Dalam pertandingan akhir semalam yang berlangsung di Auditorium Utama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, SMIAAG telah mengalahkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan dengan keputusan juri 7-0.
Pasukan SMIAAG diwakili Muhammad Naufal bin Mohamed Hanipa (Tingkatan 4), Salahuddin Yusuf Al-Ayyubi bin Iskandar Zulkarnain (Tingkatan 1) dan Abdullah Afeeq bin Shafiee (Tingkatan 5).
Abdulah Afeeq turut dinobat sebagai pendebat terbaik pertandingan akhir dan meraih tempat keempat dalam kedudukan pendebat terbaik keseluruhan.
Di peringkat suku akhir, SMIAAG menewaskan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang dan berjaya melangkah ke peringkat akhir setelah menewaskan Sekolah Dato Abdul Razak, Seremban.
Menyertai pertandingan IIUM IDC sejak 2005, pencapaian terbaik SMIAAG sebelum ini adalah berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir pada tahun 2006.
Pasukan debat Bahasa Melayu SMIAAG (kanan) bersama pasukan debat Bahasa Arab SMIH (kiri)
Sementara itu, sebuah lagi sekolah IKRAM MUSLEH iaitu Sekolah Menengah Islam Hidayah (SMIH), Johor Bahru berjaya meraih naib juara dalam kategori Bahasa Arab dalam pertandingan ini setelah tewas kepada Sekolah Menengah Agama Arab Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu di peringkat akhir.
Dalam debat Bahasa Inggeris, pasukan Kolej Yayasan Saad, Melaka menjadi juara menewaskan Sekolah Datuk Abdul Razak, Seremban.
Dalam pertandingan yang berlangsung pada 27-30 Julai bertemakan ‘Golden Ideas’, ini, para pendebat diharapkan agar mengangkat nilai idea dan pengetahuan di samping menyampaikan idea tersebut dengan tersusun dan mudah difahami.
Tahniah SMIAAG & SMIH! Semoga segala kemahiran yang dipelajari dan bakat yang ditonjolkan ini digunakan dengan penuh tanggungjawab untuk kebaikan masyarakat, negara dan ummah sejagat, insya-Allah.
Sumber: https://bit.ly/2vpum4C (SMIAAG) | https://fb.me/iiumidc/ (IIUM IDC)