Kemakmuran Bersama dalam negara
Bagi beliau, agenda kemakmuran bersama merupakan agenda yang melibatkan dalam negara dan juga antara negara.
“Sebelum kita melihat antara negara, dalam negeri pun perlu kepada satu tindakan yang lebih cepat sebab masalah semakin runcing, semakin rumit.
“Kita ingin pastikan bahawa kerangka yang dibuat oleh kerajaan Malaysia (Wawasan Kemakmuran Bersama 2030) itu dapat dilaksanakan lebih cepat lagi kerana keadaan yang semakin hari semakin mendesak.”
Semasa ucapan pendahuluan beliau dalam sesi plenari, beliau membawa contoh klasik kes yang berlaku di Hong Kong yang mempunyai GDP paling baik di dunia, merupakan antara pusat kewangan dunia, yang tiada bajet defisit tetapi gagal menyantuni isu perumahan.
Dr Daud memberikan konsep perumahan yang lebih luas tentang apa itu perumahan dari perspektif sesebuah kerajaan.
“Perumahan bukan sekadar menyediakan rumah, (tapi) rumah yang ada kemanusiaan, rumah yang dapat panggil sebagai rumah yang ada privasi, yang dapat berehat, bukan rumah yang menyempitkan kehidupan.”
Beliau melihat, kelemahan kerajaan Hong Kong dalam menangani isu perumahan menjadi satu perkara yang cukup besar dan itu membuka mata banyak kerajaan sekarang. Dengan kata lain, mereka perlu ada juga konsep melihat kepada pembahagian kekayaan.
“Bukan makna pembahagian kekayaan itu kita bagi wang, itu salah, konsepnya kita bukan bagi wang, (tapi) membuka peluang-peluang yang sama.”
Contoh membuka peluang yang sama antaranya, kerajaan membuka peluang-peluang untuk memberikan rumah yang skim yang mampu dimiliki berdasarkan kemampuan masing-masing.
“Bukan memberikan (rumah) secara percuma, itu bukan dasar kerajaan yang baik, pemberian percuma bukan dasar kerajaan yang mampan sebab rakyat kena bekerja, rakyat kena menabung, rakyat kena menyimpan tetapi kena ada peluang yang hampir sama dengan semua orang berdasarkan kemampuan masing-masing.”
Kemakmuran Bersama antara negara: Satu idea baru
“(Kemakmuran Bersama) antara negara dengan negara, itu satu perkara yang jarang dibincangkan,” ujarnya.
Bagi beliau, ia mungkin satu idea yang baru supaya berlaku ‘shared prosperity’ contohnya antara negara yang mempunyai GDP tinggi dengan negara yang kurang GDP, negara yang hebat teknologi boleh bantu negara yang kurang teknologi dan percambahan ilmu (exchange of knowledge) antara negara yang lebih ke hadapan.
“Kita ada universiti hebat, kenapa tidak kita bagi pensyarah-pensyarah kita dua atau tiga tahun berkhidmat di contohnya di Mali, Burkina Faso sebagai menyamaratakan peluang untuk mendapat pendidikan?” soalnya.
Dr Daud berpandangan, agenda ini perlu disusun dan pastinya perkara yang mudah dibuat jika ada kesediaan untuk menyantuni kemakmuran bersama antara negara-negara Islam dalam sektor kewangan, kemahiran, perindustrian dan bidang-bidang lain yang diungguli.
“Contohnya, kalau negara itu mempunyai sumber mentah yang hebat, tidak ada teknologi, kita bawa teknologi.
“Jadi, di situ ada kemakmuran bersama yang boleh dikongsi dan pendapatan itu boleh diagihkan secara bersama kepada golongan yang memerlukan di tempat asal negara tersebut.”
Beliau melihat agenda ini sebagai agenda yang sangat kritikal bagi mewujudkan wajah baru negara-negara Islam, wajah yang sentiasa ingin bersama, ingin tolong-menolong sepertimana yang dilakukan oleh Kesatuan Eropah yang membantu negara yang sedang hampir muflis.
“Itulah satu tindakan yang paling kritikal yang terpaksa ditanggung satu sama lain.”
Kesediaan kerjasama antara negara
Beliau optimis bahawa negara-negara Islam yang terlibat bersedia untuk berkongsi kemahiran, kelebihan, akses, dan lain-lain dengan syarat ada kerangka yang jelas dan juga timbal balik.
“Mereka yang memberikan kelebihan, (perlu) ada juga sumbangan secara tidak langsung kepada mereka dan sebaliknya.
“Tidak boleh kita kata ‘one way traffic’, mesti ada juga timbal balik yang wajar, munasabah supaya tidak menjadi sia-sia kepada yang menderma.”
Negara yang menderma dan membantu juga perlukan pengiktirafan, timbal balik yang dapat direkodkan dalam buku kira-kira mereka bahawa ada hasil dalam sumbangan mereka.
“Mereka menyumbang kepada pembentukan manusia, dan manusia itu boleh digunakan untuk negara yang menyumbang.
“Jadi perlu ada satu strategi yang berbentuk timbal balik yang jelas, saksama antara negara yang memberi dan negara yang menerima.”
Semoga KL Summit 2019 dapat mencetuskan satu kesinambungan kerjasama pada masa hadapan demi menjayakan agenda Kemakmuran Bersama antara negara-negara Islam yang terlibat, insya-Allah.