Program dimulakan dengan slot ‘Game’ yang dikendalikan oleh Abang Deen. Tujuan slot ini adalah untuk merapatkan lagi ukhwah dan ‘kejeleketan’ antara fasilitator dan peserta di samping menyegarkan pagi 17 Ramadhan itu. Pelbagai jenis permainan yang menguji minda dan menghiburkan tidak ketinggalan simulasi-simulasi lagu yang memuhasabahkan dan membangkitkan semangat peserta.
Kemudian, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan memulakan sesi Halaqah Al-Quran. Surah Al-Kahfi menjadi pilihan program kali ini yang bertepatan dengan ‘Remaja Raikan Ramadhan’ yang menyampaikan mesej semangat pemuda Kahfi yang beriman. Selepas membaca ayat-ayat surah itu di dalam kumpulan secara bergilir-gilir mengikut tatatertib tajwidnya, para fasilitator kemudiannya merungkai ayat-ayat itu kepada ahli kumpulan dan memuhasabah kembali perjuangan Pemuda Kahfi dalam memelihara aqidah mereka.
Seusai Halaqah, program diserikan lagi dengan kehadiran Imam Muda Asyraf di dalam slot Ibrah Pemuda Kahfi, pelbagai input yang disampaikan dari panduan Ramadhan, Lailatul Qadr, sehinggalah terungkai semula Ibrah pemuda Kahfi sambungan muhasabah dari sesi halaqah tadi. Para peserta amat teruja dan khusyuk mendengar slot yang disampaikan. Sesi Halaqah Quran diteruskan lagi sehabis slot bersama Imam Muda Asyraf disusuli dengan solat Zohor.
Selepas itu peserta diberi masa tidur selama 30 minit untuk merehatkan badan. Program diteruskan lagi dengan aktiviti membuat kad raya. Apa yang istimewanya slot ini, kad raya yang dibuat oleh para peserta akan diberikan ke rumah anak-anak yatim. Semua peserta membuat kad-kad tersebut dengan penuh kreativiti dan kesungguhan. Setiap kumpulan membuat kad ditujukan kepada setiap anak yatim di rumah tersebut, pelbagai kata-kata motivasi dan ucapan yang ditulis mengikut kreativiti masing-masing.
Seusai Solat Asar, para peserta diberi peluang untuk keluar ke bandar bagi sesi ‘Jalan-jalan Cari Jawapan’. Slot ini amat mencabar para peserta lantaran mereka perlu melakukan ‘survey’ dan temuramah di sekitar Bangsar mengenai Ramadhan. Pelbagai telatah manusia dan pelbagai jenis bangsa yang mereka temui lantaran itu pelbagailah jua jenis jawapan dan pemahaman sesuatu individu mengenai Ramadhan. Sesi ‘Jalan-jalan Cari Jawapan’ itu dianggarkan selesai pada pukul 6.30 petang dan para peserta kembali ke Masjid Saidina Abu Bakar untuk membersihkan diri dan berbuka puasa.
Selepas selesainya Solat Terawih, slot diteruskan lagi dengan perkongsian Dr Hafidizi mengenai Palestin. Beliau berkongsi mengenai penderitaan rakyat Palestin dan kekejaman Israel. Begitu banyak video dan gambar yang ditayangkan dari Gua Pemuda Kahfi,sampailah ke gambar-gambar lokasi di Palestin yang ditawan Israel. Slot ini amat memberi muhasabah untuk peserta yang diakhiri dengan deraian airmata dan azam baru untuk sama-sama membebaskan Palestin.
Hari terakhir pada pagi Ahad 5 Ogos, para peserta telah ber-‘explorace’ di sekitar masjid untuk sesi ‘Kantong Bocor’. Para peserta hendaklah menjawab soalan yang diajukan oleh fasi dengan tepat. Soalan-soalan adalah berkaitan dengan Ramadhan dan perkongsian dari Imam Muda Asyraf dan Dr Hafidzi. Sekiranya mereka gagal menjawab dengan tepat, kantong yang berisi air yang dipegang peserta akan dicucuk para fasi dengan jarum dan air di dalam kantong itu akan berkurangan, sekiranya mereka menjawab dengan betul, air di dalam kantung itu akan ditambah. Para peserta amat bersungguh-sungguh menjawab soalan-soalan tersebut demi meminimakan kebocoran kantong amanah mereka.
Slot terakhir adalah slot bersama Bro Sham Kamikaze dan Fatimah Syarha dan dikendalikan oleh moderator Syazman Che Ramly. Slot yang bertajuk ‘Apa itu Cinta’ ini amat menarik perhatian peserta. Puan Fatimah merungkai persoalan cinta remaja satu persatu diiringi dengan perkongsian pengalaman hidup Bro Sham ketika zaman remajanya. Remaja difahamkan bahawa perkahwinan adalah suatu tanggungjawab dan ibadah dan cinta sejati hanyalah kepada Allah.
Majlis perasmian penutup 3R disempurnakan oleh Pengerusi Masjid Saidina Abu Bakar, Dato’ Hj Nik Farid Md Kamil yang dihadiri dua AJK IKRAM Pusat, Hj Nahar Md Nor dan Shahrul Aman Shaari. Pelbagai kenangan manis telah dicipta, pelbagai input telah diisi dan diterima. Pelbagai respon positif yang diterima dari program ini. Program ini telah membuktikan bahawa Ramadhan adalah platform ibadah yang memberi semangat dan kekuatan dan dengan ibadah remaja jua mampu menjadikan Ramadhan sesuatu yang ‘Best’ dan menyegarkan.
Program 3R ini merupakan salah satu daripada aktiviti kempen Remaja Raikan Ramadhan (K3R) yang dianjurkan oleh IKRAMTeens bermula 1 Sya’ban 1433H yang lalu. Lebih 60 program 3R telah diadakan di seluruh Malaysia termasuk Sarawak, 5 program Jom Sahur, 260 tweets Ramadhan melibatkan penyertaan lebih 3500 remaja. Tahniah IKRAMTeens!