“Antara aktiviti yang dijalankan ialah ziarah mangsa banjir dan agihan pek banjir yang berupa pek coffee break, pampers dan cenderahati untuk kanak-kanak,” ujar i-Bantu Segamat mengenai aktiviti hari ketiga operasi i-Bantu di sana pada 27 Januari lalu.
Selain itu, turut diadakan Psychological First Aid (PFA) kepada mangsa banjir sebagai satu bentuk sokongan emosi ketika saat krisis seperti ini.
“Sukarelawan i-Bantu telah diberikan latihan ringkas oleh Dr Mariam Amaran, Pakar Psikiatri dari Hospital Segamat tentang bagaimana PFA boleh diberikan kepada mangsa banjir dengan cara yang betul.”
Dalam perkembangan berkaitan, i-Bantu Segamat bersama Team Infaq Jumaat menyampaikan pek agihan makanan minum petang ketika menziarahi dua penempatan banjir iaitu di Sekolah Kebangsaan Spang Loi yang menempatkan sekitar 300 orang daripada 65 buah keluarga dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Dewan Raya Kg Pudu untuk menziarahi hampir 30 orang mangsa banjir yang ditempatkan di situ.
“Kumpulan yang terdiri daripada orang-orang muda dalam skuad Sukarelawan i-Bantu yang masih kuat tenaga dan tangkas bekerja, ditugaskan membersih tiga buah rumah di sekitar Kg Berata dan Taman Tasek Kg Jawa.”
Mereka juga turut membantu kerja-kerja pembersihan di Dewan Raya Kg Berata dan kemudiannya menjalankan aktiviti agihan pek banjir di penempatan banjir yang masih dibuka di sekitar Gemereh.
“Walaupun hujan masih turun dengan lebatnya, namun demi rasa kasih dan prihatin kepada mereka yang sedang dilanda ujian, tugasan-tugasan yang dirancang dapat dilaksanakan.”
Pengalaman manis menyantuni dan berkhidmat kepada masyarakat akan sentiasa menjadi pemangkin untuk para sukarelawan i-Bantu IKRAM meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan tentang pelaksanaan kerja-kerja kesukarelawanan dengan lebih cekap dan berkesan.
Selain edaran pek makanan dan pembersihan, pihak i-Bantu turut merancang untuk mengadakan Free Market dengan kerjasama beberapa NGO lain bagi mengagihkan barangan keperluan percuma kepada mangsa-mangsa banjir di Kg Paya Lang, Batu Anam pada Jumaat ini.
Lagi info & foto: IKRAM Segamat