Program yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Remaja (JKBR) IKRAM Pusat, Hj Shahrul Aman Mohd Saari (kanan) turut dihadiri Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dan Pengarah IKRAMTeens, Mohd Hafiz Abd Hamid.
PROCESS 2014 bertujuan mengumpulkan alumni peserta program PRODUCE iaitu bekas-bekas peserta program XREK, LEADERS, XPERT, XCELL, MHI dan ERAT daripada generasi pertama hingga generasi kesembilan.
Pelbagai pengisian dan acara menarik disajikan sepanjang tiga slot semasa PROCESS 2014 ini, antaranya persembahan ‘Sajak Rojak’ oleh Adik Iznina Ariffin yang berumur 12 tahun dari Sekolah MUSLEH Al-Amin Bangi dan persembahan yoyo daripada Thariq Nor Shahrin yang telah memenangi pertandingan yoyo peringkat kebangsaan baru-baru ini.
Turut diadakan adalah forum ‘Bagaimana PRODUCE Membentuk Aku’ dengan panelis terdiri daripada generasi satu, tiga dan enam.
Pada slot petang telah diadakan perkongsian mengenai IKRAM Siswa Nasional dan Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (GEMA) serta penganugerahan enam tokoh remaja untuk enam kategori iaitu kategori khas dakwah dan tarbiah, kategori sukan, kategori kesenian, kategori kokurikulum, kategori kepimpinan dan kategori akademik.
Peserta program turut dihiburkan dengan persembahan kumpulan SYMPHONi serta persembahan istimewa daripada kumpulan nasyid popular UNIC dan sesi kemuncak ucapan Presiden IKRAM Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad yang menyentuh peranan belia remaja serta menangani cabaran bagi membangunkan manusia untuk memakmurkan dunia.