Antaranya sejak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin berkuat kuasa pada Rabu lalu 18 Mac, sektor awam dan swasta mengarahkan kakitangan mereka bekerja dari rumah.
Arahan itu dibuat sebagai salah satu langkah membendung penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan ini.
Tentunya, melakukan kerja pejabat di rumah sebahagian besarnya sesuatu yang amat mencabar bagi seorang isteri yang juga ibu dalam rumah tangga. Apa tidaknya, pelbagai dugaan sentiasa bertamu, dan ia perlu diatasi dengan sebijak yang mungkin.
Mungkin kedengaran amat menyeronokkan kepada sesetengah yang lain. Namun, terdapat beberapa tip yang boleh kita sama-sama ikuti agar segala tugasan kerja pejabat dapat dilaksanakan seperti biasa dari rumah.
1. Sediakan ruangan khas
Melakukan tugasan dengan adanya ruang tersendiri seperti meja dan kerusi. Selain itu, kemudahan yang diperlukan seperti komputer riba dan Internet perlulah disediakan.
Bilik tidur, dapur dan televisyen boleh menjadi penyebab segala kerja tergendala. Sebaik-baiknya sediakan ruang khas agar anda boleh fokus. Ruangan ini diperlukan agar tiada siapa yang menggangu waktu kerja anda apabila anda telah memulakan tugasan.
2. Buat senarai semak
Sebanyak mana kita cuba fokus terhadap kerja, pasti akan ada gangguan yang sukar dielakkan. Sebaik-baiknya, buat senarai kerja atau jadual yang perlu diselesaikan untuk hari itu termasuk tempoh yang diperlukan. Cara ini sebenarnya sangat membantu agar anda tahu apa perlu dilakukan meskipun ada gangguan lain.
3. Menyelesaikan tugasan yang hakiki
Sebagai contoh menyiapkan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan membasuh pakaian. ini dilakukan agar anda akan rasa lebih tenang melaksanakan tugasan.
4. Tentukan batasan antara peribadi dan kerja
Perkara paling penting ketika bekerja dari rumah adalah mengetahui batasan antara kehidupan peribadi dan pejabat kerana ia boleh mengelirukan anda.
5. Kenali potensi gangguan di rumah
Tentunya cabaran bekerja dari rumah berbeza bagi setiap orang. Hanya diri anda sendiri yang mampu mengenali apa yang boleh membuatkan anda bersemangat dan sebaliknya.
Boleh jadi, sesetengah orang merasakan dengan adanya secawan kopi di sisi boleh membantu untuk dirinya fokus dengan lebih baik dan ada pula merasakan ia sebaliknya.
6. Memaklumkan kepada keluarga di rumah
Tentunya kelonggaran bekerja dari rumah bukan peluang untuk membuat kerja dengan sambil lewa! Pemahaman ini juga seharusnya disampaikan kepada suami, anak-anak juga ahli keluarga lain yang turut tinggal bersama.
Ia perlu dijelaskan terutamanya kepada anak-anak kerana apabila mereka melihat anda di rumah, biasanya mereka akan menyangka anda tidak bekerja. Maka, untuk mengelakkan kerja anda terjejas, jelaskan kepada mereka agar tidak menggangu anda supaya boleh fokus terhadap kerja.
7. Berehat
Jika bekerja di pejabat pun ada waktu rehatnya, begitu juga bekerja dari rumah. Anda berhak berehat untuk makan, solat atau tidur seketika. Ini akan memberi anda kesegaran sebelum meneruskan kembali kerja yang belum terlaksana.
8. Kerja adalah amanah
Jika kita telah menyempurnakan tugasan yang disenaraikan dan cukup waktu bekerja, kita berhak untuk menjalani kehidupan normal seperti hari kebiasaan lainnya.
Kerja adalah amanah dan lakukan sebaiknya meskipun anda tidak ke pejabat. Pada masa yang sama, lakukan rutin biasa anda seperti membaca, bermain bersama anak, memasak dan sebagainya.
Bekerja dari rumah sesungguhnya mencabar terutama bagi seorang wanita kerana ada ahli keluarga yang perllu dijaga. Walaupun ia sememangnya mencabar dan memenatkan, namun pastinya pejuang di hadapan memerangi COVID-19 ini lebih-lebih lagi mencabar.
Semoga Allah memelihara keikhlasan perjuangan kita semua.
#dudukrumah
#jaga kesihatan