Suasana debaran anak-anak ini ditambah pula dengan kehadiran ibu bapa yang juga menanti penuh debar keputusan anak-anak. Muka yang gelisah jelas terpapar pada wajah kebanyakan ibu bapa yang hadir.
Tiada ibu bapa yang tidak mahu melihat anak mereka cemerlang apatah lagi kecemerlangan UPSR ini menjadi penentu kemasukan sekolah berasrama atau sekolah khas kerajaan yang dikhususkan untuk anak yang cemerlang.
Kemasukan ke sekolah yang cemerlang ini akan meluaskan peluang anak-anak ini untuk terus cemerlang dan mempermudahkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi kelak.
Pesan dan Peringatan
Saban tahun jika hari begini tiba, akan muncul pesan dan peringatan kepada ibu bapa untuk menerima keputusan anak seadanya, menghargai apa sahaja keputusan yang diperolehi oleh anak, tidak memarahi jika keputusan tidak seperti yang ibu bapa harapkan dan tidak membandingkan keputusan anak sendiri dengan anak yang lain atau anak orang lain.
Senarai pesanan dan peringatan ini berterusan untuk peringatan buat ibu bapa. Kenapa pesan ini mula bertebaran di media sosial dewasa ini?
Kerana anak-anak ini ramai yang terkesan emosi kerana sikap sebahagian masyarakat dalam menanggapi peperiksaan ini seolah-olah ia menjadi penentu kepada masa depan anak-anak ini.
Bahkan ibu bapa anak-anak juga turut terkesan. Dahulu tiada media sosial, jadi kebanyakan kegembiraan dan kesedihan dirasai dalam kalangan keluarga sendiri sahaja. Namun, dunia tanpa sempadan sekarang ini membolehkan semua orang tahu cerita orang lain.
Maka, mudah berlaku banding-membanding secara terang-terangan atau secara senyap. Kadangkala bukan tujuan membandingkan, bertanya khabar keputusan anak sudah memberi persepsi percubaan membandingkan keputusan.
Bila Tiba Anak Sendiri
Tahun ini Allah izinkan anak sendiri yang mengambil keputusan UPSR. Sejak malam sebelum keputusan diumumkan esoknya, debaran hati anak dara saya sudah mula terasa.
Saya sendiri sejak beliau kecil tidak pernah memaksa atau menggesa dalam pendidikan beliau, cuma menggalakkan dan memperingatkan sekali sekala apabila beliau ralit diulit buku-buku cerita bahasa Inggeris yang digemarinya.
Minda anak ini telah ditanamkan untuk mengejar keputusan UPSR sejak Darjah 5 di sekolah. Segala usaha diprogramkan oleh pihak sekolah untuk menghadapi UPSR pada darjah enam kelak.
Pihak sekolah perlu berusaha demi kecemerlangan sekolah, manakala ibu bapa pula ingin memastikan anak mereka mengambil peperiksaan UPSR mendapat persiapan yang terbaik sama ada daripada pihak sekolah mahupun pihak mereka sendiri.
Kecemerlangan anak satu idaman. Itu adalah fitrah insani.
Peperiksaan UPSR ini ditumpukan kepada anak sekolah rendah yang masih mempunyai sifat yang suka bebas, suka meneroka dan suka bermain. Namun, jiwa yang ingin bermain itu dialihkan kepada keseriusan untuk menghadapi peperiksaan utama bagi sekolah rendah iaitu UPSR.
Ia menjadi utama kerana peperiksaan ini sebahagian besar akan menjadi penentu sekolah mana anak ini akan belajar ketika Tingkatan 1.
Bagi memastikan persiapan terbaik diberikan, pihak sekolah menyediakan kelas tambahan, latih tubi, manakala ada ibu bapa menambahkan persiapan ini dengan tuisyen di luar sekolah dan juga menjalankan program-program sewaktu cuti sekolah untuk anak-anak ini menghadiri latih tubi demi kecemerlangan dalam UPSR.
Saya pemerhati kepada anak sendiri. Ketika pulang ke rumah, ada bahan-bahan latihan tambahan yang disediakan oleh guru sekolah atau persatuan ibu bapa.
Lalu saya berkata, “Kakak nak buat latihan tambahan ni boleh, tak nak buat pun boleh. Sebab di sekolah pun dah ada latihan kan?” Lalu anak ini menjawab “Penat la ummi, kat sekolah pun dah banyak latihan. Kakak dah jawab kat sekolah kakak tak nak buatlah kat rumah boleh?” “Ya boleh”. Lalu anak ini pulang daripada sekolah setiap hari akan tenggelam dalam hobinya membaca buku cerita.
