“Cadangan tema seminar ini adalah bertepatan dengan usaha JAKESS yang ingin dicapai dalam perancangan strategik lima tahun akan datang iaitu menjadikan Mahkamah Syariah mahkamah yang mesra keluarga,” kata beliau dalam kunjungan hormat Wanita IKRAM ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) pada 17 Februari 2016 lalu.
Tambahnya lagi, ini bermakna tatacara kelolaan mahkamah perlu diubah supaya lebih mesra keluarga sesuai dengan isu-isu yang dikendalikan.
“Tujuan kunjungan ini adalah untuk mengenali dengan lebih dekat peranan dan perkembangan perjalanan Mahkamah Syariah Negeri Selangor,” demikian ujar Ketua Wanita IKRAM, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim yang turut dihadiri wakil Wanita IKRAM Selangor dan Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan dalam kunjungan tersebut.
Selain itu, Wanita IKRAM turut menawarkan sebagai NGO rakan Mahkamah Syariah dalam bentuk perkongsian strategik dan berbincang mengenai kertas cadangan seminar tersebut sekali gus menjemput YAA Ketua Hakim sebagai penelis utama dalam seminar yang bakal diadakan pada 26 Mac nanti.
Jelas Datin Paduka, usaha JAKESS menjadikan Mahkamah Syariah di Selangor sebagai mahkamah mesra keluarga menunjukkan bahawa institusi syariah yang membawa syiar Islam mempunyai pendekatan yang jauh lebih ke hadapan daripada tatacara kendalian mahkamah sivil masa kini.
“Langkah ini merupakan way forward untuk memartabatkan pelaksanaan syariah di Malaysia,” tambah beliau.
Sehubungan dengan itu, Wanita IKRAM akan terus menyokong usaha-usaha ini sehingga ianya menjadi realiti dan mengucapkan tahniah kepada JAKESS atas usaha-usaha yang dilakukan.
Sumber: Wanita IKRAM Malaysia