Setinggi-tinggi pujian dan kesyukuran kepada Allah s.w.t atas segala nikmatNya yang melimpah ruah, nikmat bulan Ramadan yang baru saja meninggalkan kita.
Semoga semua kita memperolehi keberkatannya, rahmat dan pengampunanNya serta jaminan pembebasan daripada api neraka, memperolehi ganjaran pahala yang akan membawa kita semua memenangi keredhaan dan syurganya di dunia dan di akhirat sana.
Semoga bulan Syawal yang menjelang tiba membawa kita ke satu lembaran baru, kekal menjalani kehidupan di bawah panji Islam dan santunannya, bimbingan Rasul yang mulia dan tunjuk ajarnya.
Semoga kita sentiasa sihat, cergas dan ceria, dapat menyambut kedatangan Hari Raya Puasa sebaik-baiknya, dilingkungi sanak saudara dan ipar duai, jauh dan dekat.
Di Malaysia, semua kita dapat menyambut kedatangan bulan Syawal dengan rasa gembira, dalam suasana yang aman sejahtera, membolehkan kita menziarahi keluarga, sanak saudara, sahabat handai, kenalan jauh dan dekat, bersama-sama menyambut kedatangan Hari Raya yang penuh keberkatan.
Gunakanlah kesempatan-kesempatan yang terbuka untuk kita memperkuatkan hubungan silaturrahim, hubungan persaudaraan sesama kita, ikatan perjuangan sesama ahli-ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia dan ke arah saudara-saudara kita seagama, hubungan persahabatan dan kejiranan sesama rakyat Malaysia.
Dalam masa yang sama kita, jangan lupa tanggungjawab kita membela nasib umat Islam di seluruh pelusuk dunia yang sedang berhadapan dengan cabaran-cabaran dan ujian-ujian kehidupan yang getir, masyarakat Islam di dunia Arab, Mesir, Syria, Palestin, Gaza secara khusus, Iraq, Somalia, Sudan, umat Islam Rohingya yang sedang menderita dan lain-lainnya.
Pergolakan mutakhir, serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza, Palestin menuntut semua kita berkongsi suka duka dengan mereka, ikut serta mendokong perjuangan mereka sekuat-kuatnya, agar mereka dapat membebaskan tanah air mereka pada akhirnya, hidup merdeka sebagai anggota umat Islam yang soleh, dihormati hak-haknya oleh dunia sejagat.
Kita sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat Islam dunia perlu memanfaatkan ruang dan masa yang masih terbuka untuk terus-menerus berusaha bersama-sama membangun umat yang terbaik, bersatu, maju dan kuat, dunia yang bertamadun di bawah naungan Islam yang makmur, penuh rahmat agar manusia sejagat memperolehi santunan kemanusiaan sejati, hasil daripada adunan tamadun Islam murni yang mewarnai perjalanan sejarah manusia dan dunia pada masa hadapan.
Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, saya meyeru semua ahli-ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia agar meneruskan azam, usaha-usaha untuk sama-sama meningkatkan amal ke arah memperbaiki kondisi umat, masyarakat dan negara ke satu tahap perkembangan dan kemajuan yang lebih baik, sejajar dengan kehendak syariah dan wawasan kita.
Dalam kesempatan ini juga, saya sekeluarga dan mewakili Pertubuhan IKRAM Malaysia ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli, keluarga anda dan umat Islam seluruhnya.
عيد سعيد، عيد مبارك على الجميع
Berhati-hatilah sewaktu memandu kenderaan ketika pulang ke kampung bersama keluarga, menziarahi sanak saudara, sahabat handai dan kenalan jauh dan dekat, juga semasa pulang semula ke tempat kediaman di bandar-bandar.
Sekian, semoga semua selamat pulang dan kembali. Selamat menyambut Aidilfitri.
Wassalamu alaikum warahmatullah wabarakatuh.
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia