“Alhamdulillah dan setinggi kesyukuran atas kejayaan ini dan hanya dengan izin-Nya keinginan menjadi kenyataan dan semoga ada manfaat buat ummah,” kata Pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zaharah Sulaiman yang mengetuai kumpulan ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita IKRAM Kelantan berkata, kit multimedia ini dibangunkan bagi menyampaikan maklumat dan teknik ‘Belajar Menyusu Cara Mudah’.
“Kit ini mengandungi set modul pembentangan, buku panduan ‘Cara Mudah Mengajar Topik Penyusuan Susu Ibu’, anatomi payudara dan beg bagi menerangkan dengan lebih terperinci maksud dalam modul yang disertakan.
Dalam pada itu jelas beliau, kit ini dibangunkan atas rasa keinginan untuk berkongsi ilmu dan semangat kerjasama yang mendalam.
“Berbekalkan ilmu dan pengalaman, pasukan kami seramai 10 orang dari pelbagai pusat pengajian di Kampus Kesihatan dan Hospital USM berganding bahu menghasilkan kit ini.”
Menurutnya, kit ini telah dilancarkan pada bulan Ogos lalu di Kampus Kesihatan dan telah terjual lebih kurang 100 unit yang mana, kebanyakan pembeli kit ini adalah daripada Jabatan Kesihatan di seluruh Malaysia.
“Ia bagi memudahkan para pegawai perubatan atau jururawat menerangkan kaedah dan cara penyusuan kepada para ibu dan juga bakal ibu,” kata Zaharah yang mengikuti pameran International University Carnival on E-Learning (IUCEL) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Pertandingan ini bertujuan memperkenalkan amalan terbaik pembangunan, pengurusan dan pembudayaan e-pembelajaran selain mempromosi dan mengetengahkan kepakaran global dalam aplikasi, sistem dan teknologi pendidikan serta mengkomersilkan produk berkaitan e-pembelajaran melalui IUCEL 2017.
USM melalui Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik dan Pembangunan Pelajar (CDAE) telah menghantar sebanyak 11 penyertaan dan kesemua produk telah memenangi pingat iaitu satu emas, sembilan perak dan satu gangsa.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh telah menyempurnakan majlis perasmian IUCEL 2017 ini.