“Tidak ada satu amalan yang paling dicintai Allah SWT daripada Bani Adam ketika Hari Raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan qurban.” (HR Muslim)
Sehubungan dengan itu, Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan rasminya melancarkan Qurban Kasih Ummah untuk kali yang ke-15 pada hari ini.
Indahnya ibadah qurban ini ialah Ummat Islam bukan sekadar melaksanakan ibadah kepada Allah SWT sebagai memenuhi tuntutan agama, bahkan ia juga adalah peluang untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan melalui agihan sembelihan haiwan qurban tersebut kepada mereka.
Pertubuhan IKRAM Malaysia melalui rakan-rakan NGO Pelaksananya akan mengurus dan mengedarkan daging-daging sembelihan tersebut kepada golongan yang lebih memerlukan di 16 buah negara termasuk Malaysia.
Negara-negara itu ialah Indonesia, Vietnam, Kemboja, Thailand, Filipina, Myanmar, Sri Lanka, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh, Palestin, Sudan, Iraq, Lubnan dan Syria.
Pada tahun ini, Syria dimasukkan dalam senarai negara penerima bantuan. Ia disatukan dalam kategori khusus qurban bersama Palestin. Semua maklum tentang kezaliman dan peperangan yang dipaksakan oleh rejim Bashar Assad kepada rakyatnya. Rakyat Syria amat memerlukan perhatian dan pertolongan daripada kita semua. Insya-Allah, pelaksanaan qurban di sana akan diuruskan oleh IKRAM for Syria (i4S).
Semua negara di atas merupakan Negara yang diuji Ummat Islamnya oleh Allah SWT dengan pelbagai musibah dan kepayahan seperti kemiskinan, penindasan kaum, pembersihan etnik, bencana alam, konflik, peperangan dan penjajahan tanahair. Semoga Allah SWT segera mengangkat kepayahan dan penderitaan daripada mereka, amin.
Jumlah haiwan qurban yang disasarkan pada tahun ini ialah 600 ekor. Kami amat berharap sasaran ini tercapai agar lebih banyak agihan daging sembelihan yang dapat kita sampaikan, insya-Allah. IKRAM menyeru rakyat Malaysia yang prihatin dan budiman untuk terus menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara Muslimin di dalam dan luar negara yang amat memerlukan pertolongan kita dengan menyertai Qurban Kasih Ummah 1434H anjuran IKRAM ini.
Kadar penyertaan ialah RM350 untuk satu bahagian lembu dan RM500 untuk satu bahagian kambing. Manakala kadar penyertaan khusus Syria dan Palestin ialah RM1,200 untuk satu bahagian lembu sahaja.
Sekretariat Qurban Kasih Ummah 1434H ingin memaklumkan program khas Ziarah Qurban ke Banda Aceh, Indonesia, Vietnam dan Thailand pada tahun ini. Dengan ziarah ini, diharapkan para peserta daripada Malaysia dapat melihat sendiri kepayahan dan realiti Ummat Islam luar negara yang serba kekurangan di samping mengikuti pelaksanaan qurban yang dilaksanakan oleh rakan-rakan NGO Pelaksana IKRAM di sana.
Ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua rakan institusi dan NGO Pelaksana Qurban Kasih Ummah 1433H tahun lalu. Mereka ialah Hidayah Centre Foundation, Raudhatus Sakinah, Majlis Ulama Rohingya dan Aqsa Syarif Berhad di dalam Malaysia.
Manakala Pos Kemanusiaan Peduli Ummah, Pondok Pesantren As-Salam, Child Development Forum, Humanitarian Assistance Society, Local Action Organization, Serendib Foundation for Relief and Development, The Quranic Foundation, An-Nahrain Foundation, Yayasan Pembangunan Umat Islam Kemboja, Mindanao True World Association, Human Charity for Relief and Development, Islamic Society of Jabalia, Madrasah Jamaiah Al-Anwar, ACT Phillipines dan Muslim Foundation for Culture & Development di luar negara.
Tanpa kerjasama dan pertolongan daripada mereka, projek yang sebesar ini mustahil dapat dilaksanakan dengan jayanya. Moga Allah SWT mengurniakan kebaikan yang banyak kepada mereka semua.
Akhir kata, sama-samalah kita menadah tangan bermunajat dan memohon doa kepada Allah SWT agar usaha mulia kita yang kecil ini mendapat pertolongan dan bimbingan-Nya.
Sekian. Terima kasih.
NAHAR BIN MD NOR
Pengarah
Qurban Kasih Ummah 1434H