Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang berat peningkatan kes buli dalam kalangan kanak-kanak dan remaja akhir-akhir ini.
Perbuatan buli tidak harus dilihat dalam konteks pembuli-mangsa sahaja, tetapi perlu dilihat dalam skop yang lebih luas. Fenomena buli yang serius merupakan simptom-simptom satu kelompok generasi muda yang tercari-cari identiti dan jati diri.
Hal ini boleh merosakkan masa depan negara kerana mereka adalah generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara. Oleh itu, IKRAM mengalu-alukan usaha-usaha pelbagai pihak untuk menangani masalah ini.
Namun, IKRAM berpandangan, tindakan gantung sekolah selama setahun atau beberapa bulan ke atas pembuli seperti yang telah dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan akan hanya merugikan pelbagai pihak termasuk pelajar.
Hal ini adalah kerana pelajar terbabit masih muda dan penggantungan sekolah akan menjejaskan pembelajarannya dan seterusnya masa depan mereka. Besar kemungkinan pelajar akan berdendam dan akan berterusan dalam tingkah laku negatif.
Walau bagaimanapun, IKRAM menyokong penuh langkah-langkah dendaan dalam bentuk kerja-kerja khidmat sosial dilaksanakan sebagai langkah pengajaran dan didikan. Akan tetapi, ianya haruslah berjalan seiring dengan persekolahan mereka. Kerja-kerja khidmat sosial boleh dilaksanakan sebelum atau selepas waktu persekolahan.
IKRAM juga ingin menegaskan bahawa langkah pencegahan untuk membendung gejala ini daripada akar umbinya harus dilaksanakan dengan lebih intensif dan komprehensif.
IKRAM berpegang kepada hadis Rasulullah SAW bahawa semua anak dilahirkan suci. Maka, keadaan berleluasanya fenomena buli dalam kalangan kanak-kanak dan remaja masa kini, tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kepada mereka. Perkembangan sikap dan personaliti kanak-kanak banyak dipengaruhi oleh persekitaran, sama ada oleh orang penting seperti ibu bapa, ahli keluarga dan guru; atau persekitaran sosial, budaya dan amalan masyarakat.
Oleh itu, usaha yang lebih gigih perlu dibuat bagi meningkatkan pembinaan jati diri dan nilai mulia seperti sifat ihsan dan rahmah dalam diri mereka. Membimbing mereka daripada sudut spiritual adalah satu kemestian.
Masa lapang pelajar juga perlu disibukkan dengan aktiviti-aktiviti yang mereka minati dan memberi kepuasan kepada mereka. Ibu bapa juga harus melalui kursus dan sesi kaunseling untuk mendapat ilmu dan bimbingan bagaimana membantu proses pemulihan anak anak masing-masing.
Antara langkah-langkah yang boleh dilaksanakan ialah:
1. Melaksanakan waktu kerja fleksibel, pada masa yang sama mengekalkan produktiviti, seperti yang terlaksana di sesetengah negara Eropah. Ini akan membolehkan ibu bapa memberi perhatian dan menyantuni anak-anak mengikut keperluan.
2. Mewajibkan para ibu bapa menghadiri kursus-kursus keibubapaan kerana anak-anak pada abad ke-21 menghadapi pelbagai cabaran dalam membesar, dan mendidik mereka dengan baik adalah satu tanggungjawab yang kompleks.
3. Penerapan nilai dan pembinaan akhlak haruslah menjadi kandungan asas (core content) dalam kurikulum sekolah dan diberi perhatian sewajarnya oleh pihak pentadbir dan guru-guru.
4. Penglibatan para pelajar dalam aktiviti yang menarik minat mereka haruslah diperhebatkan dan diperluaskan kepada semua pelajar agar masa mereka sentiasa diisi dengan sesuatu yang memberikan kepuasan (satisfaction). Maka dengan itu, mereka tidak akan lagi tercari-cari perkara negatif untuk mendapat kepuasan seperti membuli.
5. Penonjolan keganasan, baik pada kaca TV atau dalam media haruslah dikurangkan. Kanak-kanak akan menganggap melalui keganasan, boleh mendapat perhatian dan sanjungan.
6. Masyarakat harus membudayakan kehidupan berakhlak serta media mempromosikannya supaya anak-anak membesar dalam suasana rahmah, lalu mereka menghayati (internalize) sifat ihsan, rahmah dan kasih sayang.
Dengan itu, IKRAM menyeru semua pihak, baik kerajaan, NGO, pihak sekolah dan guru serta para ibu bapa bersama-sama berusaha membanteras fenomena buli dalam kalangan generasi muda.
Profesor Dr Omar bin Yaakob
Pengerusi Jawatakuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)