Pertanyaan daripada seorang wanita muda itu membuat saya tersentak dan berfikir panjang kerana soalan dan kerisauan ini datangnya daripada seseorang yang saya anggap ’baik’. Namun ternyata pada pandangannya, dirinya tidak ’baik’.
Pasti ramai lagi wanita yang belum berkahwin mempunyai kerisauan sebegini kerana apabila kita membaca atau mendengar tentang perkahwinan, ungkapan seperti “pilih isteri yang baik untuk mendapat zuriat yang baik” dan “pilih isteri yang solehah agar nanti rumahtangga bahagia” seringkali kita dengar. Seolah-olah kesejahteraan hanya bergantung kepada mendapat seorang isteri yang ‘sempurna’.
Perkahwinan terbina di atas ikatan suci antara dua insan, lelaki dan wanita. Hakikatnya, rumahtangga yang sejahtera dan bahagia tidak hanya tertakluk kepada wanita sahaja, kerana suami dan isteri perlu memainkan peranannya dengan kasih sayang dan penuh rahmah.
Persoalan memperbaiki diri dan menjadi baik bukanlah kerana untuk mendapat suami atau isteri yang baik semata-mata. Tuntutan memperbaiki diri adalah tuntutan setiap individu Muslim sama ada lelaki atau wanita, bujang atau telah berkahwin.
Rasulullah SAW telah berpesan:
“Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik dari semalam.” (HR Bukhari & Muslim).
Inilah caranya untuk mendapat kebahagiaan.
Allah SWT menilai setiap usaha kita untuk menjadi orang yang lebih bertaqwa, bukan hasilnya.
“Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang beriman akan melihat pekerjaanmu itu..” (Surah At-Taubah: 105)
Tentang jodoh?
Setelah kita berusaha memperbaiki diri menjadi seorang yang lebih baik hanya kerana menyahut suruhan Allah SWT, maka berusahalah mencari jodoh yang baik dan serahkan urusan jodoh kita kepada Allah.
Milik kita hanya usaha, hasilnya adalah dalam ketetapan Allah SWT. Yakinlah apa yang Allah tetapkan adalah yang terbaik untuk kita. Allah mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita berbanding diri kita sendiri.
Bagaimana pula tentang cinta?
Cinta tidak terjadi dengan tiba-tiba, atau cinta pandang pertama “love at first sight”. Cinta yang kita dambakan untuk menjadi asas yang kukuh dalam pembinaan keluarga adalah cinta yang mendalam, deep loving. Cinta yang semakin bertambah setiap kali mengharungi kesusahan dan kepayahan bersama dalam rumahtangga.
Justeru persediaan menghadapi cinta dalam alam perkahwinan bukan hanya semasa senang bersama. Pastinya ujian semasa kepayahan akan melanda dan menggugah jiwa. Maka, tetaplah juga berusaha menjadi yang terbaik dan meletakkan tawakal kepada Allah.
“…Dan janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” (Surah Yusuf: 87)”.
Ditulis oleh: Pn Hjh Kamaliah Noordin
Penulis merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemantapan Kesejahteraan Ahli (JK PeKA).
Dapatkan lebih banyak info berkaitan dalam Rahmah Parenting