Dalam kesibukan pelbagai gerakan Islam dengan pelbagai penekanan terhadap dakwah, tarbiah, siasah, ekonomi, sosial, perundangan atau lain-lain, kita diingatkan dengan erti dakwah.
Syeikh Dr Juma’ah Amin mengingatkan asal dakwah ialah kita mengajak manusia kepada Allah SWT, membantu mereka keluar dari kegelapan menuju kepada Nur yang terang benderang.
Dakwah mengajak mereka keluar dari kekufuran kepada Islam. Dakwah mengajak mereka keluar dari kehidupan jahiliah kepada kehidupan bersuluhkan ilmu dan kebenaran.
Dakwah dan tarbiah tidak boleh dipisahkan. Selepas kita berdakwah, mereka yang menerima dakwah akan kita bimbing supaya mereka juga menjadi pendakwah seperti kita. Proses bimbingan ini kita namakan tarbiah.
Mereka yang tidak selesa untuk ditarbiah tetap mulia di sisi kita. Mereka kita longgokkan sesama umat Islam lain, tentunya mereka bermanfaat untuk ummah mengikut kadar kemampuan mereka.
Kesibukan gerakan Islam melaksanakan tarbiah, diingatkan juga agar dakwah tidak boleh diabaikan. Ia adalah asas kepada Islam itu sendiri.
Lihatlah para anbia’, mereka ditugaskan untuk berdakwah. Di akhirat kelak ada Nabi yang dibelakangnya tanpa umat. Ada yang seorang sahaja. Ada yang dua. Malah ada yang ribuan dan ada yang lebih ramai. Setiap mereka dikira melaksanakan tugas dakwah.
Apakah kita tidak cemburu bila mendengar bilangan masyarakat Barat samada di Eropah mahupun di Amerika Syarikat, yang memeluk Islam semakin bertambah? Itu sebahagian nusrah (bantuan) Allah di sana.
Syeikh Dr Juma’ah Amin bertanya kepada kita semua, bagaimana suasana ini di Malaysia. Adakah kita umat Islam dan sesiapa sahaja yang bergelar pendakwah dari mana-mana gerakan Islam, berpuas hati dengan bilangan kemasukan bukan Islam kepada Islam?
Beliau seolah-olah ingin mencadangkan sesuatu, tetapi menggunakan bahasa bertanya. Soalan pertamanya sangat menusuk hati penulis.
Berapa ramai di kalangan kamu yang menguasai bahasa ibunda mereka? Kita dikira jahil apabila tidak menguasai bahasa orang yang kita nak ajak mereka kepada Islam (mad’u). Bagaimana kita nak memenangi pemikiran, jiwa, perasaan, kecenderungan mereka, kalau kita tidak menguasai bahasa mereka?
Penulis sendiri terfikir, bahawa penulis boleh dianggap sombong kerana penulis gagal menguasai bahasa bangsa Cina, India, Iban, Murut atau Kadazan. Kelemahan dan kekurangan ini antara yang menjadi tembok besar yang menghalang antara pendakwah dengan mad’unya.
Nafikanlah yang kita tidak sombong sebenarnya, tetapi dari kaca mata mereka, barangkali mereka memberontak, kami sanggup belajar bahasa kamu, kenapa kamu tak sudi belajar bahas kami.
Penulis merenung kata-kata tajam Sheikh Dr Juma’ah Amin dalam isu menguasai bahasa mad’u. Walau Syeikh Dr Juma’ah Amin tidak menjelaskan secara terperinci, tapi itulah yang bermain di kepala penulis selepas mendengar kata-katanya itu.
Syeikh Dr Juma’ah Amin menyebut perkara kedua pula, kenapa kita tidak menjadi hero dalam mengajak dan berdakwah orang lain kepada Islam? Sekali lagi beliau menggunakan teknik bertanya. Apakah kami menggauli mereka sehingga akhlak kamu menjadi sesuatu yang mereka kagumi dan menjadi sebutan dalam keluarga mereka?
Saya seolah-olah ingin menjerit, bahkan saya dan bangsa saya menjadi bahan ketawa mereka. Rasuah, dikaca mata mereka sebagai makanan orang melayu. Mungkin ada yang mengatakan mereka yang ajar penguatkuasa dan pegawai beruniform serta ahli politik Muslim, yang berkuasa, untuk menerima rasuah. Usah pertikai pemberi rasuah dulu, tanya kenapa pegawai Muslim itu menerima? Kita sepatutnya mengajar, Islam melarang mengutuk malah menghukum amalan rasuah.
Saya dan bangsa saya gagal menjadi qudwah dan contoh buat mereka. Perangai saya dan bangsa saya menjadikan Islam jijik di kaca mata mereka.
Saya pernah ditawarkan oleh teman perniagaan dari bangsa Cina dengan arak dan wanita. Saya menepis dengan sopan dan kasih sayang. Saya tunjukkan kopiah di kepala. Saya adalah Aji (Haji). Rakan perniagaan itu jawab: “Ayo! Ramai Aji yang gua antar pempuan mula banyak cantik, mereka main aje maa….”.
Saya dan bangsa saya gagal lagi menjadi qudwah dan contoh buat mereka. Perangai saya dan bangsa saya menjadikan Islam jijik di kaca mata mereka.
Teringat saya kata-kata Lee Kwan Yew satu masa dulu, setiap menteri di Malaysia ada harga tersendiri buat tauke-tauke untuk berurusan. Sampai hari ini, saya harap kenyataan itu tidak benar.
Ketika mereka menagih untuk sama-sama menghapuskan kemiskinan di kalangan mereka, hak kebebasan, perkongsian dalam beberapa perkara, semudah itu ditolak dan diabai oleh sesetengah pihak. Mereka merasakan kita adalah golongan yang mementingkan diri walau kita tidak berasa begitu.
Maka bertanyalah lagi Syeikh Dr Juma’ah Amin Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimun itu: Apakah perancangan kamu untuk kamu dekati mereka? Apakah langkah-langkah kajian secara terperinci (secara basirah) yang kamu lakukan?
Yang ini saya dapat mententeramkan sedikit diri saya. ABIM punyai ‘outreach’nya. Di luar sana ada Hijrah. PERKIM tentunya memerlukan suntikan baru. Bagi Pertubuhan IKRAM Malaysia, Hidayah Centre semakin rancak dan kena dirancakkan lagi.
Tiga soalan yang dikemukakan oleh Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimun dalam beberapa minit ketika mengiringi lawatannya telah membuka seribu cadangan untuk kita beramal.
Di Malaysia, bagi penulis, tarbiah sesama umat Islam dalam melahirkan barisan duat menjadi agenda utama, namun dakwah kepada non-Muslim adalah satu yang tidak boleh dipandang kecil. Membuat keputusan membiarkan mereka, mengeluarkan kenyataan menakutkan mereka atau mengasingkan mereka dalam arus perdana negara, adalah satu kesilapan besar.
Prof. Madya Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus
Ahli Dewan Perwakilan Nasional
Pertubuhan IKRAM Malaysia