad Omar setelah menemui kajian saintifik dalam al-Quran yang diturunkan lebih kurang pada tahun 610 Masihi.
Ustaz Dr Syazalie Hirman bin Ahmad Najib
Ketua Hal Ehwal Syariah
Pertubuhan IKRAM Malaysia