Misi DERU 6 yang bertolak dari Taman Melawati pada jumaat malam lepas disertai 39 sukarelawan yang terdiri daripada ahli JIM dan IKRAM. Misi tersebut turut disertai ahli Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma) dan juga orang ramai yang bukan dari kalangan ahli JIM dan IKRAM.
Menurut ketua misi, Syed Zakaria, “Misi kali ini turut disertai oleh sukarelawan mahasiswa dari KARISMA dan juga orang ramai yang berminat untuk turut serta setelah mendapat maklumat melalui sebuah rancangan televisyen swasta.”
Menurut beliau juga, misi kali ini merupakan penghantaran teramai daripada siri misi DERU JIM-IKRAM Pusat.
“Kami bertolak dari Taman Melawati pada jam 11.30 malam dan tiba sekitar jam 6.15 pagi. Misi bantuan kali ini akan memberi fokus di kawasan Jitra,” tambahnya lagi.
Sementara itu, pasukan misi DERU 7 yang dianggotai 3 orang doktor dari IKRAM Health dan 35 sukarelawan mahasiswa Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) telah bertolah pada petang Sabtu lepas dan kumpulan misi ini lebih memfokuskan kerja-kerja pembersihan sebuah sekolah di Jitra.
Presiden IKRAM Health, Dr Saiful Azmi yang turut menyertai misi ini menyatakan bahawa pada tempoh ini, mangsa banjir lebih memerlukan sumbangan dalam bentuk kewangan.
“Usaha pembersihan di kawasan banjir telah banyak dilakukan oleh sukarelawan sebelum ini dan tidak banyak kerja pembersihan yang perlu dilakukan buat masa ini. Dalam tempoh ini, mereka lebih memerlukan bantuan kewangan untuk membina kembali kehidupan,” jelasnya.
Misi DERU JIM-IKRAM ini dilaksanakan khusus untuk membantu mangsa banjir di kawasan utara baru-baru ini. Misi ini dikelolakan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).