Ketika beliau menghadapi masalah dalam matematik saya bertanya, “Kakak ok ke subjek ni? Kakak perlukan tuisyen tak?” Berbincang dengan anak dan lihat apa yang anak perlu berbanding apa yang saya mahu. Sebab saya kenal anak ini memang cemerlang tapi terdapat kesukaran dalam subjek ini. “Boleh la ummi, kadang kat sekolah kakak tak faham” jawab beliau.
Lantas saya usahakan tuisyen yang paling murah iaitu tuisyen kumpulan untuk subjek Matematik sebab saya akui saya sendiri pun lemah dan tidak mampu membantu anak ini.
Kumpulan tuisyen membolehkan beliau berbincang dengan rakan dan merujuk kepada mentornya. Kadangkala dia tidak mahu ke kelas tuisyen, saya turuti sahaja. Terkadang saya merasa bebanan persiapan dan latih tubi yang dilakukan.
Bukan Sekadar A
Allah mengizinkan anak saya mendapat 6A dengan beberapa kawannya yang lain. Saya membayangkan, apa akan berlaku jika anak ini yang menginginkan 6A tapi tidak dapat memperolehinya? Apakah kesan kepada emosinya, motivasinya, jati dirinya?
Sedangkan ini hanyalah Darjah 6. Perjalanan mereka jauh lagi untuk mereka membentuk diri dan kecemerlangan mengikut kecenderungan mereka kelak.
Bagaimana pula anak-anak yang kecenderungannya bukan akademik tapi keputusan akademik tidak menyebelahi mereka? Apabila anak saya melihat keputusan 6A, beliau terus menangis, bersyukur, gembira kerana usahanya berjaya.
Bagaimana kalau gagal? Saya bakal melihat kesan emosi dalam hidupnya pada usia yang masih kecil. Semangatnya boleh dibangkitkan semula namun ia akan memberi kesan dalam hidupnya. Bagaimana pula rakan-rakannya yang lain yang berusaha?
Apabila saya keluar dari bilik tempat mengambil keputusan, rakan-rakan beliau teruja bertanya, “Auntie Anis dapat apa?” Tanya mereka bertingkah-tingkah. “Alhamdulillah 6A”. “Yeay,” jerit mereka dengan riang. Mereka melompat-lompat gembira meraikan kejayaan anak saya. Sungguh tulus sucinya hati anak-anak ini dengan persahabatan mereka.
Kemudian beberapa rakannya mengalirkan air mata kerana tumpang gembira sementara yang lain semakin berdebar terutama yang mengidamkan dan mensasarkan usaha untuk mendapat 6A. Terbayang di minda saya, bagaimanakah perasaan anak-anak ini kelak setelah mendapat keputusan mereka…
Saya rasa saya lebih gembira jika keputusan yang diperolehi di peringkat UPSR ini tidak digazetkan menjadi peperiksaan yang rasmi. Buatlah penilaian seperti UPSR akan tetapi penilaian itu di peringkat sekolah masing-masing dan dianugerahkan kepada mereka yang berusaha tanpa perlu diterbitkan keputusan rasmi daripada Kementerian Pendidikan. Cukup sekadar di peringkat sekolah.
Buatlah penyampaian hadiah atau hari graduasi Darjah 6 namun, anugerahkan secara menyeluruh kepada mereka yang cemerlang dalam aspek lain seperti kerja sosial, kerja berkumpulan yang banyak telah dilakukan oleh mereka ketika Darjah 5 dan Darjah 6. Anugerahkan juga yang cemerlang kokurikulum seperti yang dilakukan setiap hujung tahun oleh pihak sekolah.
Buatlah untuk PT3, SPM tapi mansuhkanlah di peringkat UPSR kerana mereka masih terlalu remaja. Mereka masih perlu dibebaskan dengan kongkongan peperiksaan rasmi agar mereka boleh meneroka lebih luas dan jauh apabila di Tingkatan 1 tanpa membawa kesan emosi hasil keputusan UPSR yang mereka perolehi.
Ini penting agar ibu bapa dan guru-guru juga lebih tenang dan fokus kepada membangunkan potensi anak-anak dan mengenali kecenderungan mereka, agar mereka mampu digilap menjadi cemerlang tanpa perlu memiliki sebaris A dalam slip keputusan peperiksaan mereka.
Mampukah kita berubah?
Penulis: Siti Hamisah Manan