Umumnya, ramai daripada kita terlepas pandang betapa tinggi dan besarnya jasa seorang bapa. Tidak hairanlah ada yang menganggap Hari Bapa tidak sepenting Hari Ibu.
Dalam soal mendidik anak, bapa selalu dianggap sebagai orang kedua berbanding ibu. Hakikatnya, peranan dan tanggungjawab bapa sama pentingnya dengan ibu. Tiada yang terkecuali dalam memberi perhatian kepada tumbesaran anak, baik dari sudut jasmani, rohani mahupun sahsiah.
Bapa adalah antara individu paling penting dalam kehidupan kita. Justeru, sambutan Hari Bapa pada Ahad ketiga bulan Jun setiap tahun adalah sangat signifikan untuk diraikan. Sambutan Hari Bapa ini wajar dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menghargai jasa dan pengorbanan golongan bapa.
Walaupun kita tahu bahawa tanda syukur bukan hanya dilahirkan khusus pada hari ini sahaja bahkan sepatutnya dilakukan sepanjang hidup kita, namun sekurang-kurangnya kewujudan sambutan ini dapat mengiktiraf besarnya peranan bapa dalam memastikan keutuhan dan kesejahteraan sesebuah keluarga.
Apakah hari ini hanya ditujukan kepada anak-anak untuk meraikan bapa mereka sebagai tanda syukur kepada insan yang membesarkan dan melindungi mereka sahaja?
Lebih daripada itu, para bapa sepatutnya dapat menjadikan detik ini untuk bermuhasabah sejauh mana mereka telah menjalankan tanggungjawab sebagai bapa.
Seorang lelaki mempunyai peranan yang penting dan paling utama dalam institusi kekeluargaan terutama dalam memimpin serta membimbing ahli keluarganya ke jalan yang diredai Allah SWT.
Mereka merupakan ketua dalam keluarga yang bertanggungjawab menyediakan keperluan keluarga, nafkah, kasih sayang, perlindungan, pendidikan dan bimbingan yang secukupnya kepada ahli keluarganya agar mereka menjadi orang-orang Mukmin yang bertakwa serta hidup bahagia lagi sempurna di dunia dan akhirat.
Keadaan ini tidak akan dapat dicapai melainkan mereka itu sendiri terlebih dahulu mendalami dan mengamalkan ajaran Islam kerana kepimpinan dan ikutan yang berkesan itu adalah melalui contoh dan teladan.
Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisaa’ ayat 34 yang bermaksud:
“Laki-laki adalah pemimpin terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan laki-laki dengan beberapa keistimewaan atas kaum perempuan, dan juga kerana laki-laki memberi nafkah daripada harta mereka.”
Peranan seorang lelaki yang paling utama adalah sebagai pelindung keluarga. Tanggungjawab mereka sebagai bapa harus mampu melindungi anak-anaknya daripada bahaya yang ada di dunia luar.
Ia tidak hanya dalam bentuk fizikal, bahkan termasuk ancaman secara dalam talian, bahan media yang ditonton, jenis kawan yang dipilih dan semua bentuk bahaya yang mengganggu ketenteraman dan keharmonian keluarga.
Keluarga sejahtera yang terbentuk adalah hasil daripada peranan seorang bapa sebagai ketua keluarga. Menurut Islam, bapa ialah ketua yang bertanggungjawab memimpin keluarga dan menjadi contoh kepada isteri dan anak-anak.
Justeru, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa peranan bapa memang sangat penting dalam pendidikan anak-anak, membangunkan keluarga harmoni dan menjamin keutuhannya.
Pentingnya peranan seorang bapa
Seorang pakar sosiologi, Dr. David Popenoe dalam kajiannya mengatakan bahawa seorang bapa bukan sekadar orang dewasa di dalam sebuah rumah, malahan bapa memberikan impak yang besar kepada keperibadian seorang anak.
Secara fitrahnya, seorang anak akan rapat dengan ibu mereka kerana hubungan istimewa ini sememangnya telah wujud sejak bayi dalam kandungan ibunya lagi. Namun, seorang bapa sebenarnya memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam perkembangan seseorang anak.
Memikul tanggungjawab dan peranan sebagai seorang bapa memang normal dan tidak kekok bagi sesetengah lelaki untuk melakukannya walaupun sentiasa sibuk dengan tugasan di luar rumah.
Bagaimanapun, tidak semua bapa melaksanakan tanggungjawab mereka dan ramai antara mereka hanya melepaskan tanggungjawab mendidik kepada ibu semata-mata.
Jika semua bapa tahu akan pentingnya mereka berperanan dan manfaat yang bakal didapati oleh anak yang rapat dengan bapanya, sudah tentu para bapa memastikan mereka meluangkan masa yang cukup bersama anak-anak mereka.
