Pelancaran tabung itu bertujuan membantu meringankan bebanan ibu bapa dalam menyediakan keperluan anak-anak yang bersekolah dengan menyediakan pelitup muka jenis pakai semula (boleh dibasuh) yang menepati saranan WHO.
“Kita mengeluarkan belanja sebanyak RM77,350 sebagai permulaan bagi projek ini dengan sasaran awal 3,000 pelajar akan menerima manfaatnya bagi tempoh tiga bulan penggunaan,” kata Ketua Pengurusan Yayasan IKRAM Malaysia, Prof Madya Hj Ainullotfi Abd Latif dalam ucapan perasmiannya.
Beliau yang juga Naib Presiden MAKPEM berkata, ia diadakan bersesuaian dengan sambutan 63 tahun kemerdekaan Malaysia.
“Kita berharap dapat menyasarkan lebih tinggi jumlah yang akan menerima manfaat iaitu 63,000 pelitup muka dikeluarkan pada masa akan datang.”
Usaha ini dijangka akan meringankan beban keluarga yang kurang mampu, menjimatkan perbelanjaan harian mereka dan menyelamatkan alam sekitar dengan mengurangkan sampah pelitup muka.
Seramai 70 orang pelajar termasuk guru pengiring daripada sekolah rendah dan rumah anak yatim di bawah seliaan MAKPEM hadir memeriahkan majlis pelancaran ini. Turut hadir dalam perasmian tersebut ialah Naib Presiden MAKPEM, Dato’ Mah Hassan.
Sumbangan untuk Tabung Bantuan Khas Mask4Kids boleh disalurkan melalui pautan http://yayasan.ikram.org.my/mask4kids/ atau akaun Yayasan Ikram Malaysia 562142404402 (Maybank) dengan rujukan ‘mask4kids’ dan e-mel bukti bayaran ke sumbangan.yayasan@ikram.org.my.