Bagi ramai penyokong gerakan Islam, fenomena ‘Arab Spring’ kini sudah kehilangan kesegarannya. Di Tunisia, parti En-Nahdah telah tidak berkuasa lagi. Di Libya, kemelut politik masih berterusan. Di Syria, rejim Bashar Assad yang zalim masih berkuasa. Di Mesir, rejim tentera As-Sisi semakin kejam dan zalim sementara ribuan penyokong gerakan Ikhwanul Muslimin telah dibunuh atau dipenjarakan.
Namun, seperkara yang tidak harus dilupai ialah fenomena ‘Arab Spring’ tersebut telah berlaku dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Kejatuhan rejim Ben Ali berlaku dengan mendadak dan dalam masa yang singkat sahaja, rejim Muammar Gaddafi dan rejim Mubarak jatuh tersungkur. Kemungkinan suasana berubah lagi dengan cara yang tidak disangka-sangka tetap wujud dan inilah yang akan dihuraikan dalam artikel yang ringkas ini.
Satu unsur utama yang menyumbang kepada revolusi ‘Arab Spring’ di negara-negara tersebut ialah keadaan ekonomi yang teruk, terutama dari aspek pengangguran. Di negara-negara di mana telah berlakunya revolusi, kadar pengangguran adalah sangat tinggi. Hasilnya, golongan belia yang berasa kecewa dengan keadaan mereka telah melepaskan kemarahan kepada pemerintah.
Keadaan menjadi lebih getir kerana proses demokrasi tidak wujud di negara-negara tersebut dan oleh itu, rakyat merasakan bahawa punca masalah mereka ialah kezaliman dan salah guna kuasa oleh pemimpin mereka. Apabila rasa ketidakpuasan memuncak, adalah sukar bagi pemerintah untuk menahan gelombang revolusi rakyat. Itulah intipati kepada fenomena ‘Arab Spring’.
Terkini, satu fenomena yang tidak disangka-sangka juga sedang berlaku, iaitu kejatuhan harga minyak yang mendadak ke bawah paras USD60 setong. Ini adalah paras yang paling rendah semenjak tahun 2009.[1]
Terdapat dua unsur utama yang menyumbang kepada keadaan ini.
Pertama ialah pertambahan bekalan ‘shale oil‘ (minyak dari dalam celah-celah batu batan) yang mendadak terutama sekali dari Amerika Syarikat.[2] Akibatnya, Amerika Syarikat telah pun mendahului Arabi Saudi dalam jumlah pengeluaran minyak. Pengeluaran minyak mentah Amerika Syarikat, termasuk cecair yang terpisah dari gas asli mendahului semua negara pada tahun ini dengan jumlah melebihi 11 juta tong pada suku tahun pertama dan hal ini, menurut IEA (International Energy Agency), menjadikannya negara pengeluar minyak dan gas asli terbesar di dunia.[3]
Sementara itu, negara-negara dari persatuan pengeluar minyak (OPEC) sangat bergantung kepada eksport minyak dan oleh itu, tidak merancang untuk mengurangkan kadar pengeluaran mereka yang berjumlah 30 juta tong sehari. Ini telah dinyatakan dengan jelas oleh menteri minyak Arab Saudi sejurus selepas mesyuarat OPEC di Vienna pada 27 November 2014.[4] Akibatnya, bekalan minyak dalam pasaran akan terus meningkat pada masa akan datang.
Jika permintaan dunia kepada minyak juga meningkat mendadak, kesan kepada harga minyak adalah minimum. Namun perkara ini tidak berlaku. Sebaliknya permintaan terhadap minyak telah menurun. Laporan IEA telah menyatakan bahawa ramalan pertumbuhan terhadap permintaan dunia kepada minyak terpaksa direndahkan sebanyak lebih daripada 230,000 tong sehari. Menurut IEA, hal ini disebabkan pertumbuhan ekonomi negara-negara di Eropah dan juga China besar kemungkinan akan menjadi perlahan dalam masa beberapa tahun akan datang.