Beberapa dapatan yang menunjukkan pentingnya peranan bapa dalam keluarga membuktikan bahawa keluarga tanpa didikan bapa akan menyumbang banyak gejala sosial dalam masyarakat.
1. Pentingnya bapa untuk pertumbuhan sihat anak-anak
Sebuah kajian oleh Father Involvement Research Alliance menunjukkan bahawa bayi yang mempunyai hubungan yang rapat dengan bapa sejak kecil memiliki sifat lebih yakin, emosi yang stabil dan berani meneroka persekitaran mereka.
Apabila meningkat usia tiga tahun, mereka juga lebih bijak bersosial, mudah menyelesaikan masalah dan memiliki kecerdasan intelektual (IQ) yang lebih tinggi.
Dari aspek membesarkan anak-anak, peranan bapa amat penting sejak dari awal usia kehamilan ibu lagi. Ia bukan sahaja bertujuan untuk meringankan bebanan isteri tetapi juga memberikan banyak kelebihan kepada bapa dan anak itu sendiri.
Alio dan rakan-rakan dalam kajian mereka menyatakan penglibatan bapa sejak dari detik kehamilan ibu telah terbukti dapat mengurangkan kelahiran pramatang dan kematian.
Erlandsson pula membandingkan penjagaan (kulit-ke-kulit bapa) (bayi yang disentuh secara langsung oleh bapanya) dengan penjagaan konvensional bayi yang diletakkan di katil bayi.
Kajian ini mendapati bahawa pada dua jam pertama selepas kelahiran, bayi-bayi yang baru lahir dalam kumpulan (kulit-ke-kulit bapa) (pertama) kurang menangis, tenang dan aktif menghisap susu.
Peranan suami juga penting dalam memberikan sokongan kepada ibu untuk menyusukan anak. Banyak hospital di dalam dan luar negara telah mengadakan program yang mendidik bakal bapa untuk turut sama menjaga bayi yang baru lahir.
Yogman dalam kajiannya menyatakan bahawa setelah bayi lahir, bapa sebenarnya lebih cenderung menjadi teman bermain bayi daripada ibu, dan permainan bapa cenderung lebih merangsang, bertenaga dan membangkitkan semangat untuk bayi.
Kajian oleh Raeburn pula menunjukkan bahawa interaksi dengan bapa boleh mendorong anak-anak itu lebih berani mencuba perkara baharu dan melakukan eksplorasi serta mampu berdikari, manakala interaksi dengan ibu memberikan keselamatan dan keseimbangan.
Dari segi pertuturan dan percakapan anak, Yogman menjelaskan yang ibu selalunya menggunakan perbendaharaan kata yang sudah diketahui anak, sedangkan bapa cenderung memperkenalkan kata-kata yang baharu.
2. Keputusan akademik anak lebih baik
Kajian-kajian di atas menunjukkan bahawa anak-anak yang rapat dengan bapa sejak kecil dapat membesar dengan sempurna, cenderung menjadi yakin dan berani serta mempunyai IQ yang lebih tinggi.
Sehubungan itu, dapat dibuktikan bahawa bapa yang memainkan peranan penting dalam perkembangan anak mereka sejak kecil serta terus memberikan perhatian kepada pendidikan akademik anak-anak turut menyumbang kepada kebolehan akademik mereka di sekolah.
Kerjasama kedua-dua ibu dan bapa dalam pembelajaran anak-anak mereka adalah penting kerana karakter bapa yang berbeza tentu dapat mencipta corak pembelajaran yang berbeza berbanding ibu.
3. Kurang masalah tingkah laku
Beberapa kajian lain juga mendapati anak yang dididik dengan sempurna oleh bapa mempunyai kurang masalah di sekolah dan apabila meningkat dewasa.
Seorang bapa mendisiplinkan anaknya dengan cara yang berbeza. Perbezaan memang perlu dalam beberapa perkara. Berbeza dengan ibu bukan bermakna tidak bersetuju dengan cara didikan ibu, tetapi ia sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain.
Menurut Psychology Today, peranan bapa dapat dilihat sangat signifikan dalam bermain bersama bayi. Melalui permainan inilah bayi banyak belajar untuk bersosial dan memupuk kestabilan emosi yang baik.
Hal ini terbukti apabila kajian mendapati anak yang rapat dengan bapa kurang mengalami masalah disiplin dan tidak terganggu dengan kemurungan.
Variasi pada suara, riak wajah serta cara berkomunikasi ibu dan bapa akan mempelbagaikan lagi kebolehan anak-anak mereka untuk memahami emosi dan tingkah laku.
