Awal majlis, ayat suci al-Quran surah an-Nahl, ayat 88-93 telah dibacakan oleh Mohd Mustaqim Abdul Jalil sebelum nyanyian lagu IKRAM oleh semua yang hadir. Pengarah 3MIT merangkap Pengerusi JK Masyarakat Madani Negeri, Fakhrul Anuar Mohd Zulkawi memberikan ucapan penghargaan diikuti dengan ucapan aluan oleh Timbalan YDP IKRAM Terengganu, Hj Nawawi Yusuf yang menekankan aspek penjagaan kualiti diri selepas berakhirnya Ramadan dan usaha menggiatkan amal bersama masyarakat di medan.
Nyanyian lagu IKRAM, ucapan Fakhrul (tengah) dan Hj Nawawi (kanan).
Presiden, Dr Mohd Parid turut menyampaikan ucaptama yang bertajuk “Memimpin Ummah Memimpin Masyarakat” yang juga merupakan Misi Perancangan IKRAM 2012-2015. Beliau menekankan usaha pemerkasaan organisasi IKRAM serta kesediaan ahli-ahli IKRAM di dalam memimpin perubahan ke arah perlaksanaan syariat Islam sepenuhnya di negara ini menjelang tahun 2020.
Ianya perlu dilakukan menerusi pentarbiahan ahli dan rakyat secara komprehensif dan berterusan serta usaha mendapatkan sokongan rakyat dan pengaruh massa. Engagement juga perlu dilakukan dengan masyarakat majmuk melepasi sempadan agama dan bangsa serta memastikan wujudnya negara madani atau sivil. Negara sivil atau madani yang dimaksudkan ialah negara yang berperaturan di mana budaya Syura subur di kalangan pemerintah dan rakyat. Ianya sebuah masyarakat hadhariah (maju) yang dijana menerusi kebijaksanaan manusia dan kepimpinan wahyu.
Justeru, IKRAM perlu menjadi sebuah gerakan kontemporari yang tersohor yang mempunyai ramuan penyelesaian untuk umat manusia supaya wujud perubahan yang mendasar di negara ini yang membawa kedua-dua misi Islam dan kemanusiaan. IKRAM perlu berusaha menggerakkan pembaikan negara dan pengurusannya demi kebaikan rakyat agar negara mampu membuat pacuan dan lompatan yang lebih jauh yang membawa limpahan manfaat kepada rakyat. Hari ini negara berhadapan bukan sahaja ketirisan dan penyelewengan tetapi juga bebanan hutang yang semakin parah.
Muzakarah ini juga menampilkan pembentangan utama iaitu “Konsep Dan Pengoperasian Masyarakat Madani” yang disampaikan oleh Naib Presiden IKRAM, Hj Syed Ibrahim Syed Noh merangkap Pengerusi Jawatankuasa Masyarakat Madani Pusat. Beliau menekankan, dalam usaha memimpin ummah dan memimpin masyarakat, IKRAM perlu meletakkan dirinya sebagai sebagai rujukan ummah, diberikan kepercayaan, diterima kepemimpinannya dan menjadi jurubicara ummah.
Dalam konteks ini, IKRAM perlu menempatkan dirinya dalam umat sebagai pemimpin gabungan barisan organisasi Islam yang diinstitusikan serta memimpin gabungan organisasi masyarakat madani pelbagai agama, ideologi dan kaum. Ini bagi merealisasikan 6 sasaran strategik yang terdapat dalam Perancangan IKRAM di bawah KRA Ummah dan Masyarakat. Beliau juga turut mengupas 7 skop masyarakat madani yang berusaha memenuhi maqasid syariah termasuk keehsanan, pemerkasaan rakyat, kedaulatan, tadbir urus baik, demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan.
Program ini juga diserikan dengan sesi dialog selama sejam dengan peserta muzakarah bersama Presiden dan Naib Presiden IKRAM. Pelbagai isu diajukan termasuk isu perlaksanaan hudud di negara ini, negara sekular dan negara sivil, isu pengambilan pinjaman dengan IMF serta isu kebajikan masyarakat yang dilaksanakan oleh IKRAM.
Presiden, pada akhir dialog, menggesa ahli agar terus tajarrud dan passionate terhadap dakwah serta terus beriltizam melaksanakan pembinaan diri. Ahli-ahli juga perlu bersikap terbuka di dalam menangani isu-isu ummah dan berusaha mendapatkan hikmah yang merupakan barang carian orang Islam. Beliau turut melancarkan Tabung Masyarakat Madani (TMM), sebagai usaha menjana program-program masyarakat madani di negeri ini menerusi sumber kewangan yang berterusan. Sebanyak RM1,273.40 telah dikumpulkan untuk TMM ini.
Peserta-peserta 3MIT juga telah mengadakan bengkel masyarakat madani pada sesi sebelah petang. Sebanyak lima kumpulan bengkel telah diadakan mengikut daerah IKRAM di negeri ini. Hampir separuh peserta bengkel kali ini berusia kurang dari 30 tahun. Ini satu perkembangan yang baik bila menggabungkan ahli veteran bersama dinamika orang muda. Dua aspek utama di dalam KRA Ummah dan Masyarakat telah dibincangkan dan semua cadangan serta resolusi kumpulan bengkel ini akan dimajukan ke dalam mesyuarat IKRAM Negeri selepas ini untuk diperhalusi lagi.
YDP IKRAM Terengganu, Ust Hj Lokman Dato’ Awang dalam ucapan penutup program, menyeru agar setiap ahli meletakkan sasaran penglibatan dakwahnya bersama masyarakat. Setiap pertemuan mingguan ahli mestilah diisi dengan agenda masyarakat agar ianya sentiasa segar dalam kegiatan dakwah dan tarbiah.