“Kebangkitan Hagia Sophia adalah tanda langkah menuju pembebasan Masjid al-Aqsa di Palestin,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menangkis kritikan antarabangsa yang ditujukan kepadanya setelah mengubah status Hagia Shopia menjadi sebuah masjid yang berkuatkuasa pada 10 Julai 2020.
“Kebangkitan Hagia Sophia adalah kehendak umat Islam dari seluruh dunia untuk keluar dari fasa kekecewaan.”
“Kebangkitan Hagia Sophia adalah percikan harapan bukan hanya untuk umat Islam tetapi juga daripada semua masyarakat yang tertindas, mangsa perang dan penjajahan.”
“Kebangkitan Hagia Sophia adalah panggilan baru kami sebagai orang Turki dan umat Islam kepada seluruh umat manusia,” tegas Erdogan dalam Pidato Kebangsaannya.
Beliau telah berulang kali meminta bangunan yang unik itu dijadikan sebagai masjid, bahkan pada tahun 2018, beliau pernah membaca ayat-ayat al-Quran yang disiarkan di Hagia Sophia.
“Saya harap semua orang dapat menghormati keputusan yang diambil oleh mahkamah tinggi dan badan eksekutif Turki berkaitan dengan Hagia Sophia,” kata Erdogan, sambil menambah bahawa perbincangan di laman bersejarah itu adalah masalah kedaulatan negaranya.
Hagia Sophia dibina 1,500 tahun yang lalu sebagai katedral Kristian Ortodoks dan ditukarkan menjadi masjid setelah Uthmaniyyah menakluki Konstantinopel (sekarang Istanbul) pada tahun 1453 dan pada tahun 1934, pemerintah sekular Turki memutuskan untuk menjadikannya sebagai muzium.
“Seperti masjid yang lain, Hagia Sophia akan dibuka untuk komuniti Turki dan semua orang, sama ada yang beragama Islam juga bukan Islam, tanpa bayaran,” jelasnya.
Turki menghargai semua pandangan mengenai status baru Hagia Sophia, sambil menambah bahawa apa-apa sikap atau tindak balas yang campur tangan akan dianggap ‘mengganggu’ kemerdekaan negara itu.
“Umat Islam di Turki boleh melaksanakan ibadah solat di Tapak Warisan Dunia UNESCO tersebut bermula pada 24 Julai.”
Pengumuman itu dibuat beliau, beberapa jam setelah Mahkamah Tinggi Turki membatalkan keputusan tahun 1934 yang menjadikan Hagia Sophia menjadi muzium.
Mahkamah tinggi negara itu memutuskan bahawa sijil bangunan yang dimiliki oleh yayasan yang diasaskan oleh Sultan Muhammad al-Fatih tidak boleh ditukarkan menjadi muzium.
Walaupun terdapat sebilangan pihak yang mengkritik keputusan itu, beliau tetap bertegas meneruskan usaha tersebut.
Beliau menambah, umat Islam, Kristian, dan Yahudi telah hidup dengan aman di Istanbul sejak penaklukannya dan orang-orang Turki menghormati tempat-tempat ibadat non-Muslim yang lain, di sisi lain banyak peninggalan Uthmaniyyah di Eropah Timur dan Balkan secara beransur-ansur dihapuskan.
Hagia Sophia, warisan karya seni bina dunia yang tiada tandingannya, mengalami banyak pemulihan semasa era Uthmaniyyah termasuk penambahan menara oleh arkitek terkenal Mimar Sinan.
Pada tahun 1935 di bawah Republik Turki, bangunan itu diubah menjadi sebuah muzium dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Turki telah meminta agar muzium itu menjadi masjid lagi dan membenarkan rakyatnya beribadah di sana.
Foto: TRT World