Boyce dan rakan-rakan dalam kajian mereka mendapati sekiranya bapa banyak terlibat dalam merawat, bermain dan berkomunikasi dengan bayi, anak-anak tersebut mengalami penurunan simptom kesihatan mental pada usia sembilan tahun.
Jia dan rakan-rakan pula menyatakan bahawa penglibatan bapa dalam permainan lasak dan permainan kanak-kanak prasekolah bersama anak-anaknya dapat menurunkan masalah tingkah laku luaran dan dalaman serta meningkatkan kompetensi sosial mereka.
4. Anak perempuan menjadi bijak menilai lelaki
Anak perempuan yang rapat dengan bapa mereka lebih berpotensi untuk memiliki hubungan yang sihat dengan kaum lelaki apabila mereka meningkat remaja dan dewasa kerana mereka memahami bagaimana seorang lelaki harus melayani seorang wanita. Dengan meluangkan masa bersama bapa, anak dapat mengenal pasti ciri seorang lelaki yang baik dan seharusnya dijadikan teman hidup.
Kajian juga menunjukkan bahawa anak perempuan yang rapat dengan ayahnya berjaya memiliki perkahwinan yang harmoni dan bertahan buat jangka masa panjang. Mereka ini tidak mudah “tertipu” dan mampu membezakan sifat lelaki yang baik dan sebaliknya.
Sebuah lagi pemerhatian mendapati mereka yang sering berinteraksi dengan bapa kurang kebarangkalian untuk terlibat dengan kehamilan remaja. Mereka tidak senang-senang dipujuk rayu oleh lelaki kerana hati mereka telah dilimpahi kasih sayang seorang lelaki bernama bapa.
5. Role model kepada anak lelaki
Bagi kalangan anak lelaki pula, bapa adalah role model mereka. Pelbagai kemahiran dapat dipelajari daripada bapa mereka melalui aktiviti bersama.
Malah mereka dapat mencontohi cara gentleman yang ditunjukkan oleh si bapa yang prihatin semasa melayani ibu mereka. Dari sinilah mereka faham bahawa sifat kelelakian bukanlah ditunjukkan sekadar dengan kekuatan fizikal semata-mata.
Sebagai ketua keluarga juga, bapa banyak mempengaruhi anak lelakinya bahawa keadilan, ketegasan dan tanggungjawab mesti dijalankan dalam keadaan penuh kasih sayang.
Pepatah Arab, “Al-waladu sirru abiihi” yang bermaksud bahawa “Seorang anak itu adalah bayangan bapanya” juga menyatakan betapa pentingnya peranan bapa dalam memimpin dan mencorak keperibadian anak-anak.
Justeru, tidak dapat disangkal lagi bahawa peranan bapa sangat penting dalam membangunkan sebuah keluarga yang sejahtera. Peranan bapa ialah memberikan contoh terbaik kepada anak-anak. Cara bapa makan, berpakaian dan mencari rezeki sebenarnya akan dicontohi oleh anak-anak.
Tanpa bapa atau jika bapa mengabaikan peranannya, anak-anak tiada rujukan dan panduan. Akibatnya tempanglah sebuah keluarga dan longgarlah sebuah institusi.
Realiti masyarakat kini
Masalah sosial yang melanda anak-anak dan remaja masa kini semakin hebat dan mencabar selaras dengan perubahan zaman pada era globalisasi serta modenisasi.
Dalam meniti arus kemodenan ini, kita sering kali digemparkan dengan berita perlakuan jenayah dalam negara. Keadaan sebegini berada pada tahap yang amat membimbangkan lagi menyedihkan.
Setiap hari media memaparkan pelbagai berita seperti insiden buli, pergaduhan, pembunuhan, pencabulan, anak lari dari rumah, perbuatan zina dan bermacam-macam lagi.
Keterlibatan anak-anak remaja di Malaysia dalam aktiviti yang meruntuhkan akhlak seperti pergaulan bebas yang mendorong kepada perbuatan zina adalah satu perkara yang sangat merisaukan.
Antaranya, terdapat kes seorang remaja lelaki yang bertindak membunuh dan membakar teman wanitanya yang hamil empat bulan di sebuah kebun kelapa sawit.
Mangsa yang baru berusia 21 tahun itu dilaporkan dibunuh oleh teman lelakinya yang berusia 20 tahun yang mahu merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan sulit bersama mangsa.
Perbuatan zina tersebut telah membawa kepada berlakunya jenayah pembunuhan. Hal ini sangat bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Israa’ ayat 32 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
Seharusnya, keluargalah yang mencorakkan persekitaran kehidupan anak-anak. Kepincangan keluarga adalah faktor terbesar yang menyumbang kepada peningkatan masalah akhlak anak-anak.
