PERBEZAAN PENDAPAT HARUS DITANGANI SECARA ILMIAH BUKAN DENGAN MELABEL

Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

30 Jun 2010 / 17 Rejab 1431

PERBEZAAN PENDAPAT HARUS DITANGANI SECARA ILMIAH BUKAN DENGAN MELABEL

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius isu yang dibangkitkan akhir-akhir ini mengenai kaitan di antara apa yang dilabel sebagai fahaman Wahabi dengan kumpulan pengganas serta yang mengaitkan pula beberapa tokoh dan NGO Islam dengannya. Sebagai sebuah organisasi Islam, IKRAM berpegang kepada jalan damai dalam mencapai matlamat dan visi Islam serta melakukan aktiviti mengikut lunas undang-undang yang sah.

IKRAM menganggap perbezaan pandangan dengan kumpulan fahaman Wahabi perlu ditangani menurut adab dan akhlak berbeza pendapat dalam Islam.  Perbezaan pendapat harus ditangani dengan bijaksana melalui diskusi dan wacana ilmiah, sebaik-baiknya secara tertutup, dan bukan dengan perantaraan media. Usaha untuk  mengaitkan perbezaan pendapat dengan memberi label adalah sesuatu yang tidak sihat, apatah lagi mengaitkan perbezaan ini dengan keganasan. Sebarang dakwaan yang dibuat perlu disokong dengan bukti yang kukuh bagi membolehkan bukti itu dinilai, yang terdakwa mengemukakan hujah balas dan dengan itu penganiayaan dan kezaliman terhindar.