Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) amat khuatir dengan lonjakan sentimen negatif terhadap masyarakat Rohingya akhir-akhir ini berdasarkan dakwaan yang diragui kesahihannya.
Isu pelarian Rohingya adalah isu antarabangsa yang melibatkan aspek-aspek kemanusiaan dan hak asasi. Isu ini memerlukan tindakan yang tegas dan konkrit oleh pemimpin-pemimpin dunia melalui agensi-agensi antarabangsa yang berkenaan.
Semakan ke atas butiran surat yang dikatakan dihantar oleh seorang yang mengaku dirinya sebagai pemimpin masyarakat Rohingya kepada Menteri Sumber Manusia pada bulan Januari 2020 tidak menunjukkan tuntutan melampau seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Kesahihan beberapa maklumat lain yang mendakwa perkara yang sama juga tidak dapat ditentukan. Terdapat pula pihak dalam kalangan Rohingya sendiri yang menafikan bahawa individu berkenaan mewakili suara kaum Rohingya. Oleh itu, adalah tidak wajar untuk menimbulkan kebencian yang keterlaluan terhadap golongan ini.
Tidak dinafikan bahawa mungkin terdapat dalam kalangan komuniti Rohingya yang bertindak di luar batasan undang-undang, adat dan tata susila masyarakat setempat. Yang salah tetap salah.
Namun, marilah kita berpegang kepada pemikiran yang rasional bahawa jika ada segelintir warga Rohingya yang membuat onar, maka mereka perlu diadili sewajarnya.
Adalah tidak patut untuk membabitkan orang lain sehingga mencetus kebencian kepada seluruh kaum. Pada masa yang sama, warga Rohingya di Malaysia perlu menghormati sensitiviti, adat dan budaya setempat serta tidak menimbulkan masalah dan keresahan masyarakat.
Bulan Ramadan yang mengajar kita berlapar dahaga patut menimbulkan rasa prihatin terhadap keperitan mereka yang miskin, dizalimi dan tertindas, lebih-lebih lagi kepada mereka yang mempunyai sejarah lama ditindas tanpa pembelaan oleh masyarakat antarabangsa.
Mereka tiada hak warganegara di bumi sendiri, dibakar harta, ditembak, dibunuh, dihalau, dirogol beramai-ramai tanpa ada tempat tujuan. Kini mereka yang kebanyakannya berstatus ‘pelarian’ menumpang kasih dan menagih belas ihsan kita. Kaum ini dizalimi di negara mereka, janganlah kita pula menzalimi mereka di sini.
Marilah kita kembali kepada sifat tabii membantu sesama insan yang berada dalam kesusahan. Jika tidak dapat dibantu sekalipun, marilah kita elakkan daripada mencerca mereka yang meminta seperti tuntutan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah Sallallahualaihiwasallam:
قَوۡلٌ۬ مَّعۡرُوفٌ۬ وَمَغۡفِرَةٌ خَيۡرٌ۬ مِّن صَدَقَةٍ۬ يَتۡبَعُهَآ أَذً۬ىۗ وَٱللَّهُ غَنِىٌّ حَلِيمٌ۬
“(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.” (Surah al-Baqarah: 263)
اِتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فمن لم يجد فبكلمة طيبة
“Peliharalah diri kalian daripada api neraka meski hanya dengan bersedekah separuh kurma. Sekiranya kalian tidak memiliki sesuatu (yang mampu disedekahkan meskipun separuh kurma), maka (cukuplah) dengan kata-kata yang baik.” (HR Bukhari & Muslim)
عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Daripada al-Nu’man bin Basyir beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang mengadu sakit, maka seluruh tubuhnya akan berjaga malam (tidak dapat tidur) dan demam.” (HR Bukhari & Muslim)
Untuk memastikan isu etnik Rohingya ini diselesaikan dengan cara terbaik, masyarakat antarabangsa dan kuasa-kuasa dunia perlu mengambil tindakan bersepadu. IKRAM menyeru kerajaan untuk berusaha memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar menyelesaikan konflik dalaman mereka dan mengembalikan hak kaum Rohingya di bumi mereka.
IKRAM yakin kerajaan Malaysia juga telah lakukan yang terbaik dengan memberi kebenaran kepada mereka untuk transit di sini sementara menunggu mereka ditempatkan di negara ketiga atau pulang ke negara asal. IKRAM mengharapkan agar lebih banyak suara tokoh-tokoh, NGO dan kerajaan untuk meredakan keadaan serta menjaga akhlak pada bulan yang mulia.
Pada bulan Ramadan yang diberkati ini, marilah kita mendoakan agar Malaysia, Rohingya atau malah seluruh pelusuk bumi ini bebas daripada kezaliman, penindasan dan kezaliman.
Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia