IKRAMTeens dengan sukacitanya ingin mengumumkan berkenaan kempen Remaja Raikan Ramadhan (3R) yang sedang giat diadakan di seluruh Malaysia.
Kempen Remaja Raikan Ramadhan (3R) ini merupakan kempen tahunan IKRAMTeens bermula pada tahun 2010 yang lalu. Tujuan kempen 3R ini ialah untuk mengajak para remaja menghayati bulan Ramadhan sebagai bulan pesta amal, mengimarahkan masjid dan surau dengan aktiviti bermanfaat, mempertingkatkan semangat memberi manfaat (membuat amal kebajikan) kepada orang lain dan meningkatkan motivasi remaja dalam perjuangan di bulan Ramadhan. Tema kempen ini ialah “Ramadhan… Menyegarkan…”
Kempen 3R ini telah bermula pada 1 Sya’ban 1435 yang lalu. Berikut disenaraikan program yang dilaksanakan sepanjang kempen 3R:
- Ramadhan! Aku Datang (Semarak Ramadhan)
- Program Remaja Raikan Ramadhan (3R)
- Jom sahur (bersama anak yatim atau fakir miskin)
- Projek memberi makan berbuka puasa.
- Banner & poster 3R.
- Pertandingan video menggunakan aplikasi Instagram
serta pelbagai lagi aktiviti yang menarik yang boleh para remaja sertai. Sehingga ke hari ini, IKRAMTeens telah menjadualkan 47 buah program 3R di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Kesemua 47 program ini juga bakal mendapat sedikit peruntukan dari projek Rayuan Ramadhan anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).
IKRAMTeens menyeru dan mengajak para remaja untuk beramai-ramai menyertai semua aktiviti yang dianjurkan agar dapat memanfaatkan bulan Ramadhan ini sebagai bulan pesta ibadah dan bulan kebajikan.
IKRAMTeens juga membuka ruang kerjasama dengan mana-mana pihak untuk menganjurkan program ini bersama-sama pada masa hadapan. Sila layari laman sosial facebook IKRAMTeens (www.facebook.com/IKRAMTeens ) atau cari “IKRAMTeens” untuk mengetahui jadual terkini kempen 3R di seluruh Malaysia.
Di kesempatan ini, IKRAMTeens ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan, bulan keberkatan, bulan penuh rahmat, bulan yang dikurniakan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
“Ramadhan… Menyegarkan…”
Mohd Hafiz Abd Hamid
Pengarah IKRAMTeens Pusat
2 Julai 2014