PKP: Kewajipan membayar nafkah isteri dan anak-anak

1. Dalil wajib bayar nafkah:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُون عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَافَضَّل ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖ وَبِمَآأَنفَقُواْمِنۡ أَمۡوَٰلِهِم

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka…” (Surah an-Nisaa’: 34)

 

Daripada Jabir bin Abdullah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda ketika memberi khutbah Haji Wida’:

“..Bertakwalah kepada Allah (dalam mengendalikan urusan) kaum wanita. Sesungguhnya mereka seperti tawanan (milik kamu). Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah. Faraj-faraj mereka menjadi halal dengan kalimah Allah… Kewajipan kamu ialah memberikan nafkah dan pakaian yang sepatutnya kepada mereka…” (HR Bukhari & Muslim)

 

Mengenai kewajipan seorang ayah membayar nafkah, Allah berfirman dalam Surah al- Baqarah ayat 233 yang bermaksud:

“Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf.”

 

Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda kepada Hindun binti ‘Utbah:

خذي ما يكفيك وولدك بالمعروف

“Ambillah secukupnya untukmu dan anakmu dengan cara yang baik.” (HR Bukhari & Muslim)

 

Seksyen 59 Akta Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) memperuntukkan bahawa Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya (yang masih dalam iddah).

 

Seksyen 72 pula memperuntukkan bahawa adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang yang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya.

 

2. Berapa banyak nafkah yang perlu dibayar?

Dalam Surah al-Talaq ayat 7, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.”

 

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa kewajipan membayar nafkah adalah mengikut kemampuan seseorang suami/ayah. Jika dia mempunyai rezeki yang lebih, dia hendaklah membayar nafkah mengikut kemampuannya, begitulah sebaliknya. Faktor kebiasaan setempat juga diambil kira dalam menentukan jumlah nafkah yang perlu dibayar.

 

3. Pembayaran nafkah pada waktu PKP

Isu yang timbul dalam masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini ialah bagaimana kalau suami tidak mampu membayar nafkah untuk isteri dan anak-anak kerana tidak dapat bekerja?

 

Suami hendaklah membayar nafkah berdasarkan kemampuannya. Dalam tempoh PKP ini, suami disarankan supaya lebih kreatif dan inovatif dalam menjana pendapatan. Contohnya jika dia seorang guru tuisyen dari rumah ke rumah dan pendapatannya terjejas teruk kerana tidak dapat keluar rumah, dia boleh membuka perkhidmatan tuisyen atas talian (online).

 

Jika dia ada wang simpanan, dia hendaklah mengeluarkannya untuk membiayai keperluan isteri dan anak-anak. Suami sebagai ketua keluarga boleh juga memanfaatkan beberapa skim bantuan kewangan dan barang-barang keperluan yang diperuntukkan oleh kerajaan dan institusi-institusinya seperti lembaga zakat serta beberapa agensi swasta.

 

Bagi isteri yang berduit (sama ada yang bekerja atau tidak) adalah disarankan untuk bersedekah kepada keluarga pada waktu-waktu seperti ini. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:

 

“Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskannya) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka, yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu.” (HR Muslim).

 

Suami mungkin juga boleh membuat pinjaman daripada keluarga terdekat, rakan atau daripada isteri sendiri dalam usaha menjalankan tanggungjawabnya.

 

Kesimpulan

Seorang suami mesti berusaha menunaikan tanggungjawab membayar nafkah sebaik mungkin. Langkah-langkah yang disebutkan di atas boleh diambil sebagai panduan di samping doa yang tidak putus-putus memohon dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.

 

Prof Madya Dr Normi Abdul Malek, Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia