Rombongan EAIC diketuai Timbalan Pengarah Seksyen Perhubungan Korporat, En Mohammad Faizal Jaaffar bersama Timbalan Pengarah Seksyen Media dan Publisiti, Pn Jasliza Ismail daripada Bahagian Komunikasi Korporat dan Timbalan Pengarah Seksyen Dasar dan Penyelidikan, En Firdaus Nohhani daripada Bahagian Dasar, Penyelidikan, Inovasi dan Urusetia.
Kunjungan mereka disambut mesra Ketua Pegawai Operasi Ibu Pejabat IKRAM, Hj Nordin Shafie bersama wakil Presiden, Hj Salman Sirad dan wakil Jabatan Wanita, Cik Nik Khatijah Nik Mud.
Pertemuan julung kali antara IKRAM dan EAIC ini memberi ruang kepada kedua-duanya untuk saling mengenali dangan lebih mendalam tentang gerak kerja masing-masing serta mengenal pasti ruang kerjasama pada masa hadapan.
Kerjasama ini dilihat satu langkah yang strategik dalam membantu merealisasikan visi IKRAM Malaysia Menjadi Negara Rahmah melalui ciri-ciri antaranya kepemimpinan negara yang kompeten dan berintegriti, sistem pemerintahan yang berasaskan semak dan imbang yang berkesan, serta tadbir urus yang baik.
IKRAM turut menyambut baik budaya perkongsian dan dialog seperti ini serta bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan, institusi, badan kerajaan mahupun bukan kerajaan yang mempunyai objektif yang selari bagi memajukan kepentingan masyarakat dan negara.
Semoga pertemuan ini akan membuahkan kerjasama yang mantap antara IKRAM dan EAIC pada masa akan datang bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang berintegriti terus diperkasakan dalam membina Malaysia Baharu.