Salah satu faktor penyebab tingkah laku anak-anak yang bermasalah ialah ikatan dan kawalan ibu bapa yang lemah dan ketidaksejahteraan keluarga tersebut. Dalam hal ini, peranan bapa amat penting dalam memastikan isu gejala sosial anak-anak dapat dielakkan.
Tidak dinafikan juga bahawa peranan bapa kini amat mencabar terutama sekali dengan ledakan teknologi maklumat yang banyak mempengaruhi masa dan pendekatan dalam mendidik anak-anak.
Hal ini kerana penyebaran maklumat dan penggunaan peranti teknologi dalam kalangan anak-anak amat canggih terutamanya dalam penggunaan aplikasi media sosial yang menjadikan anak-anak sibuk dengan telefon bimbit, komputer, televisyen dan sebagainya.
Hal ini menyebabkan hubungan mesra antara ahli keluarga menjadi renggang. Beberapa cara yang boleh dilakukan oleh bapa dalam memastikan hubungan kekeluargaan kekal sejahtera adalah dengan mengamalkan aktiviti bersama keluarga seperti solat berjemaah, membaca al-Quran atau membersihkan rumah bersama-sama.
Kebiasaan adat masyarakat meletakkan tanggungjawab kepada ibu untuk berkomunikasi atau bercakap sesuatu kepada anak kerana sifat mereka lebih halus dan lembut.
Namun al-Quran menunjukkan sebaliknya untuk menyatakan pentingnya bapa berkomunikasi dengan anak-anak seperti dialog antara Nabi Yaakub, Nabi Ibrahim dan Luqman bersama anak-anak mereka.
Oleh itu, setelah mengetahui pelbagai kelebihan dan pentingnya peranan seorang bapa terhadap tingkah laku dan juga kemenjadian anak-anak, maka bapa perlu mencuba untuk lebih rapat lagi dengan anak-anak.
Luangkanlah masa berkualiti bersama mereka walaupun sentiasa dalam kesibukan bekerja. Ada banyak cara yang boleh dilakukan untuk turut serta dalam menguruskan anak dan melibatkan diri dalam aktiviti harian mereka.
Adakala Allah menguji kita dengan anak yang bermasalah walaupun ibu dan bapa telah melaksanakan tanggungjawab mereka mendidik anak-anak dengan sebaik mungkin dan penuh kasih sayang.
Sesungguhnya Allah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki dan kita hanya mampu berdoa dan melaksanakan tanggungjawab dan amanat yang diberi.
Lebih malang lagi sekiranya isu sosial anak-anak yang tidak sihat ini disebabkan oleh pengabaian tanggungjawab ibu bapa itu sendiri.
Adakalanya bapa mengabaikan terus anak-anak mereka dari kecil, ditinggalkan dalam jagaan ibu atau orang lain. Selalunya hal seperti ini berlaku apabila terjadi perceraian dan bapa pula berkahwin lain.
Namun perlu diingatkan bahawa tanggungjawab mendidik anak tidak berakhir bagi ibu dan bapa apabila terputusnya hubungan perkahwinan suami isteri.
Kedua-dua ibu bapa bertanggungjawab mendidik dan memberi kasih sayang kepada anak-anak supaya mereka tidak terlalu terkesan dengan perubahan struktur keluarga ini. Bagi bapa, tanggungjawab memberi nafkah dan keperluan anak-anak masih perlu diteruskan.
Bapa pemimpin keluarga
Secara kesimpulannya, hasrat untuk melahirkan generasi yang hebat dan berakhlak mulia yang akan mencorakkan negara yang diidamkan mestilah bermula daripada peranan seorang bapa sebagai pemimpin keluarga.
Seorang bapa mestilah sentiasa menjadi yang terbaik buat anak-anak kerana sesungguhnya anak-anak anda tidak mempunyai sesiapa selain seorang bapa yang bertanggungjawab untuk mendidik peribadi mereka.
Bersama-samalah kita memperbaiki diri supaya menjadi ketua keluarga yang boleh dicontohi dan dibanggakan oleh anak-anak.
Seperti kata pepatah, “kasih ibu membawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa”, maka jadilah kita sebagai seorang bapa yang akan sentiasa diingati oleh anak-anak sepanjang hidup mereka walaupun kita sudah tiada di dunia ini.
Dengan itu, bapa bukanlah sekadar di pinggiran sahaja dalam keluarga tetapi peranannya amat diperlukan dan merupakan aset yang penting dalam pembangunan dan kemajuan keluarganya.
Selamat Hari Bapa kepada semua para bapa.
#TerimaKasihAyah
Dr Sabariah Baharun
Ahli Jawatankuasa Pusat
Ahli Kumpulan Fokus Institusi Keluarga Utuh
Pertubuhan IKRAM Malaysia