Laporan MIER (Malaysian Institute Economic Research) turut menyatakan bahawa ekonomi Jepun sekarang dalam keadaan meleset apabila mengecut sebanyak 1.6 peratus pada suku ketiga tahun ini sementara kawasan dagangan Euro juga mengalami beberapa masalah termasuk pertumbuhan ekonomi yang sangat perlahan, kadar pengangguran yang tinggi serta hutang sektor awam yang juga tinggi.[5]
Menurut MIER lagi, pelaburan dan eksport yang lemah telah memaksa pihak IMF menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi kawasan Euro kepada hanya 0.8 peratus pada tahun 2014 dan 1.3 peratus pada tahun 2015. IMF juga telah menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi dunia kepada 3.3 peratus dan 3.8 peratus untuk tahun 2014 dan 2015.[6]
Kesan utama akibat daripada semua perkara di atas adalah kemungkinan berlakunya kemerosotan ekonomi yang serius dalam kalangan negara-negara yang bergantung kepada minyak sebagai pendapatan utama kerajaan. Antara negara-negara yang terlibat adalah Arab Saudi dan United Arab Emirates (UAE). Rajah di bawah menunjukkan bahawa dalam kes Arab Saudi, hampir 43 peratus daripada KNK negara disumbangkan oleh sektor minyak, sementara dalam kes UAE pula, ia adalah hampir 33 peratus. Ia bermakna kejatuhan harga minyak dan pengecilan sektor minyak dan gas akan banyak menjejaskan ekonomi negara tersebut.
Sumber: http://oilprice.com/Energy/Oil-Prices/Oil-Wars-Why-OPEC-Will-Win.html
Seperti yang diketahui umum, kedua-dua negara tersebut juga adalah penyokong utama kepada kerajaan haram di Mesir di bawah pimpinan Jeneral As-Sisi. Arab Saudi dan UAE dilaporkan merancang untuk memberi bantuan sebanyak USD20 bilion kepada rejim As-Sisi untuk memastikan gerakan Islam Ikwanul Muslimin dihapuskan sama sekali di sana.
Bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk deposit ke dalam sistem perbankan pusat Mesir untuk membantu menyekat matawang Mesir daripada menjunam serta pinjaman pada kadar bunga yang murah untuk membantu pelaburan dalam infrastruktur awam. Menteri luar UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed juga mengumumkan bahawa UAE akan membantu mencari rakan antarabangsa lain untuk membantu membina semula ekonomi Mesir yang telah ranap.[7]
Pada masa ini, masalah utama ekonomi negara Mesir ialah hutangnya kepada syarikat minyak antarabangsa berjumlah USD5.7 billion. Di samping itu, defisit belanjawan Mesir juga adalah serius iatu 14 peratus daripada KNK. [8]
Namun, dengan kejatuhan harga minyak yang menyebabkan kejatuhan dalam pendapatan Arab Saudi dan UAE, maka besar kemungkinan bantuan yang dijanjikan tidak akan dapat dilaksanakan. Oleh itu, kemungkinan besar ekonomi negara Mesir akan terus mengalami kemerosotan malahan lebih serius lagi pada masa akan datang dan kadar pengangguran mungkin akan meningkat dari tahap sekarang iaitu 13.1 peratus.
Pada masa ini, rakyat Mesir hidup dalam keadaan yang perit kerana bekalan eletrik yang sering kali terputus sehingga pernah menyebabkan perkhidmatan keretapi metro di bandaraya Kaherah terjejas.[9] Harga barangan juga telah melambung tinggi kerana kadar inflasi yang tinggi iaitu lebih dari 9 peratus pada bulan November 2014.[10] Keadaan kewangan kerajaan yang teruk telah memaksanya memotong subsidi dan ini telah mengakibatkan harga konsumer mendadak naik semenjak bulan Julai, ini termasuk harga minyak yang telah naik sebanyak 78 peratus.[11]
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kemarahan rakyat yang menggulingkan rejim Mubarak ialah keadaan ekonomi yang terlampau tenat. Jika keadaan ekonomi di Mesir terus merosot akibat daripada kejatuhan harga minyak yang menjejaskan bantuan yang sepatutunya diperolehi dari Arab Saudi dan UAE, maka kemungkinan berlaku revolusi rakyat sekali lagi dalam masa terdekat adalah tidak boleh disangkal sama sekali.
Di Malaysia pula, kerajaan sangat bergantung kepada pendapatan minyak. Bahkan hampir 32 peratus dari pendapatan kerajaan adalah dari sektor minyak dan gas. Kejatuhan harga minyak bermakna pendapatan negara akan merosot dengan mendadak pada tahun 2015. Oleh itu, besar kemungkinan perbelanjaan kerajaan terpaksa dikurangkan pada masa akan datang.
Kebimbangan tentang perkara inilah yang menjadi faktor utama kepada kejatuhan nilai matawang ringgit baru-baru ini di mana ramai pelabur dalam sektor kewangan merasakan ekonomi Malaysia akan merosot pada masa akan datang dan oleh itu telah membuat keputusan untuk menjual ringgit dan membeli matawang asing.
Kesan perkembangan di atas kepada suasana politik negara sukar diramalkan secara tepat. Namun, apa yang pasti ialah keadaan pendapatan rakyat kemungkinan besar akan menjadi lebih tenat dan pengangguran akan meningkat dalam beberapa sektor terutama sekali sektor minyak dan gas. Malangnya, kerajaan berkemungkinan besar tidak akan berupaya untuk membantu mengurangkan kesengsaraan rakyat tersebut.
Bahkan kerajaan akan terpaksa meneruskan rancangannya untuk melaksanakan GST, walaupun ia akan membuatkan kerajaan menjadi lebih tidak popular. Jika kewangan kerajaan terus merosot, kemungkinan kerajaan akan terpaksa merubah cara GST dilaksanakan iaitu sama ada dengan meningkatkan lagi kadar GST iaitu melebihi 6 peratus atau mengurangkan jumlah barangan yang dikecualikan daripada cukai GST.
Bagi memastikan defisit kerajaan tidak terus merosot, kerajaan juga terpaksa menjimatkan perbelanjaan dan oleh itu adalah tidak memeranjatkan jika kerajaan juga terpaksa memberhentikan skim BR1M atau mengurangkan bayaran akibat daripada suasana kewangan yang tidak kukuh. Ia disebabkan kos pembiayaan skim tersebut sebenarnya sangat tinggi iaitu hampir RM8.4 bilion jika sebanyak RM1,200 diberikan kepada setiap isi rumah yang layak menerimanya. Malangnya, menurut ramai penganalisis politik, BR1M adalah satu-satunya senjata politik kerajaan Barisan Nasional yang paling berkesan untuk mendapat undi rakyat, terutama sekali daripada kalangan pengundi luar bandar.
Sebagai rumusan kepada senario ekonomi di atas, cabaran bagi kerajaan sedia ada untuk mengekalkan sokongan rakyat kepadanya dalam pilihan raya umum akan datang adalah amat getir. Kita bakal melihat berlaku pertukaran kerajaan di merata-rata tempat, bukan sahaja di Malaysia, bahkan juga di Timur Tengah. Namun, kerajaan baru yang bakal dilantik nanti akan masih menghadapi suasana ekonomi yang amat mencabar. Pemimpin kerajaan baru nanti perlu menyiapkan strategi politik yang kemas dan rapi dari sekarang jika mereka ingin terus mendapat sokongan rakyat yang kemungkinan akan masih berada dalam keadaan yang sengsara.
[1] http://www.cnbc.com/id/102262608
[2] http://www.eia.gov/todayinenergy/detail.cfm?id=15351
[4] http://www.cnbc.com/id/102222286
[5] http://www.mier.org.my/outlook/
[6] ibid
[8] http://www.thenational.ae/thenationalconversation/comment/el-sisi-must-solve-multiple-economic-problems-if-egypt-is-to-bounce-back#ixzz3LmMuLmj1. Ini adalah jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan defisit belanjawan kerajaan Malaysia yang dianggarkan sebanyak 3% pada tahun 2015.
[9] http://www.thenational.ae/world/middle-east/egypt-power-cut-halts-trains-disrupts-tv-programming
[10] http://www.tradingeconomics.com/egypt/inflation-cpi
[11] ibid.