Majlis pelancaran yang disempurnakan di MPH NU SENTRAL pada Ahad, 11 Disember lalu dihadiri oleh kedua-dua ahli misi tersebut, ketua penulis buku ’35 Batu Nautika’ daripada Rose2Rose, Pn Norazian Md Shariff, ketua penulis daripada PenaWan, Ir Endok Sempo M Tahir dan juga peserta kapal Mavi Marmara lima tahun yang lalu, Ir Dr Hj Selamat Aliman.
Buku ’35 Batu Nautika’ ini adalah sebuah travelog yang menceritakan tentang misi antarabangsa yang diwakili oleh 13 wanita dari seluruh dunia bertujuan untuk memecahkan kepungan Israel ke atas dua juta penduduk di Gaza. Buku ini merupakan hasil usahasama Rose2Rose, MyCARE, PenaWan dan Iman Publication. PenaWan merupakan himpunan Penulis-penulis Wanita IKRAM Nasional yang bertujuan antara lain untuk menyemarakkan dakwah wanita dalam bidang penulisan.
Menurut Dr Fauziah, pemilihan judul buku ’35 Batu Nautika’ sangat signifikan sebagai tanda ingatan bahawa hanya 35 batu nautika lagi jarak pelayaran yang perlu dilalui oleh bot Zaytouna-Oliva sebelum sampai ke tanah Gaza ketika ditahan oleh Israel.
Dr Fauziah dalam ucapannya turut merakamkan sekalung penghargaan kepada pihak MPH dan MyCare serta kepada semua ‘ghostwriters’ yang terdiri daripada 17 orang penulis Rose2Rose dan PenaWan. Beliau berharap buku ini mampu memberi inspirasi kepada pembaca dalam isu perjuangan Gaza. Beliau juga menyatakan bahawa beliau sedang dalam usaha untuk menerbitkan buku 200 gambar dari misi WBG ini.
Hadirin yang hadir turut berpeluang mendapat buku “35 Batu Nautika” eksklusif ditandatangani oleh Dr Fauziah dan Pn Norsham serta penulis-penulis yang terlibat. Buku ini boleh didapati daripada MyCARE sendiri atau kedai buku Imanshoppe.
Sumber: FB Wanita IKRAM Malaysia